Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Wednesday, August 19, 2009

Afghanistan terus berdarah

Tiga Taliban maut dalam serangan terbaru di Bank Pashtani

KABUL: Pertempuran senjata terus meletus di ibu negara Afghanistan, semalam menjelang pilihan raya kebangsaan hari ini dengan pemberontak Taliban mengancam dan mengganggu gugat rakyat daripada keluar mengundi.

Menyedari keadaan buruk, kerajaan mengarahkan media tempatan untuk tidak melaporkan kejadian keganasan ketika hari pengundian hari ini.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Zemeri Bahsary, memberitahu agensi berita sekurang-kurangnya tiga lelaki bersenjata menyerbu sebuah cawangan Bank Pashtani pagi semalam dalam kejadian di Jadi Maiwand.

Polis bertindak balas dengan mengepung bangunan berkenaan sehingga mencetuskan kejadian berbalas tembakan untuk beberapa jam. Tiga daripada penyerang berkenaan terbunuh.

Jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid, berkata sekurang-kurangnya 20 penyerang bunuh diri dilengkap jaket bahan letupan memasuki bandar raya itu dan lima daripada mereka bertempur dengan polis. Bagaimanapun dakwaan itu tidak dapat disahkan.

Serangan terbaru itu satu petanda Taliban dan sekutu mereka bertekad mengganggu pilihan raya hari ini dengan Presiden Hamid Karzai akan bersaing bersama berpuluh calon presiden lain.

Sekurang-kurangnya lapan orang, termasuk seorang askar Nato dan 55 yang lain cedera dalam dua serangan Selasa lalu, kata pihak berkuasa. Di timur Afghanistan, dua tentera Amerika Syarikat terbunuh dan tiga cedera dalam kejadian bom berasingan, umum tentera Amerika Syarikat menjadikan angka kematian pasukan itu meningkat kepada 26 orang bulan ini. – AP

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Dunia/20090819233428/Article/index_html

No comments:

Post a Comment