Sekelumit Rasa Sejernih Suasana
Thursday, August 20, 2009
Ancaman Taliban berjaya
WANITA Afghanistan menunjukkan kad pengenalan mereka ketika menunggu untuk mengundi di Kandahar.
Penyertaan penduduk di peti undi pilih presiden berkurangan
KABUL: Ancaman Taliban 'menghukum' penduduk Afghanistan yang mengundi menyebabkan bilangan yang mengambil bahagian dalam pilihan raya presiden di Kabul dan selatan negara itu berkurangan, semalam.
Militan itu melancarkan serangan roket di sana sini termasuk serangan bom, memaksa beberapa pusat mengundi ditutup.
Penyertaan yang berkurangan di selatan negara berkenaan dilihat menjejaskan peluang Presiden Hamid Karzai dipilih semula selain mencerahkan peluang lawannya, bekas Menteri Luar, Abdullah Abdullah.
Selain itu, pengundi di utara dikatakan ramai mengambil bahagian, satu lagi petanda baik bagi Abdullah. Militan Taliban berikrar mengganggu gugat pilihan raya terbaru dan mengancam akan menghukum mereka yang keluar mengundi.
Seorang pemberita yang melawat enam pusat mengundi di Kabul berkata, beliau tidak nampak ada barisan panjang di pusat berkenaan dan kadar penduduk yang keluar mengundi di Kandahar di selatan adalah 40 peratus lebih rendah daripada pilihan raya presiden 2004.
Laporan mengenai kejadian keganasan datang dari seluruh pelusuk negara, termasuk bedilan roket yang jatuh dekat kawasan mengundi di Helmand dan satu letupan berlaku di sebuah pusat mengundi di Kabul.
Syarikat keselamatan di Kabul melaporkan, sekurang-kurangnya lima letupan berlaku dan polis Kabul berbalas tembakan selama lebih sejam dengan sekumpulan lelaki bersenjata, termasuk seorang pengebom bunuh diri.
Karzai mengundi pada kira-kira jam 7 pagi di sekolah tinggi Kabul. Beliau mencelupkan jari telunjuknya ke dalam dakwat yang tidak boleh dipadam bagi mengelakkan penipuan dan menunjukkannya kepada kamera.
Pegawai istana presiden mengeluarkan gambar menunjukkan isteri Karzai menunaikan tanggungjawab mengundi.
"Saya menggesa rakyat Afghanistan supaya mengundi, agar menerusi peti undi ini, Afghanistan akan menjadi lebih selamat dan aman. Undilah, tiada keganasan berlaku."
Karzai yang memegang kuasa sejak Taliban disingkir pada peghujung 2001 oleh serangan diketuai Amerika Syarikat, adalah calon pilihan pertama di kalangan 36 calon presiden, walaupun Abdullah mungkin mencabarnya pada saat-saat terakhir dan boleh menyebabkan pilihan raya semula diadakan jika tiada sesiapa menang lebih 50 peratus.
Keputusan awal dijangka diketahui esok. AP
Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Dunia/20090820231756/Article/indexworld_html
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment