KABUL 15 Ogos - Satu letupan bom kereta di luar pintu pagar utama ibu pejabat tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di sini hari ini menyebabkan tujuh rakyat Afghanistan terbunuh dan 91 lagi cedera.
Pengebom berani mati yang memandu kenderaan berkenaan berjaya melepasi beberapa sekatan polis Afghan sebelum meledakkan bahan letupan yang dibawanya di pintu pagar ibu pejabat tentera antarabangsa itu.
Letupan itu dipercayai bertujuan menyampaikan mesej bahawa pergerakan Taliban boleh melancarkan serangan di mana-mana sahaja ketika rakyat Afghan bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya Presiden yang kedua di negara ini.
Militan Taliban memberi amaran kepada rakyat Afghan supaya jangan mengundi dan mereka mengancam untuk menyerang pusat-pusat pengundian.
Ibu pejabat NATO yang menempatkan markas komander tertingginya, Jeneral Stanley McChrystal dari Amerika Syarikat (AS) terletak bersebelahan Kedutaan AS dan di jalan yang sama dengan Istana Presiden.
Letupan tersebut adalah serangan besar pertama di Kabul sejak Februari lalu, apabila lapan pengebom berani mati Taliban menyerang tiga bangunan kerajaan secara serentak, menyebabkan 20 orang terkorban.
Afghanistan akan mengadakan pilihan raya Presiden pada Khamis ini.
Pekerja asing di negara ini merancang bekerja dari rumah sepanjang minggu depan atau digalakkan meninggalkan negara ini.
Askar AS, NATO dan Afghan sedang bekerja keras untuk melindungi pusat-pusat pengundian, terutamanya di kawasan yang dikuasai militan. - AP
Sumber: ttp://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0816&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_04.htm
Sekelumit Rasa Sejernih Suasana
Saturday, August 15, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment