KABUL 17 Ogos - Perikatan kontroversi yang dijalinkan oleh Presiden Afghanistan, Hamid Karzai dengan ketua-ketua puak perang (warlords) dikecam hebat semalam semasa perdebatan pertama beliau di televisyen dengan para pencabar utama dalam pilihan raya Presiden minggu ini.
Calon yang lantang berkempen atas dasar antirasuah, Ramazan Bashardost dan bekas Menteri Kewangan, Ashraf Ghani membidas Karzai dalam perdebatan langsung selama 90 minit itu, kali pertama seorang Presiden Afghan menyertai acara sedemikian.
Perikatan tersebut yang dijangka boleh membawa kemenangan kepada Karzai dalam pilihan raya Khamis ini, mengecewakan ramai rakyat Afghan serta negara Barat yang menyokong kemajuan negara ini ke arah demokrasi berikutan serangan Amerika Syarikat (AS) pada 2001 yang menggulingkan rejim Taliban.
"Terdapat golongan yang mendakwa mereka memerangi ketua-ketua puak perang tetapi hari ini mereka memainkan peranan utama dalam kempen mereka, malah seorang daripadanya menjadi calon Naib Presiden pertama. Perkara ini tidak boleh diterima oleh rakyat Afghanistan," dakwa Bashardost.
Karzai memilih Mohammed Qasim Fahim, yang dituduh melakukan pelbagai pencabulan semasa perang saudara 1990-an, sebagai calon Naib Presiden pertamanya, selain memperoleh sokongan beberapa pemimpin etnik dan puak yang lain bagi tujuan mendapat undi penyokong mereka yang ramai.
''Sesiapa yang 'menindas' rakyat dalam konflik masa lalu, sama ada semasa menentang rejim komunis, semasa perang saudara dan semasa pemerintahan Taliban pada 1996-2001, 'tidak boleh diterima' sebagai calon,'' kata Bashardost.
Karzai pula mempertahankan sekutu-sekutunya itu, termasuk seorang ketua puak perang paling digeruni di negara ini, Jeneral Abdul Rashid Dostum, dengan berhujah bahawa perikatan tersebut adalah demi kepentingan perpaduan negara.
Dostum pulang ke tanah air semalam daripada kehidupan dalam buangan di Turki, setelah para penyokongnya mengancam untuk menarik balik sokongan terhadap Karzai jika jeneral keturunan Uzbek itu tidak dibenarkan kembali.
Presiden Afghan itu mengambil pendekatan 'khemah besar' dengan tujuan untuk menyatukan para panglima perang yang terlibat dalam perang saudara antara etnik yang memusnahkan Kabul pada 1990-an.
Bashardost bagaimanapun menolak hujah Karzai itu dengan berkata, perpaduan negara tidak boleh dijadikan alasan untuk menerima 'calon-calon paling teruk'.
Perdebatan itu meletakkan Karzai dalam kedudukan terpaksa berdepan dengan pengkritik beliau yang paling lantang dan beliau turut dikecam kerana menarik diri daripada perdebatan sebelum ini.
Ghani, seorang tokoh akademik yang berkempen menjanjikan pemerintahan bersih, kewujudan peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi, turut membidas perikatan Karzai itu dengan berkata: "Saya tidak mengikat sebarang perjanjian dengan mana-mana ketua puak perang, tidak memberi apa-apa jawatan sama ada di peringkat kementerian, gabenor atau lainnya kepada mereka."
Beliau dan Bashardost dianggap dua daripada pencabar utama Karzai pada hari pengundian kelak, apabila 41 nama disenaraikan sebagai calon pada kertas undi. Namun, calon yang dijangka memberi tentangan paling sengit kepada presiden, Abdullah Abdullah tidak hadir pada perdebatan semalam.
Karzai yang dijangka menang tetapi mungkin tidak dapat mengelakkan pengundian pusingan kedua, membalas kecaman lawannya.
"Jika demi kepentingan negara, demi kemajuan, demi perpaduan rakyat dan mengelakkan perang, terdapat keperluan untuk menjalinkan lebih banyak perikatan seumpama itu, saya akan melakukannya. Kalau seribu kali pun, saya akan melakukannya," tegas Presiden itu. - AFP
Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_04.htm
Sekelumit Rasa Sejernih Suasana
Monday, August 17, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment