Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Monday, August 31, 2009

Taliban potong hidung, telinga Lal Mohammad

KABUL: Lal Mohammad, 40 (gambar), adalah seorang petani di Afghanistan dan antara berjuta-juta penduduk tidak mempedulikan ancaman Taliban supaya tidak mengundi dalam pilihan raya presiden terbaru, 20 Ogos lalu dan mengugut mencederakan pengundi serta melancarkan beberapa serangan roket dan bom pada hari undian.

Lal kini menyesali tindakannya tidak mengendahkan amaran Taliban. Anggota pergerakan itu menyerbunya ketika dia berjalan ke pusat mengundi serta memotong sebahagian hidung dan telinganya.

Bercakap dengan suara tersekat-sekat ketika ditemui di ibu negara, Lal berkata, sekumpulan militan menahannya dan memeriksanya sebelum memukulnya dengan raifal AK-47 selepas menemui kad pengundi. Selepas itu, mereka mengeluarkan pisau.

“Seorang daripada mereka meletak pisaunya di hidung. Saya memintanya berhenti tetapi sia-sia saja. Saya kesal ambil kad itu untuk mengundi,” kata Lal. Insiden membabitkan militan Taliban memotong jari penduduk yang ada dakwa tanda mengundi diakui berlaku.

Dakwat itu bertujuan menyekat pengundi mengundi beberapa kali tetapi turut membantu penyerang mengenal pasti orang yang mengundi. Seorang jurucakap Taliban menafikan arahan diberi supaya bertindak demikian terhadap pengundi.

Lal menceritakan bagaimana dia pengsan sambil berlumuran darah selama beberapa jam dan hanya sedar selepas seorang lelaki dari kampung menemuinya. - Agensi

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Dunia/20090901083742/Article/indexworld_html

Hidung, telinga dipotong akibat mengundi


KABUL - Seorang rakyat Afghanistan, Lal Mohamed (gambar) tidak menduga dia akan kehilangan hidung dan telinga disebabkan mengundi pada pilihan raya presiden negara itu bulan lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Petani berusia 40 tahun itu menceritakan pengalaman menjadi mangsa pertama dihukum pejuang Taliban kerana enggan memulaukan proses demokrasi itu.

Lebih malang lagi, mangsa itu tidak mendapat rawatan perubatan semasa tiba di sebuah hospital terbesar di Kabul berikutan terdapat ramai pesakit.

Beberapa rakan Lal berkata, dia tidak mendapat sokongan daripada mana-mana pejabat kerajaan kerana menjadi mangsa Taliban.

Lal ditahan oleh tiga lelaki bersenjata raifal AK-47 ketika mahu pergi mengundi di daerah Dai Kundi.

Lelaki itu memeriksa Lal dan menemui kertas pendaftaran pengundian.

"Mereka menjerit kepada saya dan mula memukul dengan raifal sambil berkata mahu memberi pengajaran," katanya sambil menunjukkan bahagian tulang yang patah di muka.

Keluarganya terpaksa berhutang A$20,000 (RM1,460) daripada peminjam wang untuk membeli ubat dan memulihkan mukanya.

"Saya tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan pinjaman itu," kata Lal.

Dia yang kini dirawat dijanjikan akan menjalani pembedahan plastik di sebuah hospital di sini. - Agensi

Sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0901&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Hamid Karzai Mendahului

KABUL 31 Ogos - Presiden Hamid Karzai menjarakkan kedudukannya dengan pencabar utamanya dalam pengiraan terbaru undi pada pilihan raya Presiden Afghanistan sebanyak hampir 50 peratus yang menunjukkan beliau mampu mengelak diadakan pilihan raya pusingan kedua.

Jumlah pengiraan yang dikeluarkan kelmarin menunjukkan Karzai mendahului dengan 46.2 peratus undian berbanding pencabar utamanya bekas Menteri Luar, Abdullah Abdullah yang menerima 31.4 undi.

Keputusan tersebut berdasarkan 35 peratus undi daripada pusat pengundian di seluruh negara.

Beberapa keputusan telah diumumkan daripada wilayah Balkh utara, di mana Abdullah diramal menang dan daripada wilayah Pashto selatan di mana Karzai mendapat sokongan.

Pembantu-pembantu Karzai yakin Presiden itu mampu meraih kemenangan pada pusingan pertama bagi mengelak pusingan kedua diadakan yang dijadual pada Oktober ini, sekiranya keadaan memerlukan.

Abdullah, bagaimanapun semalam membuat lebih banyak dakwaan penipuan berlaku dalam pilihan raya kali ini, sekali gus meningkatkan keraguan di kalangan pengikut Karzai, sama ada akan terus memilihnya, sekiranya beliau memenangi pusingan pertama.

Abdullah memberitahu stesen televisyen RAI di Itali bahawa Karzai bertanggungjawab ke atas penipuan besar dan tipu muslihat pada pilihan raya itu.

Dakwaan penipuan dalam pilihan raya pada 20 Ogos lalu itu 'menderu-deru' dihantar kepada Suruhanjaya Aduan Pilihan Raya (ECC) yang wajar disiasat, sebelum keputusan muktamad diumumkan.

Dakwaan penipuan daripada Abdullah dan beberapa calon lain Presiden, termasuk jumlah pengundi yang rendah di bahagian selatan boleh menimbulkan kesangsian terhadap pilihan raya itu, bukan sahaja di kalangan rakyat Afghanistan tetapi juga kepada Amerika Syarikat dan rakan antarabangsanya yang telah menyokong polisi Afghan sebagai sebuah kerajaan yang boleh dipercayai.

Kerajaan Afghanistan yang diterima secara meluas merupakan salah satu tunggak strategi Presiden Barack Obama untuk menukar situasi 'pasang surut' kepada kemenangan ke atas kempen memerangi pemberontakan Taliban.

Kontroversi yang berlaku dalam pilihan raya itu lebih hangat diperkatakan daripada jumlah korban yang ditanggung oleh tentera AS dan NATO, sedikit sebanyak melemahkan sokongan terhadap peperangan AS, Britain dan negara-negara lain yang menghantar pasukan tentera di sini.

Perdana Menteri Britain, Gordon Brown melawat pasukan tentera British di wilayah Helmand di selatan Afghanistan semalam. Lawatan mengejut itu diharap dapat menghalang pengkritik-pengkritik yang menuduh kerajaannya gagal menyokong misi Britain di sini.

Seorang anggota Marin British terbunuh akibat bom di Helmand pada hari Brown mengadakan lawatan, menurut Kementerian Pertahanan di London. - AP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0901&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_02.htm

Saturday, August 29, 2009

Karzai Dahului Abdullah 46.3 Peratus Undi

KABUL: Hamid Karzai mendahului pencabarnya dalam pilihan raya Presiden Afghanistan dengan 46.3 peratus undi berbanding 31.3 peratus yang diperoleh bekas menteri luar, Abdullah Abdullah, berdasarkan keputusan terbaru yang diumumkan oleh suruhan jaya pilihan raya semalam.

Namun keputusan itu menandakan beliau mungkin terpaksa menghadapi pilihan raya pusingan kedua, yang perlu diadakan jika tiada calon memperoleh lebih 50 peratus undi, yang dijadualkan Oktober depan.

Menurut satu laporan lain, keputusan penuh daripada 35 peratus pusat mengundi dalam pilihan raya presiden kedua itu, yang diadakan pada 20 Ogos lalu dibayangi dengan dakwaan penipuan.

Daripada 2.32 juta undi sah yang dikira, Karzai menang 940,558 undi dan bekas menteri luar, Abdullah Abdullah, 638,924 undi, kata Daud Najafi, ketua pegawai pilihan raya Suruhan jaya Pilihan raya Bebas (IEC).

Keputusan masih dikumpulkan daripada wilayah berlainan, menyebabkan sukar untuk menentukan keputusan terakhir setakat ini. - AFP

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Dunia/20090830002357/Article/indexworld_html

Friday, August 28, 2009

Karzai Miliki Kelebihan

KABUL 27 Ogos - Rakyat Afghanistan yang masih menantikan keputusan pilihan raya baru-baru ini kini terperangkap dalam teka-teki mengenai siapa yang bakal menjadi Presiden mereka dan sebesar mana mandat yang bakal diterimanya.

Jurang antara dua pesaing utama dalam pertandingan merebut jawatan tertinggi itu, Presiden Hamid Karzai dan bekas Menteri Luar, Abdullah Abdullah dipercayai semakin melebar, dengan kelebihan memihak kepada Karzai.

Keputusan setakat ini setelah lebih 17 peratus atau hampir sejuta undi dikira dan disiarkan menunjukkan Karzai yang mendapat sokongan Barat itu menerima 42.3 peratus undi manakala Abdullah mendapat 33.1 peratus undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas (IEC) hari ini mengumumkan pihaknya tidak akan menyiarkan sebarang keputusan lagi sebelum Sabtu ini.

Pengiraan undi akan diteruskan hari ini kata jurucakap IEC, Marzia Siddiqi tanpa menyatakan mengapa pengumuman keputusan hari ini dibatalkan. Jumaat adalah hari cuti di Afghanistan.

Para pegawai IEC mengingatkan tiada kesimpulan harus dibuat berdasarkan angka yang disiarkan setakat ini. - AFP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0828&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_08.htm

Wednesday, August 26, 2009

Bom kereta gegar Kandahar

KANDAHAR: Sekurang-kurangnya 41 orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh, apabila sejumlah bom yang disembunyikan di dalam lima buah kenderaan meletup hampir serentak berhampiran sebuah syarikat asing di sini kelmarin, kata pegawai.

Letupan berlaku sejurus selepas tengah malam semalam, di daerah yang menempatkan kemudahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pejabat perisikan Afghanistan. Letupan turut memecahkan tingkap di sekitar bandar raya itu, manakala asap dilihat berkepul di udara.

Komander polis selatan Afghanistan, Jeneral Ghulam Ali Wahabat berkata jumlah rumah serta bangunan berhampiran yang musnah amat banyak dan pihaknya bimbang ia mungkin menyebabkan angka kematian meningkat. Sekurang-kurangnya 66 orang lagi cedera dalam kejadian itu.

"Asap tebal kelihatan di udara dan banyak mayat bergelimpangan. Sebilangan yang cedera meraung kesakitan," kata Mohammad Ismail, seorang penjual sayur yang dirawat di hospital akibat cedera di kaki dan tangan. – AP

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Dunia/20090826233547/Article/indexworld_html

Tuesday, August 25, 2009

41 maut letupan bom kereta di Afghanistan

KANDAHAR, Afghanistan: Rangkaian bom kereta meletup serentak berhampiran bangunan syarikat milik asing yang merancang membina jalan di kawasan yang dikuasai puak penentang, menyebabkan sekurang-kurangnya 41 orang awam terbunuh.

Letupan kuat itu berlaku sejurus tengah malam dalam daerah yang turut menempatkan kemudahan PBB dan pejabat perisikan Afghanistan.

Kuasa letupan itu memecahkan cermin di sekitar bandar dan memulakan api yang menjulang ke langit.

Banyak rumah dan bangunan berhampiran runtuh dan pegawai penyelamat bimbang angka korban akan meningkat. - AP

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Mutakhir/20090826101523/Article/index_htm

Hamid Karzai dahului Abdullah


BEBERAPA pekerja mengira jumlah undi di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya di Kabul semalam.

KABUL - Presiden Hamid Karzai mendahului saingan terdekatnya dengan kelebihan hanya dua peratus undi dalam keputusan awal pilihan raya presiden Afghanistan, kata suruhanjaya pilihan raya negara itu semalam.

Keputusan awal itu melibatkan kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan undi pilihan raya tersebut yang diadakan pada Khamis lalu.

Pilihan raya presiden itu turut dicemari dengan dakwaan penipuan.

"Daripada keseluruhan 524,444 undi, Hamid memperoleh 212,927 undi manakala saingannya, Abdullah Abdullah mendapat 202,889 undi," kata seorang jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya (IEC).
Karzai
Abdullah

Berdasarkan keputusan tersebut, Karzai mendapat 40.6 peratus undi berbanding 38.6 peratus yang mengundi Abdullah. - AFP

Sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0826&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Sunday, August 23, 2009

Karzai guna jentera kerajaan?

KABUL 23 Ogos - Pencabar utama Presiden Hamid Karzai menuduh beliau menggunakan jentera kerajaan untuk 'memanipulasi' pilihan raya Presiden pada Khamis lalu.

Abdullah Abdullah, bekas Menteri Luar dalam kerajaan Karzai, turut memperincikan kes-kes penipuan yang didakwa dilakukan oleh pegawai kerajaan.

Menurut Abdullah, beliau telah menghubungi calon-calon lain, selain Karzai untuk mengkaji kemungkinan mengetengahkan seorang calon perikatan sekiranya tiada seorang pun daripada 36 calon terlibat memenangi sekurang-kurangnya 50 peratus undi bagi mengelakkan pengundian pusingan kedua yang mungkin diadakan pada Oktober ini.

Tuduhan yang dinafikan oleh jurucakap Karzai itu adalah yang paling lantang dilemparkan oleh Abdullah terhadap Presiden berhubung pilihan raya yang pemenangnya hanya akan diisytiharkan dalam masa berminggu-minggu lagi.

Abdullah dan Karzai masing-masing mendakwa mereka mendahului calon lain berdasarkan laporan daripada pemerhati pilihan raya yang memantau pengiraan undi.

Pegawai dalam kempen Abdullah mendakwa penipuan berlaku di beberapa wilayah di selatan di mana pemberontak Taliban paling aktif dan Karzai dijangka memenangi banyak undi.

"Beliau menggunakan jentera kerajaan untuk memanipulasi pilihan raya. Ini sesuatu yang tidak dijangka," kata Abdullah dalam wawancara dengan Associated Press (AP).

Menurut Abdullah lagi, 'tidak ada bezanya sedikit pun' sama ada Karzai atau penyokongnya mengarahkan penipuan dilakukan.

"Semua ini berlaku di bawah pengawasan dan pimpinannya, dan semua orang yang terlibat dengan penipuan di beberapa bahagian negara ini dilantik oleh beliau sendiri.

"Saya pasti beliau menerima laporan mengenainya. Perkara ini patut dihentikan dan sepatutnya boleh dihentikan oleh beliau," ujar Abdullah.

Bekas Menteri Luar itu juga mendakwa, pegawai kerajaan di wilayah Kandahar dan Ghazni termasuk seorang ketua polis wilayah dan seorang timbalan ketua pilihan raya wilayah mengisi peti undi dengan kertas undi yang memihak kepada Karzai di enam daerah.

Abdullah juga berkata, pemerhati beliau dihalang daripada memasuki beberapa pusat pengundian.

Jurucakap kempen Karzai, Waheed Omar pula menyangkal dakwaan tersebut dan sebaliknya menegaskan kem Presiden telah mengemukakan laporan penipuan yang dilakukan oleh penyokong Abdullah kepada Suruhanjaya Aduan Pilihan Raya. - AP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0824&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_04.htm

Saturday, August 22, 2009

Calon janji hormati keputusan


POSTER Abdullah turut terpampang pada bangunan yang dalam pembinaan di Afghanistan.

Karzai, Abdullah akur pilihan jawatan Presiden Afghanistan

KABUL: Presiden Afghanistan, Hamid Karzai dan pencabar utamanya yang mendakwa masing-masing memenangi pilihan raya presiden, memberi jaminan menghormati keputusan walaupun bimbang wujud ketegangan etnik.

Wakil Amerika Syarikat, Richard Holbrooke menemui Karzai dan bekas menteri luar, Abdullah Abdullah di Kabul kelmarin, sehari selepas pilihan raya walaupun berlaku keganasan dan ancaman Taliban untuk mengganggu pengundian.

Mereka mendakwa bakal memenangi undi majoriti lebih 50 peratus untuk mengelak pilihan raya pusingan kedua Oktober ini.

Pilihan raya itu ujian besar bagi Karzai selepas lapan tahun menjadi presiden dan juga bagi strategi Presiden Barack Obama di rantau itu selepas menghantar beribu-ribu tentera tambahan menentang Taliban dan sekutunya selain bertujuan menstabilkan Afghanistan.

Ditanya apakah beliau bimbang calon mendahului akan menghasut penyokong mereka jika keputusan tidak memuaskan, Holbrooke berkata:

"Mereka menyatakan tidak berbuat demikian dan menghormati keputusan."

Keputusan awal pilihan raya presiden itu dapat diketahui dua minggu lagi.

Pemerhati pilihan raya berkata pusingan kedua antara Karzai, etnik Pashtun dan Abdullah yang mendapat sokongan Tajiks di utara mungkin berisiko memecah belahkan negara itu dan bantahan terhadap keputusan berkenaan mungkin mencetuskan ketegangan. – Reuters

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Dunia/20090823002150/Article/indexworld_html

Friday, August 21, 2009

Penyokong Karzai, pembangkang dakwa menang pilihan raya Presiden

KABUL: Ketika Suruhanjaya Pilihan Raya Afghanistan mengira jumlah undi selepas pilihan raya Presiden kelmarin, penyokong kedua-dua calon utama yang bertanding mendakwa berjaya mendahului calon lawan mereka.

Namun, Timbalan Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas, Zekria Barakzai, berkata beliau tidak dapat mengesahkan dakwaan menyatakan Presiden Hamid Karzai sudah memenangi pilihan raya itu. Penyokong calon pembangkang, Abdullah Abdullah juga mendakwa mendahului Karzai dalam pengiraan undi.

"Keputusan yang kami terima daripada pemerhati di pusat mengira undi, kami mendapat 63 peratus dan Hamid Karzai memperoleh 31 peratus," kata Sayed Aqa Fazil Sancharaki kepada AFP menerusi telefon.
"Ini bukan keputusan muktamad. Kami masih menerima lebih banyak keputusan daripada pegawai kami di tempat mengundi. Mungkin esok baru habis," kata Zekria.

Sebelum pilihan raya kelmarin, pemerhati berkata kempen bertenaga oleh penyokong bekas Menteri Luar, Abdullah, yang kuat di kawasan utara, mungkin menyebabkan pilihan raya pusingan kedua terpaksa diadakan dalam tempoh enam minggu.

Tinjauan pendapat sebelum pilihan raya meletakkan Abdullah pada 26 peratus sokongan.
Pasukan kempen Karzai, yang menang pilihan raya Presiden lalu dengan 55.5 peratus undi pada 2004, juga mendakwa mendahului dalam pilihan raya kali ini.

Sementara itu di MAZAR-I-SHARIF, puak Taliban menyerang sebuah kenderaan yang membawa peti undi, menyebabkan seorang pegawai pilihan raya terbunuh dan beberapa peti undi terbakar di utara Afghanistan. – AFP/Reuters

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Dunia/20090821234232/Article/indexworld_html

Thursday, August 20, 2009

Bilangan pengundi Afghan rendah

KABUL 20 Ogos - Ancaman Taliban menyebabkan tidak ramai rakyat Afghanistan keluar mengundi di ibu negara dan di kawasan yang dikuasai militan di sebelah selatan dalam pilihan raya Presiden hari ini.

Serangan roket dan bom yang dilancarkan oleh militan di sana sini memaksa sebilangan pusat pengundian ditutup.

Peratusan mengundi yang rendah di selatan akan menjejaskan peluang Presiden Hamid Karzai untuk dipilih semula, di samping mengukuhkan kedudukan pencabar utama beliau, bekas Menteri Luar, Abdullah Abdullah.

Peratusan mengundi dipercayai tinggi di sebelah utara, satu petanda baik bagi Abdullah.

Pegawai antarabangsa meramalkan pilihan raya yang tidak sempurna tetapi menyuarakan harapan rakyat Afghan akan menerimanya sebagai sah, satu komponen penting dalam strategi perang Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama bagi negara ini.

Militan Taliban bagaimanapun berikrar untuk menggendalakan pengundian dan menghebahkan ancaman untuk menghukum rakyat yang mengundi, yang dipercayai membuat pengundi enggan keluar menunaikan kewajipan mereka.

Seorang wartawan Associated Press (AP) yang melawat enam pusat pengundian di Kabul tidak melihat pengundi beratur, manakala seorang pegawai pilihan raya di Kandahar, bandar terbesar di selatan yang juga kubu kuat Taliban, berkata, peratusan mengundi dipercayai 40 peratus lebih rendah berbanding pilihan raya Presiden 2004 apabila 70 peratus keluar mengundi.

Laporan keganasan di sana sini dilaporkan dari serata negara ini, termasuk sebuah roket yang hampir mengenai pengundi di Helmand dan satu letupan di sebuah pusat pengundian di Kabul.

Syarikat keselamatan di ibu negara melaporkan sekurang-kurangnya lima letupan, dan polis Kabul berbalas-balas tembakan selama lebih sejam dengan sekumpulan lelaki bersenjata, termasuk seorang pengebom berani mati yang meletupkan diri.

Jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid menelefon AP dan mendakwa lima pejuangnya bertempur dengan polis.

Karzai mengundi di sebuah sekolah menengah di Kabul pada 7 pagi (10.30 pagi waktu Malaysia). Beliau mencelupkan jari telunjuknya dalam dakwat yang tidak boleh ditanggalkan, satu langkah mencegah penipuan, dan menunjukkannya kepada jurugambar.

"Saya menyeru rakyat Afghan keluar mengundi, supaya menerusi kertas undi mereka nanti Afghanistan akan menjadi lebih selamat dan lebih aman," kata Karzai.

Beliau menjadi pilihan untuk menduduki tangga teratas di kalangan 36 calon rasmi, walaupun sokongan mendadak kepada Abdullah pada saat-saat akhir boleh memaksa pengundian pusingan kedua diadakan jika tiada calon memenangi lebih 50 peratus undi.

Keputusan awal dijangka diumumkan di Kabul pada Sabtu ini. - AP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0821&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_07.htm

Ancaman Taliban berjaya


WANITA Afghanistan menunjukkan kad pengenalan mereka ketika menunggu untuk mengundi di Kandahar.

Penyertaan penduduk di peti undi pilih presiden berkurangan

KABUL: Ancaman Taliban 'menghukum' penduduk Afghanistan yang mengundi menyebabkan bilangan yang mengambil bahagian dalam pilihan raya presiden di Kabul dan selatan negara itu berkurangan, semalam.

Militan itu melancarkan serangan roket di sana sini termasuk serangan bom, memaksa beberapa pusat mengundi ditutup.

Penyertaan yang berkurangan di selatan negara berkenaan dilihat menjejaskan peluang Presiden Hamid Karzai dipilih semula selain mencerahkan peluang lawannya, bekas Menteri Luar, Abdullah Abdullah.

Selain itu, pengundi di utara dikatakan ramai mengambil bahagian, satu lagi petanda baik bagi Abdullah. Militan Taliban berikrar mengganggu gugat pilihan raya terbaru dan mengancam akan menghukum mereka yang keluar mengundi.

Seorang pemberita yang melawat enam pusat mengundi di Kabul berkata, beliau tidak nampak ada barisan panjang di pusat berkenaan dan kadar penduduk yang keluar mengundi di Kandahar di selatan adalah 40 peratus lebih rendah daripada pilihan raya presiden 2004.
Laporan mengenai kejadian keganasan datang dari seluruh pelusuk negara, termasuk bedilan roket yang jatuh dekat kawasan mengundi di Helmand dan satu letupan berlaku di sebuah pusat mengundi di Kabul.

Syarikat keselamatan di Kabul melaporkan, sekurang-kurangnya lima letupan berlaku dan polis Kabul berbalas tembakan selama lebih sejam dengan sekumpulan lelaki bersenjata, termasuk seorang pengebom bunuh diri.

Karzai mengundi pada kira-kira jam 7 pagi di sekolah tinggi Kabul. Beliau mencelupkan jari telunjuknya ke dalam dakwat yang tidak boleh dipadam – bagi mengelakkan penipuan dan menunjukkannya kepada kamera.

Pegawai istana presiden mengeluarkan gambar menunjukkan isteri Karzai menunaikan tanggungjawab mengundi.

"Saya menggesa rakyat Afghanistan supaya mengundi, agar menerusi peti undi ini, Afghanistan akan menjadi lebih selamat dan aman. Undilah, tiada keganasan berlaku."

Karzai yang memegang kuasa sejak Taliban disingkir pada peghujung 2001 oleh serangan diketuai Amerika Syarikat, adalah calon pilihan pertama di kalangan 36 calon presiden, walaupun Abdullah mungkin mencabarnya pada saat-saat terakhir dan boleh menyebabkan pilihan raya semula diadakan jika tiada sesiapa menang lebih 50 peratus.

Keputusan awal dijangka diketahui esok. – AP

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Dunia/20090820231756/Article/indexworld_html

Wednesday, August 19, 2009

Afghanistan terus berdarah

Tiga Taliban maut dalam serangan terbaru di Bank Pashtani

KABUL: Pertempuran senjata terus meletus di ibu negara Afghanistan, semalam menjelang pilihan raya kebangsaan hari ini dengan pemberontak Taliban mengancam dan mengganggu gugat rakyat daripada keluar mengundi.

Menyedari keadaan buruk, kerajaan mengarahkan media tempatan untuk tidak melaporkan kejadian keganasan ketika hari pengundian hari ini.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Zemeri Bahsary, memberitahu agensi berita sekurang-kurangnya tiga lelaki bersenjata menyerbu sebuah cawangan Bank Pashtani pagi semalam dalam kejadian di Jadi Maiwand.

Polis bertindak balas dengan mengepung bangunan berkenaan sehingga mencetuskan kejadian berbalas tembakan untuk beberapa jam. Tiga daripada penyerang berkenaan terbunuh.

Jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid, berkata sekurang-kurangnya 20 penyerang bunuh diri dilengkap jaket bahan letupan memasuki bandar raya itu dan lima daripada mereka bertempur dengan polis. Bagaimanapun dakwaan itu tidak dapat disahkan.

Serangan terbaru itu satu petanda Taliban dan sekutu mereka bertekad mengganggu pilihan raya hari ini dengan Presiden Hamid Karzai akan bersaing bersama berpuluh calon presiden lain.

Sekurang-kurangnya lapan orang, termasuk seorang askar Nato dan 55 yang lain cedera dalam dua serangan Selasa lalu, kata pihak berkuasa. Di timur Afghanistan, dua tentera Amerika Syarikat terbunuh dan tiga cedera dalam kejadian bom berasingan, umum tentera Amerika Syarikat menjadikan angka kematian pasukan itu meningkat kepada 26 orang bulan ini. – AP

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Dunia/20090819233428/Article/index_html

Karzai seru rakyat Afghanistan keluar mengundi hari ini

KABUL: Presiden Afghanistan, Hamid Karzai menyeru rakyatnya agar mengetepikan ancaman Taliban dan keluar mengundi, beberapa jam sebelum pusat mengundi dibuka pagi ini bagi membolehkan kerajaan pimpinannya memperoleh mandat baru.

Selain pilihan raya umum itu dilihat satu ujian kepada Karzai, ia juga satu situasi politik yang bakal mencabar kepemimpinan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, yang tahun ini mengarahkan penghantaran besar-besaran anggota tentera bagi membanteras puak Taliban.

Menjelang pembuangan undi hari ini, kebanyakan jalan raya dipenuhi dengan polis yang berkawal 24 jam.

Karzai menyedari kemunculan puak Taliban yang dianggap semakin kuat sejak mereka dijatuhkan daripada pemerintahan Afghanistan pada 2001, boleh memberi kesan terhadap kelancaran proses pilihan raya umum itu.

"Musuh akan melakukan apa saja, tapi ia tidak membantu kita.

"Saya harap esok (hari ini), rakyat yang mempunyai hak mengundi akan tampil dan membuat pilihan demi kestabilan, keamanan dan kemajuan tanah air kita," katanya.

Karzai akan ditentang oleh bekas Menteri Luarnya, Abdullah Abdullah.

Tinjauan umum sejak sebulan lalu menunjukkan Karzai memperoleh kemenangan agak besar tetapi masih belum selesa untuk mendapat mandat pada pusingan pertama pilihan raya presiden. - Reuters

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Mutakhir/20090820070107/Article/index_html

Pengundian pilih presiden baru esok

KABUL 19 Ogos - Lebih suku juta pemerhati pilihan raya ditempatkan di seluruh Afghanistan untuk memantau pilihan raya Presiden esok dalam operasi besar-besaran melibatkan pelbagai negara bagi mencegah penipuan dan keganasan.

Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas Afghanistan (IEC) dijangka mengerahkan kira-kira 250,000 pemerhati di pusat pengundian seluruh negara untuk memastikan pengundi boleh mengundi tanpa bimbang dengan ancaman keganasan atau penipuan undi.

Pemerhati yang kebanyakannya rakyat Afghan itu akan mengawasi lebih 6,000 pusat pengundian dengan tujuan untuk memastikan pengundian berjalan lancar dan kertas undi tidak dipinda selepas pengundian.

Sejumlah 17 juta pengundi layak untuk memilih seorang Presiden pada pilihan raya kedua dalam sejarah Afghanistan itu.

Mereka juga akan memilih 420 anggota majlis di 34 wilayah, dalam operasi lojistik besar-besaran yang terjejas disebabkan masalah keselamatan.

Pemerhati antarabangsa daripada agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, jadual waktu lojistik IEC bagi mengangkut bahan dan pekerja pilihan raya ke pusat pengundian di seluruh negara yang besar dan mundur ini berjalan mengikut rancangan.

Pilihan raya itu diteruskan selepas timbul kebimbangan sejak berminggu-minggu lalu mengenai ancaman pemberontak, disahkan oleh dua serangan berani mati Taliban di Kabul dalam tempoh dua hari, serta ancaman bertulis puak militan itu kepada pengundi supaya jangan keluar mengundi.

Dalam keganasan terbaru menjelang pilihan raya, tiga lelaki bersenjata yang dilaporkan anggota Taliban menggempur sebuah bank di Kabul hari ini, sebelum mereka ditembak mati oleh pasukan keselamatan Afghan.

Sebuah pertubuhan hak asasi manusia di New York menyuarakan pandangan, kadar pengundian yang rendah, keganasan, penipuan dan intimidasi boleh menjejaskan pilihan raya itu.

Menurut Human Rights Watch (HRW), situasi keselamatan 'jauh lebih buruk' berbanding keadaan semasa pilihan raya pada 2004 dan 2005.

"Masalah pendaftaran pengundi, pengundian lebih daripada sekali, pengundian proksi palsu, pengisian peti undi dengan kertas undi palsu, penipuan dalam pengiraan keputusan dan penyelewengan lain oleh kakitangan IEC boleh menjejaskan kesahihan keputusan," menurut HRW. - AFP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0820&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_07.htm

Tuesday, August 18, 2009

21 terbunuh serangan roket Taliban di Kabul

KABUL: Menjelang dua hari sebelum pilihan raya umum di Afghanistan, ibu negara itu digegarkan lagi dengan serangan roket Taliban, menyebabkan sekurang-kurangnya 21 maut.

Serangan di tengah Kabul itu dianggap usaha puak Taliban untuk mengagalkan proses pengundian membabitkan 17 juta rakyat Afghanistan yang layak mengundi.

Bagaimanapun, tentera Nato berkata serangan itu tidak boleh dianggap sebagai ancaman berikutan hanya satu peratus sahaja pusat mengundi berisiko terdedah kepada serangan pengganas.

Kelmarin, pengebom berani mati meletupkan konvoi Nato dalam sebuah bas berdekatan kem tentera Amerika Syarikat, mengorbankan 10 orang termasuk seorang tentera Nato, manakala 50 yang lain cedera. - AFP

Sumber:http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Mutakhir/20090819085849/Article

Rakyat Afghan tekad keluar mengundi Khamis

KABUL 18 Ogos - Rakyat Afghanistan yang telah mengharungi pendudukan Soviet, perang saudara dan penindasan Taliban kini sanggup bertarung nyawa untuk mengundi bagi membawa masa depan lebih baik kepada Afghanistan, tetapi tidak yakin Presiden yang dipilih kelak mampu menghasilkan keamanan dan kemakmuran yang dijanjikan.

Dengan berakhirnya tempoh kempen selama dua bulan semalam, kira-kira 17 juta pengundi Afghan mempunyai kesempatan sehingga hari pengundian pada Khamis ini untuk memikirkan sama ada hendak menunaikan hak demokratik mereka untuk memilih seorang ketua negara, buat kali kedua dalam sejarah negara yang dilanda perang ini.

"Ada desas-desus dan khabar angin menyatakan Taliban akan menggendalakan pilihan raya.

"Jika orang terbunuh, saya juga mungkin terbunuh sama, tetapi saya tetap akan mengundi dengan menyedari risikonya. Saya bukan lebih baik daripada orang lain, tetapi saya akan mengambil risiko itu," kata seorang balu, Amina, 35, di bandar Kandahar, selatan negara ini, yang kerap menjadi medan serangan puak militan.

Pemberontak Taliban membunuh semakin ramai askar Barat dan Afghanistan, negara kelima termiskin di dunia, tetapi banyak kemajuan telah dicapai terutamanya di bandar-bandar di bawah kawalan kerajaan.

Lelaki dan wanita mengecapi lebih banyak kebebasan jika dibandingkan semasa rejim Taliban, ekonomi dibuka kepada pelaburan asing, manakala televisyen, radio dan telefon mudah alih semakin popular di kalangan penduduk bandar, dan berjuta-juta pelarian sudah kembali ke tanah air.

"Pilihan raya adalah antara prinsip utama demokrasi dan sangat penting. Memang ada masalah tetapi saya fikir rakyat Afghan akan keluar mengundi," kata seorang siswazah sains politik, Fazel Ali Farzil dari wilayah Nangarhar, timur Afghan.

Menurut beliau, masalah akan timbul di sesetengah tempat tetapi bukan di seluruh Afghanistan.

"Letupan, serangan berani mati dan pembunuhan bukan perkara baru, penduduk sudah biasa dengan ancaman itu," kata Farzil.

Kira-kira lapan juta rakyat Afghan mengundi dalam pilihan raya pertama Presiden Afghanistan pada 2004. Setahun kemudian, kira-kira 12 juta rakyat Afghan mendaftarkan diri untuk mengundi dalam pilihan raya wilayah dan Parlimen, dengan 51.5 peratus pengundi keluar mengundi.

Pegawai Barat meramalkan peratusan yang keluar mengundi pada minggu ini boleh mencapai setinggi 60 peratus di sebelah utara yang agak aman, berbanding 40 peratus di selatan di mana ancaman Taliban boleh menyebabkan ramai pengundi enggan keluar mengundi.

Namun begitu, pada tahun ini rakyat Afghanistan dapat merasai suasana kempen pilihan raya yang sebenar. Calon-calon utama telah menarik sokongan beribu-ribu orang, menjanjikan keselamatan, pekerjaan dan pembangunan, menyertai perdebatan di televisyen, dan terbang dari kampung ke kampung.

Barisan calon utama yang bertanding terdiri daripada Presiden Hamid Karzai, yang mempertahankan jawatan, bekas Menteri Luar, Abdullah Abdullah, bekas Menteri Kewangan, Ashraf Ghani dan ahli Parlimen, Ramazan Bashardost.

"Saya akan memberi undi saya kepada calon yang berkhidmat kepada negara dan rakyat, sama ada dia Afghan, Uzbek atau Tajik. Semua orang sama bagi kami, Afghanistan ibarat sebuah keluarga.

"Saya akan mengundi untuk keamanan, untuk orang yang akan berbakti kepada negara ini. Buat masa ini, tiada calon yang betul-betul baik. Mereka menaburkan janji tetapi akhirnya gagal menunaikannya," kata seorang petani, Kamal-ud-Din, 75.

Ramai rakyat Afghan merasakan kewajipan mereka untuk menentukan nasib mereka sendiri dan berasa bangga kerana undi mereka dirahsiakan, tetapi nampak berbelah-bahagi tentang prospek masa depan, sama ada menyokong perubahan di bawah pimpinan Abdullah atau Ghani, atau meneruskan kesinambungan di bawah Karzai. - AFP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0819&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_04.htm

Monday, August 17, 2009

Perikatan Kontroversi Hamid Karzai

KABUL 17 Ogos - Perikatan kontroversi yang dijalinkan oleh Presiden Afghanistan, Hamid Karzai dengan ketua-ketua puak perang (warlords) dikecam hebat semalam semasa perdebatan pertama beliau di televisyen dengan para pencabar utama dalam pilihan raya Presiden minggu ini.

Calon yang lantang berkempen atas dasar antirasuah, Ramazan Bashardost dan bekas Menteri Kewangan, Ashraf Ghani membidas Karzai dalam perdebatan langsung selama 90 minit itu, kali pertama seorang Presiden Afghan menyertai acara sedemikian.

Perikatan tersebut yang dijangka boleh membawa kemenangan kepada Karzai dalam pilihan raya Khamis ini, mengecewakan ramai rakyat Afghan serta negara Barat yang menyokong kemajuan negara ini ke arah demokrasi berikutan serangan Amerika Syarikat (AS) pada 2001 yang menggulingkan rejim Taliban.

"Terdapat golongan yang mendakwa mereka memerangi ketua-ketua puak perang tetapi hari ini mereka memainkan peranan utama dalam kempen mereka, malah seorang daripadanya menjadi calon Naib Presiden pertama. Perkara ini tidak boleh diterima oleh rakyat Afghanistan," dakwa Bashardost.

Karzai memilih Mohammed Qasim Fahim, yang dituduh melakukan pelbagai pencabulan semasa perang saudara 1990-an, sebagai calon Naib Presiden pertamanya, selain memperoleh sokongan beberapa pemimpin etnik dan puak yang lain bagi tujuan mendapat undi penyokong mereka yang ramai.

''Sesiapa yang 'menindas' rakyat dalam konflik masa lalu, sama ada semasa menentang rejim komunis, semasa perang saudara dan semasa pemerintahan Taliban pada 1996-2001, 'tidak boleh diterima' sebagai calon,'' kata Bashardost.

Karzai pula mempertahankan sekutu-sekutunya itu, termasuk seorang ketua puak perang paling digeruni di negara ini, Jeneral Abdul Rashid Dostum, dengan berhujah bahawa perikatan tersebut adalah demi kepentingan perpaduan negara.

Dostum pulang ke tanah air semalam daripada kehidupan dalam buangan di Turki, setelah para penyokongnya mengancam untuk menarik balik sokongan terhadap Karzai jika jeneral keturunan Uzbek itu tidak dibenarkan kembali.

Presiden Afghan itu mengambil pendekatan 'khemah besar' dengan tujuan untuk menyatukan para panglima perang yang terlibat dalam perang saudara antara etnik yang memusnahkan Kabul pada 1990-an.

Bashardost bagaimanapun menolak hujah Karzai itu dengan berkata, perpaduan negara tidak boleh dijadikan alasan untuk menerima 'calon-calon paling teruk'.

Perdebatan itu meletakkan Karzai dalam kedudukan terpaksa berdepan dengan pengkritik beliau yang paling lantang dan beliau turut dikecam kerana menarik diri daripada perdebatan sebelum ini.

Ghani, seorang tokoh akademik yang berkempen menjanjikan pemerintahan bersih, kewujudan peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi, turut membidas perikatan Karzai itu dengan berkata: "Saya tidak mengikat sebarang perjanjian dengan mana-mana ketua puak perang, tidak memberi apa-apa jawatan sama ada di peringkat kementerian, gabenor atau lainnya kepada mereka."

Beliau dan Bashardost dianggap dua daripada pencabar utama Karzai pada hari pengundian kelak, apabila 41 nama disenaraikan sebagai calon pada kertas undi. Namun, calon yang dijangka memberi tentangan paling sengit kepada presiden, Abdullah Abdullah tidak hadir pada perdebatan semalam.

Karzai yang dijangka menang tetapi mungkin tidak dapat mengelakkan pengundian pusingan kedua, membalas kecaman lawannya.

"Jika demi kepentingan negara, demi kemajuan, demi perpaduan rakyat dan mengelakkan perang, terdapat keperluan untuk menjalinkan lebih banyak perikatan seumpama itu, saya akan melakukannya. Kalau seribu kali pun, saya akan melakukannya," tegas Presiden itu. - AFP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_04.htm

Isteri tolak seks dibiarkan kelaparan



BEBERAPA wanita Afghanistan menyertai rapat umum dalam kempen pilihan raya presiden di Kabul semalam.

KABUL - Satu rang undang-undang yang membenarkan seorang suami membiarkan isterinya yang menolak untuk melakukan hubungan seks dibiarkan berlapar kini dikuatkuasakan di Afghanistan, lapor sebuah akhbar semalam.

Rang undang-undang kontroversi itu berkuatkuasa pada 27 Julai lepas setelah melalui satu pindaan awal tahun ini.

Versi awalnya menyebut seorang suami tidak memerlukan persetujuan isterinya bagi mengadakan hubungan seks sekali gus membenarkan penggunaan paksaan.

Selain itu, rang undang-undang itu turut menyatakan si isteri perlu mengadakan hubungan seks dengan suami sekurang-kurangnya sekali setiap empat hari.

Undang-undang baru itu bertujuan mengawal kehidupan penduduk minoriti Syiah yang merangkumi 15 peratus daripada 30 juta rakyat Afghanistan. Presiden Afghanistan, Hamid Karzai dikecam oleh masyarakat antarabangsa kerana meluluskan undang-undang itu bagi meraih sokongan penduduk Islam mazhab Syiah dalam plihan raya presiden Khamis ini.

Satu tunjuk perasaan disertai sejumlah wanita diadakan di sini semalam bagi membantah undang-undang yang dianggap menekan kaum wanita itu. - Agensi

Sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0818&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Sunday, August 16, 2009

Taliban ancam serang pusat undi

KANDAHAR: Pergerakan Taliban mengeluarkan ancaman menyerang pusat pengundian, meningkatkan lagi amaran kepada rakyat Afghanistan agar memulaukan pilihan raya Presiden Afghanistan minggu ini.

Ancaman itu terkandung dalam risalah dipasang dan ditaburkan di seluruh perkampungan selatan Afghanistan, disahkan seorang jurucakap Taliban dan dikeluarkan sehari selepas serangan bunuh diri di luar ibu pejabat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Kabul.

Kira-kira 17 juta rakyat Afghanistan yang layak mengundi, dijangka menunaikan tanggungjawab untuk memilih presiden bagi penggal kedua Khamis ini membabitkan 420 majlis wilayah yang terus-menerus diancam masalah keselamatan dan logistik.

Risalah itu menggunakan beberapa bahasa berlainan, merujuk kepada komander tempatan berbeza di wilayah yang menjadi kubu kuat Taliban di negara itu.

"Ini adalah untuk memberi makluman kepada penduduk bahawa anda tidak boleh menyertai pilihan raya bagi memastikan anda tidak menjadi mangsa operasi kami, kerana kami akan menggunakan taktik baru," kata satu risalah yang diedarkan di Kandahar.

Teks risalah dimulakan dengan surah al-Quran yang menggesa umat Islam agar tidak menjalin hubungan atau bekerjasama dengan musuh Islam.

Risalah terbabit ditandatangani Mullah Ghulan Haidar, komander operasi militan di Kandahar. Ia turut menyatakan bahawa pengundi, sebagai sekutu kerajaan Afghanistan dan pasukan keselamatan asing, akan dianggap sebagai musuh Islam.

"Semua orang sudah dimaklumkan bahawa anda tidak boleh menyewakan hartanah untuk dijadikan pusat mengundi dan jika sesiapa melakukannya, walaupun selepas pilihan raya, akan berdepan masalah," kata risalah itu. – AFP

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Dunia/20090816232333/Article/indexworld_html

Taliban ancam gagalkan pilihan raya

KANDAHAR, Afghanistan 16 Ogos - Taliban hari ini buat pertama kalinya mengancam untuk menyerang stesen pembuangan undi Afghanistan, menggiatkan lagi usaha mereka untuk menggagalkan pilihan raya penting minggu ini selepas menyerang NATO di tengah bandar Kabul.

Ancaman itu dibuat di dalam risalah yang dihantar di kampung- kampung di selatan selain ketulenannya telah disahkan oleh seorang jurucakap Taliban yang memberitahu militan itu akan mempercepatkan kempen keganasannya pada malam pilihan raya.

Sebanyak 17 juta pengundi di negara itu akan keluar mengundi pada Khamis depan bagi memilih presiden untuk kali kedua selain memilih 420 ahli majlis daerah dalam satu operasi besar-besaran yang tahap keselamatan dan lokasinya masih tidak diketahui.

"Ini adalah bagi memberitahu semua penduduk bahawa kamu semua tidak boleh menyertai pilihan raya sekali gus mengelak diri daripada menjadi mangsa operasi kami, kerana kami akan menggunakan taktik baru," menurut satu risalah yang diedarkan di bandar Kandahar dan dibaca oleh AFP.

Surat itu telah ditulis oleh Mullah Ghulam Haidar, gerila yang juga komander operasi di bandar Kandahar.

Turut tertera di dalam surat itu, 'pengundi yang bersekutu dengan kerajaan Afghanistan dan kuasa-kuasa luar yang lain akan dianggap musuh Islam'.

"Semua orang telah diberitahu untuk tidak menyewakan tanah mereka untuk dijadikan pusat pembuangan undi, jika mereka masih berdegil, selepas pilihan raya mereka akan berdepan dengan masalah," jelas surat itu.

Jurucakap Taliban, Qari Yousuf Ahmadi mengesahkan bahawa risalah itu adalah tulen dan para komander telah memberi arahan kepada sekutunya untuk memboikot undi.

"Kami menggunakan taktik baru dengan menyasarkan pusat pilihan raya... Kami akan mempercepatkan aktiviti kami pada hari pilihan raya dan sehari sebelumnya," katanya kepada AFP.

"Saya tidak boleh mengulas mengenai taktik terbaru yang akan digunakan. Sasaran di stesen pembuangan undi bukan hanya di selatan tetapi di seluruh negara," tambahnya.

Risalah-risalah itu menunjukkan ancaman Taliban yang pertama untuk menyerang tapak pembuangan undi.

Lewat minggu lalu, Taliban telah mengarahkan pengundi-pengundi untuk memboikot pilihan raya dan menyertai barisan militan dalam perjuangan suci membebaskan Afghanistan. - AFP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0817&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_07.htm

Saturday, August 15, 2009

7 maut, 100 cedera



API daripada kesan serangan bom kereta Taliban di pintu masuk ibu pejabat tentera Nato, semalam.

# Taliban ledak 500kg bom di pintu masuk ibu pejabat tentera Nato
# Taliban beri mesej boleh menyerang di mana saja

KABUL: Tujuh maut dan hampir 100 lagi cedera selepas penyerang Taliban melakukan serangan bom kereta berhampiran pintu masuk utama ibu pejabat tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), di sini, semalam.

Mangsa yang berlumuran darah dan cedera dilihat di jalan raya dekat lokasi serangan, termasuk kanak-kanak yang berkeliaran di pintu masuk pejabat tentera Nato untuk menjual barangan dalam kejadian kira-kira jam 8.35 pagi wak tu tempatan.

Tingkap kedai antik berhampiran berselerakan, selain tompokan darah dapat dilihat di merata tempat dalam serangan terbesar di ibu negara Afghanistan itu dalam tempoh enam bulan lalu.

Jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid, mendakwa pergerakannya bertanggungjawab atas serangan bom berkenaan yang dianggarkan membabitkan kira-kira 500 kilogram bahan letupan.

Kapten Elizabeth Mathias, jurucakap Amerika bagi misi Nato berkata, letupan berlaku berhampiran pintu masuk Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa Nato.


KEADAAN di ibu pejabat tentera Nato selepas serangan.

Kenderaan membawa bom itu melepasi dua pos kawalan sebelum penyerang menghampiri satu lagi pos pemeriksaan anggota keselamatan bersenjata berat yang menahannya.

Pegawai berkata, penyerang bunuh diri itu mungkin memutuskan untuk meletupkan bom ketika perjalanannya disekat tentera.

"Saya sedang minum teh di pejabat apabila satu letupan besar berlaku," kata Abdul Fahim yang cedera di kaki.

"Saya meniarap dan melihat ramai mangsa yang cedera, termasuk polis dan penduduk awam," katanya.

Pengebom yang meletupkan bahan letupan di pintu masuk misi ketenteraan antarabangsa berkenaan dipercayai cuba memberi mesej bahawa anggota Taliban boleh menyerang di mana saja tempat yang mereka mahu.

Pejabat Nato berkenaan yang memantau 100,000 pengaman antarabangsa turut menempatkan pejabat operasi komander tertinggi tentera Amerika, Jeneral Stanley McChrustal dan menjadi laluan untuk ke istana presiden.

Ibu pejabat Nato mempunyai blok simen dan pintu pagar besi bagi menghalang orang ramai mendekati pintu masuk dan pengebom tidak dapat memecahkan halangan berkenaan. Kementerian Pengangkutan Afghanistan pula berada di seberang jalan dari pejabat Nato. - AFP/Agensi

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/BeritaUtama/20090815230634/Article

Pejabat Nato dibom: 7 mati



CARI SOKONGAN... penduduk Kabul berjalan melintasi poster penyanyi, Farida Tarana, menjelang pemilihan presiden pada Khamis ini.

KABUL: Seorang pengebom berani mati meledakkan dirinya bersama kenderaan sarat dengan bahan letupan di depan pintu utama Ibu Pejabat Nato, semalam menyebabkan kematian sekurang-kurangnya tujuh maut dan 91 cedera.

Ia dianggap serangan paling buruk di Kabul dalam tempoh enam bulan.

Sumber berkata, lelaki terbabit berjaya mengelak beberapa sekatan polis tempatan sebelum menekan suis peledak di pintu utama bangunan berkenaan.

Pemerhati berkata, insiden itu mungkin mesej Taliban untuk membuktikan mereka masih mampu bertindak di mana-mana lokasi dalam Afghanistan menjelang pilihan raya presiden minggu depan.

Kumpulan itu beberapa kali memberi amaran supaya orang ramai jangan keluar mengundi dalam pilihan raya pada Khamis ini.

Keadaan itu memaksa sukarelawan asing memikirkan untuk bekerja dari rumah untuk beberapa hari atau meninggalkan Afghanistan untuk sementara waktu.

Mangsa yang cedera dilihat berlari-lari dari itu sebelum dibantu kakitangan perubatan dan membawa mereka ke hospital berhampiran.

Taliban mengaku bertanggungjawab atas serangan itu dan mengesahkan sasaran sebenar adalah Ibu Pejabat Nato serta Kedutaan AS yang terletak kira-kira 150 meter dari itu. - AP

Sumber: http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Global/20090816065722/Article/index_html

Letupan bom kereta, 7 maut

KABUL 15 Ogos - Satu letupan bom kereta di luar pintu pagar utama ibu pejabat tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di sini hari ini menyebabkan tujuh rakyat Afghanistan terbunuh dan 91 lagi cedera.

Pengebom berani mati yang memandu kenderaan berkenaan berjaya melepasi beberapa sekatan polis Afghan sebelum meledakkan bahan letupan yang dibawanya di pintu pagar ibu pejabat tentera antarabangsa itu.

Letupan itu dipercayai bertujuan menyampaikan mesej bahawa pergerakan Taliban boleh melancarkan serangan di mana-mana sahaja ketika rakyat Afghan bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya Presiden yang kedua di negara ini.

Militan Taliban memberi amaran kepada rakyat Afghan supaya jangan mengundi dan mereka mengancam untuk menyerang pusat-pusat pengundian.

Ibu pejabat NATO yang menempatkan markas komander tertingginya, Jeneral Stanley McChrystal dari Amerika Syarikat (AS) terletak bersebelahan Kedutaan AS dan di jalan yang sama dengan Istana Presiden.

Letupan tersebut adalah serangan besar pertama di Kabul sejak Februari lalu, apabila lapan pengebom berani mati Taliban menyerang tiga bangunan kerajaan secara serentak, menyebabkan 20 orang terkorban.

Afghanistan akan mengadakan pilihan raya Presiden pada Khamis ini.

Pekerja asing di negara ini merancang bekerja dari rumah sepanjang minggu depan atau digalakkan meninggalkan negara ini.

Askar AS, NATO dan Afghan sedang bekerja keras untuk melindungi pusat-pusat pengundian, terutamanya di kawasan yang dikuasai militan. - AP

Sumber: ttp://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0816&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_04.htm

Sunday, August 9, 2009

Karzai dituduh tidak sediakan kawalan keselamatan semasa pilihan raya Afghanistan

KABUL 9 Ogos - Pesaing utama Presiden Hamid Karzai semalam menuduh kerajaannya gagal menyediakan persekitaran selamat untuk pilihan raya 20 Ogos ini, tetapi menjamin bahawa penyokongnya tidak akan menunjuk perasaan sekiranya kalah.

Bekas Menteri Luar kerajaan Taliban sebelum ini, Abdullah Abdullah berkata, tanggungjawab utama pentadbiran Karzai sepatutnya menjaga keselamatan sepanjang pilihan raya, bagaimanapun ia tidak melindungi petugas kempen.

Jurucakap rasmi Kementerian Dalam Negeri berkata, terdapat sekurang-kurangnya 20 serangan terhadap ahli politik atau pembantu mereka dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Dua orang petugas kempen Abdullah telah dibunuh dalam dua kejadian berasingan bulan lepas, manakala konvoi seorang calon naib presiden Karzai, Mohammad Qasim Fahim, terbakar di utara Afghanistan akhir bulan lepas mencederakan seorang jurukamera petugas kempen.

"Malangnya kerajaan Afghanistan gagal menyediakan aspek keselamatan sepanjang tempoh berkempen.

"Langkah keselamatan yang diambil oleh kerajaan untuk pilihan raya itu tidak mencukupi," kata Abdullah kepada pemberita.

Jurucakap Karzai bagaimanapun tidak dapat dihubungi.

Abdullah dijangka memberi tentangan sengit kepada Karzai, meskipun kebanyakan pemerhati menduga Karzai yang akan menang. - AP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0810&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_09.htm

Friday, August 7, 2009

Empat askar AS maut kereta langgar bom

KABUL: Empat tentera Amerika Syarikat (AS) terbunuh apabila kenderaan yang mereka naiki terlanggar bom dipasang di tepi jalan di Helmand, wilayah selatan Afghanistan yang menjadi tumpuan operasi besar-besaran tentera Barat terhadap kumpulan Taliban.

Kes terbaru itu meningkatkan jumlah kematian tentera Barat di Afghanistan kepada 15 bulan ini, berbanding 76 bulan lalu, iaitu jumlah kematian bulanan tertinggi tentera asing sejak kerajaan Taliban disingkirkan mereka pada 2001.

Seorang jurucakap tentera AS mengesahkan kematian empat askar berkenaan yang menurutnya akibat letupan bom buatan sendiri Khamis lalu.
Beliau tidak memberi butir mengenai lokasi kejadian itu atau unit tentera AS yang terbabit.

Pada masa ini ada lebih 100,000 tentera Barat di Afghanistan, termasuk 62,000 askar AS - sekali ganda daripada jumlah awal tahun ini berikutan usaha Presiden Barack Obama untuk mengubah haluan konflik yang berlarutan lapan tahun itu.

Pemberontak meningkatkan serangan menjelang pilihan raya presiden 20 Ogos ini yang kumpulan Taliban sudah berjanji akan mengganggunya.
Bom buatan sendiri adalah senjata utama pemberontak dipasang di tepi jalan di wilayah selatan yang menyaksikan 4,000 marin memburu anggota Taliban di lembah Helmand. - Reuters

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Dunia/20090807230129/Article/indexworld_html

26 Korban Ledakan Bom

KABUL: Sekurang-kurangnya 26 orang yang sedang dalam perjalanan ke majlis perkahwinan maut apabila sebutir bom di tepi jalan meletup.

Ketua polis wilayah Helmand, Assadullah Sherzad berkata antara mereka yang terkorban termasuk wanita dan kanak-kanak sementara lima lagi cedera, dalam kejadian di daerah Garmser.

Bom diletak di tepi jalan bagi menyasarkan tentera Afghanistan.
Beribu-ribu askar Britain dan marin Amerika Syarikat mara ke Helmand, salah sebuah kawasan penentangan Taliban, untuk mengawal keadaan dan memastikan kestabilan menjelang pilihan raya presiden pada 20 Ogos depan. Penentang berkenaan yang berikrar akan mengganggu pilihan raya itu, mempertingkatkan serangan dan menambahkan bom di tepi jalan.

Kematian orang awam yang dicatatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam peperangan di negara berkenaan meningkat sebanyak 24 peratus dalam tempoh setengah tahun pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, yang dituduh dilakukan oleh Taliban tanpa mengambil kira nyawa orang awam.

Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dan Amerika mencatatkan Julai sebagai bulan paling banyak kehilangan nyawa dalam tempoh hampir lapan tahun peperangan itu.

Sekurang-kurangnya 42 anggota AS dan 31 daripada pasukan tentera antarabangsa terbunuh, menurut laporan tentera.

Angka kematian bagi bulan ini meningkat kepada 11 orang termasuk seorang anggota yang terbunuh dalam kejadian letupan bom di tepi jalan kelmarin. - AP

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Dunia/20090806230738/Article/indexworld_html

Wanita Afghan Bertanding

KABUL 6 Ogos - Kebanyakan wanita di Afghanistan hanya keluar rumah dengan diselubungi burqa, namun Shahla Atta bukan sahaja tampil dengan mata bercelak dan kuku diwarnai pengilat merah jambu, malah beliau juga bercita-cita untuk menjadi Presiden Afghan yang akan datang.

Atta, 42, antara dua orang wanita dalam senarai lebih 30 calon yang ingin merebut jawatan Presiden negara ini, satu usaha yang penuh cabaran dan bahaya.

Peluang kedua-duanya untuk menewaskan Presiden Hamid Karzai dalam pilihan raya 20 Ogos ini sememangnya tipis.

Bagaimanapun, hakikat mereka boleh berkempen secara terbuka, dengan gambar wajah mereka yang terdedah ditampalkan di serata Kabul, dengan sendirinya boleh dianggap sebagai satu kejayaan.

Ramai penduduk Afghan, terutamanya di luar bandar beranggapan wanita tidak harus menunjukkan muka mereka kepada orang lain selain ahli keluarga terdekat.

"Sukar untuk seseorang wanita mempelawa sekumpulan orang untuk minum teh dan mendengar pandangannya," kata seorang ahli Parlimen wanita di Kabul, Shinkai Kharokhel.

Ahli-ahli politik wanita juga menghadapi ancaman daripada puak Taliban yang mengaku bertanggungjawab membunuh anggota polis wanita dan pegawai Kementerian Hal-Ehwal Wanita sejak beberapa tahun kebelakangan.

Seorang lagi wanita yang bertanding untuk jawatan Presiden, Frozan Fana, 40, tidak berkempen di sesetengah kawasan pedalaman.

Calon Naib Presidennya, Mohammad Nasim Darmand berkata, beliau dan calon lelaki yang lain menghadiri rapat umum untuk berkempen.

Bagaimanapun kebanyakan acara kempen Fana diadakan di dalam bangunan dan hadirin perlu melepasi tapisan keselamatan.

"Taliban dan anasir antikerajaan menentang semua orang, baik lelaki mahupun wanita tetapi wanita menjadi sasaran mudah bagi mereka," kata Kharokhel.

Namun begitu, Fana, seorang pakar bedah ortopedik yang tidak pernah memegang jawatan politik, menjadualkan acara kempen di seluruh bahagian selatan Afghanistan, iaitu kubu kuat Taliban yang termasuk wilayah Helmand, di mana askar marin Amerika Syarikat (AS) dan Britain menjalankan operasi besar-besaran untuk memerangi puak pemberontak itu.

Fana dan Atta kedua-duanya berasal daripada keluarga politik dan menyebut penglibatan suami dan bapa mereka dalam politik sebagai sebahagian pengalaman yang mempersiapkan diri mereka untuk menjadi pemimpin negara.

Atta yang merupakan ahli Parlimen di Kabul berkata, pemimpin wanita boleh membantu melaksanakan pembaharuan terhadap sistem politik yang dicemari rasuah dan kronisme lelaki.

"Rakyat Afghan sudah bosan dengan gejala ini. Berbilion-bilion dolar telah dibazirkan. Cucu-cucu saya akan menjadi tua sebelum Karzai mengubah sistem ini, kerana itu kaum wanita perlu membawa perubahan," kata Atta dalam wawancara di ibu pejabat kempennya. - AP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0807&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_04.htm

Tuesday, August 4, 2009

Saingan antara Karzai dengan Abdullah


ABDULLAH Abdullah (tengah) bersama dengan penyokong-penyokongnya berkempen di Kabul, semalam. Bekas Menteri Luar kerajaan Taliban itu disifatkan satu-satunya calon yang mampu memberi saingan kepada Hamid Karzai. - AFP

KABUL 4 Ogos - Ribuan rakyat Afghanistan keluar untuk mendengar ucapan Presiden Hamid Karzai dalam siri kempen pilihan rayanya di utara negara ini, namun pesaing utamanya tidak begitu mendapat perhatian ketika melakukan perkara sama di ibu negara.

Keadaan ini jelas menunjukkan jalan cerita dominan bagi pilihan raya Presiden kedua Afghanistan: Walaupun terdapat banyak aduan mengenai pencapaian Karzai, beliau tidak akan mengalami kekalahan.

Pencabar utama beliau di kalangan hampir 40 calon, bekas Menteri Luar, Abdullah Abdullah mungkin menarik perhatian ramai dalam kempen di luar ibu negara sekali gus meningkatkan harapan untuk menang atau sekurang-kurangnya mengheret pilihan raya 20 Ogos ini ke pusingan kedua.

Namun kehadiran Abdullah di Kabul, ibu negara dan bandar terbesar negara ini, menunjukkan yang beliau tidak mempunyai asas kukuh untuk menewaskan Karzai.

Walaupun tiada tinjauan pendapat diadakan, pemegang jawatan dianggap sebagai pendahulu.

Jumlah mereka yang keluar mengundi adalah sangat penting di negara yang terbahagi kepada etnik, menghadapi masalah buta huruf dan berdepan dengan masalah pemberontakan ini.

Beratus-ratus daripada 7,000 pusat pembuangan undi mungkin tidak dibuka di kawasan selatan dan timur yang berdepan masalah pertempuran, penutupan yang mungkin merugikan Karzai kerana kekurangan undi dari etnik Pashtun.

Taliban telah mengutuk pengundian sebagai penipuan didalangi Amerika Syarikat (AS) dan mengancam untuk menganggu proses pengundian.

Di tempat-tempat lain, lebih 3,000 keldai akan menghantar peti undi ke tempat pembuangan undi, peti yang akan mewakili calon dengan simbol bagi membantu 70 peratus rakyat Afghanistan yang tidak pandai membaca.

"Kemenangan masih akan menjadi milik Karzai namun terhadap banyak ruang untuk perkara yang tidak disangka.

"Ini merupakan pilihan raya Presiden kedua di Afghanistan. Tidak dapat dipastikan sama ada rakyat akan mengundi di luar garis etnik dan puak," kata Presiden Akademi Amerika untuk Diplomasi, Ronald Nuemann yang pernah menjadi duta AS ke Afghanistan dari 2005 hingga 2007. - AP

Sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0805&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_03.htm

Sunday, August 2, 2009

Isu Pashtun warnai pilihan raya Afghanistan

KABUL 2 Ogos - Dalam debat terbaru menjelang pilihan raya Presiden di Afghanistan, persoalan pertama yang timbul bukan mengenai keganasan atau candu. Ia lebih kepada bagaimana calon melihat kepada garisan putus-putus yang dilukis di atas sebuah peta oleh penjajah British 115 tahun lalu.

Bagi Barat, ia adalah sempadan yang memisahkan Afghanistan dengan Pakistan dan ia merupakan punca kekecewaan kerana kedua-dua negara tidak mampu atau tidak mahu menguatkuasakannya.

Namun tidak bagi etnik terkuat di sana, Pashtun, garisan itu melalui kawasan yang digelar mereka sebagai 'Pashtusnistan' tetapi tidak sah seperti sempadan yang pernah memisahkan Jerman Barat dan Jerman Timur.

Pashtun dan agenda etnik mereka menjadi tumpuan menjelang pilihan raya dan konflik bersenjata di Afghanistan dan Pakistan.

Seperti mana kumpulan Taliban yang dikuasai etnik itu, kebanyakan dari mereka yang tidak mengangkat senjata berkongsi impian penubuhan Pashtunistan yang bersatu. Impian ini semakin hangat diperkatakan ketika Pashtun di kedua-dua belah sempadan semakin bersungut dengan keadaan semasa.

Sekiranya etnik ini keluar mengundi pada 20 Ogos ini, ia akan membantu Presiden Hamid Karzai yang juga seorang Pashtun untuk kekal memegang jawatan itu.

Namun sekiranya kadar keluar mengundi adalah rendah yang berkemungkinan disebabkan keganasan atau ancaman Taliban, pesaing Karzai, bekas Menteri Luar, Abdullah Abdullah lebih berpeluang walaupun berdarah separuh Pashtun.

"Pashtun sangat kritikal dalam pilihan raya Afghanistan. Mereka berada di tengah-tengah pemberontakan di Afghanistan dan Pakistan kerana mereka telah digunakan dan diketepikan sejak tiga dekad lalu oleh 'pemain' serantau dan antarabangsa," kata seorang felo penyelidikan di Pusat Sains dan Hubungan Antarabangsa Belfer, Universiti Harvard, Hassan Abbas.

Bilangan etnik Pashtun berjumlah kira-kira 42 juta bersamaan 42 peratus populasi Afghanistan dan 15 peratus jumlah rakyat Pakistan.

Sokongan mereka membentuk Taliban dengan sebahagian besar kumpulan itu dianggotai etnik Pashtun. - AP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_03.htm