Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Tuesday, August 4, 2009

Saingan antara Karzai dengan Abdullah


ABDULLAH Abdullah (tengah) bersama dengan penyokong-penyokongnya berkempen di Kabul, semalam. Bekas Menteri Luar kerajaan Taliban itu disifatkan satu-satunya calon yang mampu memberi saingan kepada Hamid Karzai. - AFP

KABUL 4 Ogos - Ribuan rakyat Afghanistan keluar untuk mendengar ucapan Presiden Hamid Karzai dalam siri kempen pilihan rayanya di utara negara ini, namun pesaing utamanya tidak begitu mendapat perhatian ketika melakukan perkara sama di ibu negara.

Keadaan ini jelas menunjukkan jalan cerita dominan bagi pilihan raya Presiden kedua Afghanistan: Walaupun terdapat banyak aduan mengenai pencapaian Karzai, beliau tidak akan mengalami kekalahan.

Pencabar utama beliau di kalangan hampir 40 calon, bekas Menteri Luar, Abdullah Abdullah mungkin menarik perhatian ramai dalam kempen di luar ibu negara sekali gus meningkatkan harapan untuk menang atau sekurang-kurangnya mengheret pilihan raya 20 Ogos ini ke pusingan kedua.

Namun kehadiran Abdullah di Kabul, ibu negara dan bandar terbesar negara ini, menunjukkan yang beliau tidak mempunyai asas kukuh untuk menewaskan Karzai.

Walaupun tiada tinjauan pendapat diadakan, pemegang jawatan dianggap sebagai pendahulu.

Jumlah mereka yang keluar mengundi adalah sangat penting di negara yang terbahagi kepada etnik, menghadapi masalah buta huruf dan berdepan dengan masalah pemberontakan ini.

Beratus-ratus daripada 7,000 pusat pembuangan undi mungkin tidak dibuka di kawasan selatan dan timur yang berdepan masalah pertempuran, penutupan yang mungkin merugikan Karzai kerana kekurangan undi dari etnik Pashtun.

Taliban telah mengutuk pengundian sebagai penipuan didalangi Amerika Syarikat (AS) dan mengancam untuk menganggu proses pengundian.

Di tempat-tempat lain, lebih 3,000 keldai akan menghantar peti undi ke tempat pembuangan undi, peti yang akan mewakili calon dengan simbol bagi membantu 70 peratus rakyat Afghanistan yang tidak pandai membaca.

"Kemenangan masih akan menjadi milik Karzai namun terhadap banyak ruang untuk perkara yang tidak disangka.

"Ini merupakan pilihan raya Presiden kedua di Afghanistan. Tidak dapat dipastikan sama ada rakyat akan mengundi di luar garis etnik dan puak," kata Presiden Akademi Amerika untuk Diplomasi, Ronald Nuemann yang pernah menjadi duta AS ke Afghanistan dari 2005 hingga 2007. - AP

Sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0805&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_03.htm

No comments:

Post a Comment