Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Saturday, August 15, 2009

7 maut, 100 cedera



API daripada kesan serangan bom kereta Taliban di pintu masuk ibu pejabat tentera Nato, semalam.

# Taliban ledak 500kg bom di pintu masuk ibu pejabat tentera Nato
# Taliban beri mesej boleh menyerang di mana saja

KABUL: Tujuh maut dan hampir 100 lagi cedera selepas penyerang Taliban melakukan serangan bom kereta berhampiran pintu masuk utama ibu pejabat tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), di sini, semalam.

Mangsa yang berlumuran darah dan cedera dilihat di jalan raya dekat lokasi serangan, termasuk kanak-kanak yang berkeliaran di pintu masuk pejabat tentera Nato untuk menjual barangan dalam kejadian kira-kira jam 8.35 pagi wak tu tempatan.

Tingkap kedai antik berhampiran berselerakan, selain tompokan darah dapat dilihat di merata tempat dalam serangan terbesar di ibu negara Afghanistan itu dalam tempoh enam bulan lalu.

Jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid, mendakwa pergerakannya bertanggungjawab atas serangan bom berkenaan yang dianggarkan membabitkan kira-kira 500 kilogram bahan letupan.

Kapten Elizabeth Mathias, jurucakap Amerika bagi misi Nato berkata, letupan berlaku berhampiran pintu masuk Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa Nato.


KEADAAN di ibu pejabat tentera Nato selepas serangan.

Kenderaan membawa bom itu melepasi dua pos kawalan sebelum penyerang menghampiri satu lagi pos pemeriksaan anggota keselamatan bersenjata berat yang menahannya.

Pegawai berkata, penyerang bunuh diri itu mungkin memutuskan untuk meletupkan bom ketika perjalanannya disekat tentera.

"Saya sedang minum teh di pejabat apabila satu letupan besar berlaku," kata Abdul Fahim yang cedera di kaki.

"Saya meniarap dan melihat ramai mangsa yang cedera, termasuk polis dan penduduk awam," katanya.

Pengebom yang meletupkan bahan letupan di pintu masuk misi ketenteraan antarabangsa berkenaan dipercayai cuba memberi mesej bahawa anggota Taliban boleh menyerang di mana saja tempat yang mereka mahu.

Pejabat Nato berkenaan yang memantau 100,000 pengaman antarabangsa turut menempatkan pejabat operasi komander tertinggi tentera Amerika, Jeneral Stanley McChrustal dan menjadi laluan untuk ke istana presiden.

Ibu pejabat Nato mempunyai blok simen dan pintu pagar besi bagi menghalang orang ramai mendekati pintu masuk dan pengebom tidak dapat memecahkan halangan berkenaan. Kementerian Pengangkutan Afghanistan pula berada di seberang jalan dari pejabat Nato. - AFP/Agensi

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/BeritaUtama/20090815230634/Article

No comments:

Post a Comment