Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Thursday, August 20, 2009

Bilangan pengundi Afghan rendah

KABUL 20 Ogos - Ancaman Taliban menyebabkan tidak ramai rakyat Afghanistan keluar mengundi di ibu negara dan di kawasan yang dikuasai militan di sebelah selatan dalam pilihan raya Presiden hari ini.

Serangan roket dan bom yang dilancarkan oleh militan di sana sini memaksa sebilangan pusat pengundian ditutup.

Peratusan mengundi yang rendah di selatan akan menjejaskan peluang Presiden Hamid Karzai untuk dipilih semula, di samping mengukuhkan kedudukan pencabar utama beliau, bekas Menteri Luar, Abdullah Abdullah.

Peratusan mengundi dipercayai tinggi di sebelah utara, satu petanda baik bagi Abdullah.

Pegawai antarabangsa meramalkan pilihan raya yang tidak sempurna tetapi menyuarakan harapan rakyat Afghan akan menerimanya sebagai sah, satu komponen penting dalam strategi perang Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama bagi negara ini.

Militan Taliban bagaimanapun berikrar untuk menggendalakan pengundian dan menghebahkan ancaman untuk menghukum rakyat yang mengundi, yang dipercayai membuat pengundi enggan keluar menunaikan kewajipan mereka.

Seorang wartawan Associated Press (AP) yang melawat enam pusat pengundian di Kabul tidak melihat pengundi beratur, manakala seorang pegawai pilihan raya di Kandahar, bandar terbesar di selatan yang juga kubu kuat Taliban, berkata, peratusan mengundi dipercayai 40 peratus lebih rendah berbanding pilihan raya Presiden 2004 apabila 70 peratus keluar mengundi.

Laporan keganasan di sana sini dilaporkan dari serata negara ini, termasuk sebuah roket yang hampir mengenai pengundi di Helmand dan satu letupan di sebuah pusat pengundian di Kabul.

Syarikat keselamatan di ibu negara melaporkan sekurang-kurangnya lima letupan, dan polis Kabul berbalas-balas tembakan selama lebih sejam dengan sekumpulan lelaki bersenjata, termasuk seorang pengebom berani mati yang meletupkan diri.

Jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid menelefon AP dan mendakwa lima pejuangnya bertempur dengan polis.

Karzai mengundi di sebuah sekolah menengah di Kabul pada 7 pagi (10.30 pagi waktu Malaysia). Beliau mencelupkan jari telunjuknya dalam dakwat yang tidak boleh ditanggalkan, satu langkah mencegah penipuan, dan menunjukkannya kepada jurugambar.

"Saya menyeru rakyat Afghan keluar mengundi, supaya menerusi kertas undi mereka nanti Afghanistan akan menjadi lebih selamat dan lebih aman," kata Karzai.

Beliau menjadi pilihan untuk menduduki tangga teratas di kalangan 36 calon rasmi, walaupun sokongan mendadak kepada Abdullah pada saat-saat akhir boleh memaksa pengundian pusingan kedua diadakan jika tiada calon memenangi lebih 50 peratus undi.

Keputusan awal dijangka diumumkan di Kabul pada Sabtu ini. - AP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0821&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_07.htm

No comments:

Post a Comment