Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Monday, August 31, 2009

Hamid Karzai Mendahului

KABUL 31 Ogos - Presiden Hamid Karzai menjarakkan kedudukannya dengan pencabar utamanya dalam pengiraan terbaru undi pada pilihan raya Presiden Afghanistan sebanyak hampir 50 peratus yang menunjukkan beliau mampu mengelak diadakan pilihan raya pusingan kedua.

Jumlah pengiraan yang dikeluarkan kelmarin menunjukkan Karzai mendahului dengan 46.2 peratus undian berbanding pencabar utamanya bekas Menteri Luar, Abdullah Abdullah yang menerima 31.4 undi.

Keputusan tersebut berdasarkan 35 peratus undi daripada pusat pengundian di seluruh negara.

Beberapa keputusan telah diumumkan daripada wilayah Balkh utara, di mana Abdullah diramal menang dan daripada wilayah Pashto selatan di mana Karzai mendapat sokongan.

Pembantu-pembantu Karzai yakin Presiden itu mampu meraih kemenangan pada pusingan pertama bagi mengelak pusingan kedua diadakan yang dijadual pada Oktober ini, sekiranya keadaan memerlukan.

Abdullah, bagaimanapun semalam membuat lebih banyak dakwaan penipuan berlaku dalam pilihan raya kali ini, sekali gus meningkatkan keraguan di kalangan pengikut Karzai, sama ada akan terus memilihnya, sekiranya beliau memenangi pusingan pertama.

Abdullah memberitahu stesen televisyen RAI di Itali bahawa Karzai bertanggungjawab ke atas penipuan besar dan tipu muslihat pada pilihan raya itu.

Dakwaan penipuan dalam pilihan raya pada 20 Ogos lalu itu 'menderu-deru' dihantar kepada Suruhanjaya Aduan Pilihan Raya (ECC) yang wajar disiasat, sebelum keputusan muktamad diumumkan.

Dakwaan penipuan daripada Abdullah dan beberapa calon lain Presiden, termasuk jumlah pengundi yang rendah di bahagian selatan boleh menimbulkan kesangsian terhadap pilihan raya itu, bukan sahaja di kalangan rakyat Afghanistan tetapi juga kepada Amerika Syarikat dan rakan antarabangsanya yang telah menyokong polisi Afghan sebagai sebuah kerajaan yang boleh dipercayai.

Kerajaan Afghanistan yang diterima secara meluas merupakan salah satu tunggak strategi Presiden Barack Obama untuk menukar situasi 'pasang surut' kepada kemenangan ke atas kempen memerangi pemberontakan Taliban.

Kontroversi yang berlaku dalam pilihan raya itu lebih hangat diperkatakan daripada jumlah korban yang ditanggung oleh tentera AS dan NATO, sedikit sebanyak melemahkan sokongan terhadap peperangan AS, Britain dan negara-negara lain yang menghantar pasukan tentera di sini.

Perdana Menteri Britain, Gordon Brown melawat pasukan tentera British di wilayah Helmand di selatan Afghanistan semalam. Lawatan mengejut itu diharap dapat menghalang pengkritik-pengkritik yang menuduh kerajaannya gagal menyokong misi Britain di sini.

Seorang anggota Marin British terbunuh akibat bom di Helmand pada hari Brown mengadakan lawatan, menurut Kementerian Pertahanan di London. - AP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0901&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_02.htm

No comments:

Post a Comment