Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Sunday, August 9, 2009

Karzai dituduh tidak sediakan kawalan keselamatan semasa pilihan raya Afghanistan

KABUL 9 Ogos - Pesaing utama Presiden Hamid Karzai semalam menuduh kerajaannya gagal menyediakan persekitaran selamat untuk pilihan raya 20 Ogos ini, tetapi menjamin bahawa penyokongnya tidak akan menunjuk perasaan sekiranya kalah.

Bekas Menteri Luar kerajaan Taliban sebelum ini, Abdullah Abdullah berkata, tanggungjawab utama pentadbiran Karzai sepatutnya menjaga keselamatan sepanjang pilihan raya, bagaimanapun ia tidak melindungi petugas kempen.

Jurucakap rasmi Kementerian Dalam Negeri berkata, terdapat sekurang-kurangnya 20 serangan terhadap ahli politik atau pembantu mereka dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Dua orang petugas kempen Abdullah telah dibunuh dalam dua kejadian berasingan bulan lepas, manakala konvoi seorang calon naib presiden Karzai, Mohammad Qasim Fahim, terbakar di utara Afghanistan akhir bulan lepas mencederakan seorang jurukamera petugas kempen.

"Malangnya kerajaan Afghanistan gagal menyediakan aspek keselamatan sepanjang tempoh berkempen.

"Langkah keselamatan yang diambil oleh kerajaan untuk pilihan raya itu tidak mencukupi," kata Abdullah kepada pemberita.

Jurucakap Karzai bagaimanapun tidak dapat dihubungi.

Abdullah dijangka memberi tentangan sengit kepada Karzai, meskipun kebanyakan pemerhati menduga Karzai yang akan menang. - AP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0810&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_09.htm

No comments:

Post a Comment