KABUL 18 Ogos - Rakyat Afghanistan yang telah mengharungi pendudukan Soviet, perang saudara dan penindasan Taliban kini sanggup bertarung nyawa untuk mengundi bagi membawa masa depan lebih baik kepada Afghanistan, tetapi tidak yakin Presiden yang dipilih kelak mampu menghasilkan keamanan dan kemakmuran yang dijanjikan.
Dengan berakhirnya tempoh kempen selama dua bulan semalam, kira-kira 17 juta pengundi Afghan mempunyai kesempatan sehingga hari pengundian pada Khamis ini untuk memikirkan sama ada hendak menunaikan hak demokratik mereka untuk memilih seorang ketua negara, buat kali kedua dalam sejarah negara yang dilanda perang ini.
"Ada desas-desus dan khabar angin menyatakan Taliban akan menggendalakan pilihan raya.
"Jika orang terbunuh, saya juga mungkin terbunuh sama, tetapi saya tetap akan mengundi dengan menyedari risikonya. Saya bukan lebih baik daripada orang lain, tetapi saya akan mengambil risiko itu," kata seorang balu, Amina, 35, di bandar Kandahar, selatan negara ini, yang kerap menjadi medan serangan puak militan.
Pemberontak Taliban membunuh semakin ramai askar Barat dan Afghanistan, negara kelima termiskin di dunia, tetapi banyak kemajuan telah dicapai terutamanya di bandar-bandar di bawah kawalan kerajaan.
Lelaki dan wanita mengecapi lebih banyak kebebasan jika dibandingkan semasa rejim Taliban, ekonomi dibuka kepada pelaburan asing, manakala televisyen, radio dan telefon mudah alih semakin popular di kalangan penduduk bandar, dan berjuta-juta pelarian sudah kembali ke tanah air.
"Pilihan raya adalah antara prinsip utama demokrasi dan sangat penting. Memang ada masalah tetapi saya fikir rakyat Afghan akan keluar mengundi," kata seorang siswazah sains politik, Fazel Ali Farzil dari wilayah Nangarhar, timur Afghan.
Menurut beliau, masalah akan timbul di sesetengah tempat tetapi bukan di seluruh Afghanistan.
"Letupan, serangan berani mati dan pembunuhan bukan perkara baru, penduduk sudah biasa dengan ancaman itu," kata Farzil.
Kira-kira lapan juta rakyat Afghan mengundi dalam pilihan raya pertama Presiden Afghanistan pada 2004. Setahun kemudian, kira-kira 12 juta rakyat Afghan mendaftarkan diri untuk mengundi dalam pilihan raya wilayah dan Parlimen, dengan 51.5 peratus pengundi keluar mengundi.
Pegawai Barat meramalkan peratusan yang keluar mengundi pada minggu ini boleh mencapai setinggi 60 peratus di sebelah utara yang agak aman, berbanding 40 peratus di selatan di mana ancaman Taliban boleh menyebabkan ramai pengundi enggan keluar mengundi.
Namun begitu, pada tahun ini rakyat Afghanistan dapat merasai suasana kempen pilihan raya yang sebenar. Calon-calon utama telah menarik sokongan beribu-ribu orang, menjanjikan keselamatan, pekerjaan dan pembangunan, menyertai perdebatan di televisyen, dan terbang dari kampung ke kampung.
Barisan calon utama yang bertanding terdiri daripada Presiden Hamid Karzai, yang mempertahankan jawatan, bekas Menteri Luar, Abdullah Abdullah, bekas Menteri Kewangan, Ashraf Ghani dan ahli Parlimen, Ramazan Bashardost.
"Saya akan memberi undi saya kepada calon yang berkhidmat kepada negara dan rakyat, sama ada dia Afghan, Uzbek atau Tajik. Semua orang sama bagi kami, Afghanistan ibarat sebuah keluarga.
"Saya akan mengundi untuk keamanan, untuk orang yang akan berbakti kepada negara ini. Buat masa ini, tiada calon yang betul-betul baik. Mereka menaburkan janji tetapi akhirnya gagal menunaikannya," kata seorang petani, Kamal-ud-Din, 75.
Ramai rakyat Afghan merasakan kewajipan mereka untuk menentukan nasib mereka sendiri dan berasa bangga kerana undi mereka dirahsiakan, tetapi nampak berbelah-bahagi tentang prospek masa depan, sama ada menyokong perubahan di bawah pimpinan Abdullah atau Ghani, atau meneruskan kesinambungan di bawah Karzai. - AFP
Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0819&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_04.htm
Sekelumit Rasa Sejernih Suasana
Tuesday, August 18, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment