KABUL 19 Ogos - Lebih suku juta pemerhati pilihan raya ditempatkan di seluruh Afghanistan untuk memantau pilihan raya Presiden esok dalam operasi besar-besaran melibatkan pelbagai negara bagi mencegah penipuan dan keganasan.
Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas Afghanistan (IEC) dijangka mengerahkan kira-kira 250,000 pemerhati di pusat pengundian seluruh negara untuk memastikan pengundi boleh mengundi tanpa bimbang dengan ancaman keganasan atau penipuan undi.
Pemerhati yang kebanyakannya rakyat Afghan itu akan mengawasi lebih 6,000 pusat pengundian dengan tujuan untuk memastikan pengundian berjalan lancar dan kertas undi tidak dipinda selepas pengundian.
Sejumlah 17 juta pengundi layak untuk memilih seorang Presiden pada pilihan raya kedua dalam sejarah Afghanistan itu.
Mereka juga akan memilih 420 anggota majlis di 34 wilayah, dalam operasi lojistik besar-besaran yang terjejas disebabkan masalah keselamatan.
Pemerhati antarabangsa daripada agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, jadual waktu lojistik IEC bagi mengangkut bahan dan pekerja pilihan raya ke pusat pengundian di seluruh negara yang besar dan mundur ini berjalan mengikut rancangan.
Pilihan raya itu diteruskan selepas timbul kebimbangan sejak berminggu-minggu lalu mengenai ancaman pemberontak, disahkan oleh dua serangan berani mati Taliban di Kabul dalam tempoh dua hari, serta ancaman bertulis puak militan itu kepada pengundi supaya jangan keluar mengundi.
Dalam keganasan terbaru menjelang pilihan raya, tiga lelaki bersenjata yang dilaporkan anggota Taliban menggempur sebuah bank di Kabul hari ini, sebelum mereka ditembak mati oleh pasukan keselamatan Afghan.
Sebuah pertubuhan hak asasi manusia di New York menyuarakan pandangan, kadar pengundian yang rendah, keganasan, penipuan dan intimidasi boleh menjejaskan pilihan raya itu.
Menurut Human Rights Watch (HRW), situasi keselamatan 'jauh lebih buruk' berbanding keadaan semasa pilihan raya pada 2004 dan 2005.
"Masalah pendaftaran pengundi, pengundian lebih daripada sekali, pengundian proksi palsu, pengisian peti undi dengan kertas undi palsu, penipuan dalam pengiraan keputusan dan penyelewengan lain oleh kakitangan IEC boleh menjejaskan kesahihan keputusan," menurut HRW. - AFP
Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0820&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_07.htm
Sekelumit Rasa Sejernih Suasana
Wednesday, August 19, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment