Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Sunday, August 23, 2009

Karzai guna jentera kerajaan?

KABUL 23 Ogos - Pencabar utama Presiden Hamid Karzai menuduh beliau menggunakan jentera kerajaan untuk 'memanipulasi' pilihan raya Presiden pada Khamis lalu.

Abdullah Abdullah, bekas Menteri Luar dalam kerajaan Karzai, turut memperincikan kes-kes penipuan yang didakwa dilakukan oleh pegawai kerajaan.

Menurut Abdullah, beliau telah menghubungi calon-calon lain, selain Karzai untuk mengkaji kemungkinan mengetengahkan seorang calon perikatan sekiranya tiada seorang pun daripada 36 calon terlibat memenangi sekurang-kurangnya 50 peratus undi bagi mengelakkan pengundian pusingan kedua yang mungkin diadakan pada Oktober ini.

Tuduhan yang dinafikan oleh jurucakap Karzai itu adalah yang paling lantang dilemparkan oleh Abdullah terhadap Presiden berhubung pilihan raya yang pemenangnya hanya akan diisytiharkan dalam masa berminggu-minggu lagi.

Abdullah dan Karzai masing-masing mendakwa mereka mendahului calon lain berdasarkan laporan daripada pemerhati pilihan raya yang memantau pengiraan undi.

Pegawai dalam kempen Abdullah mendakwa penipuan berlaku di beberapa wilayah di selatan di mana pemberontak Taliban paling aktif dan Karzai dijangka memenangi banyak undi.

"Beliau menggunakan jentera kerajaan untuk memanipulasi pilihan raya. Ini sesuatu yang tidak dijangka," kata Abdullah dalam wawancara dengan Associated Press (AP).

Menurut Abdullah lagi, 'tidak ada bezanya sedikit pun' sama ada Karzai atau penyokongnya mengarahkan penipuan dilakukan.

"Semua ini berlaku di bawah pengawasan dan pimpinannya, dan semua orang yang terlibat dengan penipuan di beberapa bahagian negara ini dilantik oleh beliau sendiri.

"Saya pasti beliau menerima laporan mengenainya. Perkara ini patut dihentikan dan sepatutnya boleh dihentikan oleh beliau," ujar Abdullah.

Bekas Menteri Luar itu juga mendakwa, pegawai kerajaan di wilayah Kandahar dan Ghazni termasuk seorang ketua polis wilayah dan seorang timbalan ketua pilihan raya wilayah mengisi peti undi dengan kertas undi yang memihak kepada Karzai di enam daerah.

Abdullah juga berkata, pemerhati beliau dihalang daripada memasuki beberapa pusat pengundian.

Jurucakap kempen Karzai, Waheed Omar pula menyangkal dakwaan tersebut dan sebaliknya menegaskan kem Presiden telah mengemukakan laporan penipuan yang dilakukan oleh penyokong Abdullah kepada Suruhanjaya Aduan Pilihan Raya. - AP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0824&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_04.htm

No comments:

Post a Comment