Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Sunday, August 16, 2009

Taliban ancam gagalkan pilihan raya

KANDAHAR, Afghanistan 16 Ogos - Taliban hari ini buat pertama kalinya mengancam untuk menyerang stesen pembuangan undi Afghanistan, menggiatkan lagi usaha mereka untuk menggagalkan pilihan raya penting minggu ini selepas menyerang NATO di tengah bandar Kabul.

Ancaman itu dibuat di dalam risalah yang dihantar di kampung- kampung di selatan selain ketulenannya telah disahkan oleh seorang jurucakap Taliban yang memberitahu militan itu akan mempercepatkan kempen keganasannya pada malam pilihan raya.

Sebanyak 17 juta pengundi di negara itu akan keluar mengundi pada Khamis depan bagi memilih presiden untuk kali kedua selain memilih 420 ahli majlis daerah dalam satu operasi besar-besaran yang tahap keselamatan dan lokasinya masih tidak diketahui.

"Ini adalah bagi memberitahu semua penduduk bahawa kamu semua tidak boleh menyertai pilihan raya sekali gus mengelak diri daripada menjadi mangsa operasi kami, kerana kami akan menggunakan taktik baru," menurut satu risalah yang diedarkan di bandar Kandahar dan dibaca oleh AFP.

Surat itu telah ditulis oleh Mullah Ghulam Haidar, gerila yang juga komander operasi di bandar Kandahar.

Turut tertera di dalam surat itu, 'pengundi yang bersekutu dengan kerajaan Afghanistan dan kuasa-kuasa luar yang lain akan dianggap musuh Islam'.

"Semua orang telah diberitahu untuk tidak menyewakan tanah mereka untuk dijadikan pusat pembuangan undi, jika mereka masih berdegil, selepas pilihan raya mereka akan berdepan dengan masalah," jelas surat itu.

Jurucakap Taliban, Qari Yousuf Ahmadi mengesahkan bahawa risalah itu adalah tulen dan para komander telah memberi arahan kepada sekutunya untuk memboikot undi.

"Kami menggunakan taktik baru dengan menyasarkan pusat pilihan raya... Kami akan mempercepatkan aktiviti kami pada hari pilihan raya dan sehari sebelumnya," katanya kepada AFP.

"Saya tidak boleh mengulas mengenai taktik terbaru yang akan digunakan. Sasaran di stesen pembuangan undi bukan hanya di selatan tetapi di seluruh negara," tambahnya.

Risalah-risalah itu menunjukkan ancaman Taliban yang pertama untuk menyerang tapak pembuangan undi.

Lewat minggu lalu, Taliban telah mengarahkan pengundi-pengundi untuk memboikot pilihan raya dan menyertai barisan militan dalam perjuangan suci membebaskan Afghanistan. - AFP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0817&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_07.htm

No comments:

Post a Comment