Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Sunday, August 2, 2009

Isu Pashtun warnai pilihan raya Afghanistan

KABUL 2 Ogos - Dalam debat terbaru menjelang pilihan raya Presiden di Afghanistan, persoalan pertama yang timbul bukan mengenai keganasan atau candu. Ia lebih kepada bagaimana calon melihat kepada garisan putus-putus yang dilukis di atas sebuah peta oleh penjajah British 115 tahun lalu.

Bagi Barat, ia adalah sempadan yang memisahkan Afghanistan dengan Pakistan dan ia merupakan punca kekecewaan kerana kedua-dua negara tidak mampu atau tidak mahu menguatkuasakannya.

Namun tidak bagi etnik terkuat di sana, Pashtun, garisan itu melalui kawasan yang digelar mereka sebagai 'Pashtusnistan' tetapi tidak sah seperti sempadan yang pernah memisahkan Jerman Barat dan Jerman Timur.

Pashtun dan agenda etnik mereka menjadi tumpuan menjelang pilihan raya dan konflik bersenjata di Afghanistan dan Pakistan.

Seperti mana kumpulan Taliban yang dikuasai etnik itu, kebanyakan dari mereka yang tidak mengangkat senjata berkongsi impian penubuhan Pashtunistan yang bersatu. Impian ini semakin hangat diperkatakan ketika Pashtun di kedua-dua belah sempadan semakin bersungut dengan keadaan semasa.

Sekiranya etnik ini keluar mengundi pada 20 Ogos ini, ia akan membantu Presiden Hamid Karzai yang juga seorang Pashtun untuk kekal memegang jawatan itu.

Namun sekiranya kadar keluar mengundi adalah rendah yang berkemungkinan disebabkan keganasan atau ancaman Taliban, pesaing Karzai, bekas Menteri Luar, Abdullah Abdullah lebih berpeluang walaupun berdarah separuh Pashtun.

"Pashtun sangat kritikal dalam pilihan raya Afghanistan. Mereka berada di tengah-tengah pemberontakan di Afghanistan dan Pakistan kerana mereka telah digunakan dan diketepikan sejak tiga dekad lalu oleh 'pemain' serantau dan antarabangsa," kata seorang felo penyelidikan di Pusat Sains dan Hubungan Antarabangsa Belfer, Universiti Harvard, Hassan Abbas.

Bilangan etnik Pashtun berjumlah kira-kira 42 juta bersamaan 42 peratus populasi Afghanistan dan 15 peratus jumlah rakyat Pakistan.

Sokongan mereka membentuk Taliban dengan sebahagian besar kumpulan itu dianggotai etnik Pashtun. - AP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_03.htm

No comments:

Post a Comment