KABUL 6 Ogos - Kebanyakan wanita di Afghanistan hanya keluar rumah dengan diselubungi burqa, namun Shahla Atta bukan sahaja tampil dengan mata bercelak dan kuku diwarnai pengilat merah jambu, malah beliau juga bercita-cita untuk menjadi Presiden Afghan yang akan datang.
Atta, 42, antara dua orang wanita dalam senarai lebih 30 calon yang ingin merebut jawatan Presiden negara ini, satu usaha yang penuh cabaran dan bahaya.
Peluang kedua-duanya untuk menewaskan Presiden Hamid Karzai dalam pilihan raya 20 Ogos ini sememangnya tipis.
Bagaimanapun, hakikat mereka boleh berkempen secara terbuka, dengan gambar wajah mereka yang terdedah ditampalkan di serata Kabul, dengan sendirinya boleh dianggap sebagai satu kejayaan.
Ramai penduduk Afghan, terutamanya di luar bandar beranggapan wanita tidak harus menunjukkan muka mereka kepada orang lain selain ahli keluarga terdekat.
"Sukar untuk seseorang wanita mempelawa sekumpulan orang untuk minum teh dan mendengar pandangannya," kata seorang ahli Parlimen wanita di Kabul, Shinkai Kharokhel.
Ahli-ahli politik wanita juga menghadapi ancaman daripada puak Taliban yang mengaku bertanggungjawab membunuh anggota polis wanita dan pegawai Kementerian Hal-Ehwal Wanita sejak beberapa tahun kebelakangan.
Seorang lagi wanita yang bertanding untuk jawatan Presiden, Frozan Fana, 40, tidak berkempen di sesetengah kawasan pedalaman.
Calon Naib Presidennya, Mohammad Nasim Darmand berkata, beliau dan calon lelaki yang lain menghadiri rapat umum untuk berkempen.
Bagaimanapun kebanyakan acara kempen Fana diadakan di dalam bangunan dan hadirin perlu melepasi tapisan keselamatan.
"Taliban dan anasir antikerajaan menentang semua orang, baik lelaki mahupun wanita tetapi wanita menjadi sasaran mudah bagi mereka," kata Kharokhel.
Namun begitu, Fana, seorang pakar bedah ortopedik yang tidak pernah memegang jawatan politik, menjadualkan acara kempen di seluruh bahagian selatan Afghanistan, iaitu kubu kuat Taliban yang termasuk wilayah Helmand, di mana askar marin Amerika Syarikat (AS) dan Britain menjalankan operasi besar-besaran untuk memerangi puak pemberontak itu.
Fana dan Atta kedua-duanya berasal daripada keluarga politik dan menyebut penglibatan suami dan bapa mereka dalam politik sebagai sebahagian pengalaman yang mempersiapkan diri mereka untuk menjadi pemimpin negara.
Atta yang merupakan ahli Parlimen di Kabul berkata, pemimpin wanita boleh membantu melaksanakan pembaharuan terhadap sistem politik yang dicemari rasuah dan kronisme lelaki.
"Rakyat Afghan sudah bosan dengan gejala ini. Berbilion-bilion dolar telah dibazirkan. Cucu-cucu saya akan menjadi tua sebelum Karzai mengubah sistem ini, kerana itu kaum wanita perlu membawa perubahan," kata Atta dalam wawancara di ibu pejabat kempennya. - AP
Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0807&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_04.htm
Sekelumit Rasa Sejernih Suasana
Friday, August 7, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment