Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Wednesday, December 30, 2009

Lima warga Kanada maut serangan bom di Afghanistan

MONTREAL: Lima warga Kanada - empat askar dan seorang wartawan dilaporkan terbunuh akibat serangan bom ke atas kenderaan tentera yang mereka naiki di Afganistan, semalam.

Ketua Angkatan Tentera Kanada di Afghanistan, Jeneral Daniel Menard mengumumkan perkara itu kepada stesen televisyen Kanada CBS, tetapi tidak menamakan mangsa terbabit.

Bagaimanapun, CBC melaporkan wartawan yang terbunuh dikenali sebagai Michelle Lang, yang bertugas untuk akhbar Calgary Herald.

“Semalam lima warga Kanada terbunuh berikutan satu letupan bom terhadap kenderaan tentera yang mereka naiki ketika melakukan operasi rondaan di Bandar Kandahar," kata Menard.

Beliau berkata, seorang lagi orang awam warga Kanada turut dilaporkan cedera dalam serangan itu. - AFP

Sumber: 

8 warga AS terbunuh dalam serangan di Afghanistan

KABUL: Lapan pekerja awam Amerika Syarikat (AS) terbunuh semalam dalam serangan bom nekad di pangkalan tentera AS, berhampiran degan sempadan Pakistan.

Jurucakap Pentagon,Leftenan Kolonel Almarah Belk, berkata lapan terbunuh apabila penyerang menghidupkan baju yang diletakkan bahan letupan di Pangkalan Operasi Depan Chapman di wilayah Khost, iaitu kubu kuat Taliban.

"Lapan warga AS yang terbunuh dalam serangan di RC-Timur," kata pegawai kedutaan AS merujuk kepada kawasan ketenteraan di timur Afghanistan




Sementara itu, jurucakap Angkatan Pembantu Keselamatan Antarabangsa (ISAF) Nato, berkata tidak ada anggota tentera AS dan ISAF yang terbunuh atau cedera dalam kejadian itu. - AFP

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Mutakhir/20091231061547/Article/index_html

Sunday, December 27, 2009

Komander Taliban di Afghanistan terbunuh

KABUL 27 Dis. - Seorang komander Taliban terbunuh dalam satu insiden tembak menembak di utara Afghanistan. Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berkata, tentera kerjasama antarabangsa-Afghanistan memasuki wilayah Wardak, semalam untuk mencari pemberontak yang dipercayai bertanggungjawab merancang serangan dan membeli senjata serta peralatan membuat bom.
Ketika menghampiri wilayah tersebut, seorang komander Taliban yang bersenjata dan memiliki bom serta beratus-ratus senjata melarikan diri ke sebuah masjid berhampiran.

Tentera keselamatan Afghanistan mengepung masjid berkenaan yang terletak di pinggir Pirdad di daerah Nirkh dan memintanya supaya menyerah diri. Apabila dia menolak, mereka bertindak menyerbu masjid tersebut, katanya. "Dia melepaskan tembakan ke arah kami dari dalam masjid mengunakan senjata AK-47 dan dia telah dibunuh oleh anggota tentera keselamatan," kata NATO dalam satu kenyataan.
Abdul Haq, komander polis daerah Nirkh berkata, tembak-menembak sebenarnya berlaku di luar kawasan masjid bukan di dalam masjid.

Dalam kejadian berasingan, NATO melaporkan, seorang anggota perkhidmatan Amerika terbunuh dalam satu serangan bom di jalan raya pada Jumaat lalu di selatan Afghanistan. - AP

Sumber: http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_08.htm

Saturday, December 26, 2009

Taliban siar rakaman askar AS

Keluarga Prebet Bergdahl rayu anak mereka dibebas dan dihantar pulang

KABUL: Pejuang Taliban di Afghanistan semalam menyiarkan rakaman video seorang askar Amerika yang ditahan kumpulan berkenaan berada di dalam keadaan sihat tetapi mengeluarkan kenyataan mengkritik operasi tentera Amerika di negara itu.

Prebet Bowe Bergdahl, 23, hilang ketika bertugas di pangkalan tentera Amerika di timur Afghanistan 30 Jun lalu dan diketahui sebagai satu-satunya askar Amerika yang ditahan Taliban.

Taliban mendakwa menahan Bergdahl dalam satu rakaman video yang turut menyiarkan gambar anggota tentera terbabit dalam keadaan murung dan ketakutan. Tiada berita mengenai beliau didengar sejak itu sehinggalah penyiaran rakaman video terbaru yang menunjukkan beliau sihat dan dapat bercakap dengan jelas.

Walaupun rakaman video itu disiarkan semalam, tidak diketahui bila tarikh sebenar ia dirakamkan, manakala jurucakap Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) Kol Wayne Shanks memberitahu akhbar The New York Times, ia bukan bukti bahawa Bergdahl masih hidup.

Beliau mengesyaki video itu mungkin sebahagian daripada petikan rakaman yang dibuat awal tahun ini.
"Kami tidak menjadikan rakaman ini sebagai bukti bahawa Bergdahl masih hidup. Kami perlu mengenal pasti bila ia dihasilkan, tetapi ia mungkin dibuat beberapa bulan lalu. Rakaman itu sudah banyak ditapis," katanya.

Di dalam rakaman video itu, Bergdahl dilihat duduk di depan kamera, manakala di sebelahnya kelihatan imej seorang lelaki memakai kaca mata hitam, topi dan pakaian seragam tentera Amerika.

Ia juga turut menyiarkan rakaman beliau sedang makan dengan memakai pakaian harian penduduk di wilayah Kandahar, tempat kumpulan pejuang itu memu-lakan perjuangan mereka pada 1990-an.

Beliau memperkenalkan dirinya sebagai Bergdahl, dilahirkan di Sun Valley, Idaho, menyatakan pangkat, tarikh lahir, jenis dadah, unit dan nama ibunya sebelum memulakan kata-kata 'serangan' terhadap peperangan yang dilancarkan Amerika di Afghanistan dan hubungan negara itu dengan umat Islam.
"Keangkuhan dan kebodohan menjadikan kita buta dan enggan melihat kesalahan dan kesilapan yang kita lakukan berulangkali.

"Nasib Amerika di Afghanistan akan sama seperti yang dialaminya di Vietnam kecuali jika ia menghentikan segala tindakan bodohnya" kata beliau.

Walaupun tidak jelas di mana Bergdahl ditahan ketika video itu dirakamkan, beliau mendakwa menerima layanan baik dan tidak didera, berbeza dengan layanan buruk Amerika ke atas tahanan perangnya.

Sementara itu pegawai kanan Pengawal Kebangsaan Idaho, Leftenen Kolonel Tim Marsono, mengeluarkan kenyataan daripada keluarga Bergdahl yang tinggal di Hailey merayu agar anak mereka dibebaskan dan dihantar pulang.

Marsano yang menemui keluarga anggota tentera itu pagi semalam berkata, ke-luarganya tidak melihat rakaman video itu tetapi bercakap dengan mereka yang menyaksikannya. � AP

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Dunia/20091226232349/Article/index_html

Saturday, December 19, 2009

Karzai dijangka kekal ramai menteri

KABUL: Presiden Afghanistan, Hamid Karzai dijangka mengekalkan kebanyakan menteri kanannya dalam pembentukan Kabinet selepas memenangi pilihan raya untuk penggal kedua, kata seorang menteri semalam.

Diplomat barat secara amnya berpuas hati dengan senarai 23 calon menteri itu, manakala beberapa pihak lain bimbang Karzai yang berjanji untuk membanteras rasuah hanya 'mengitar semula' nama lama.

Pembentukan kabinet itu dilihat sebagai ujian pertama Karzai dalam memenuhi janjinya membersihkan kerajaan selepas menang pilihan raya 20 Ogos lalu yang dicemari penipuan undi.






Menteri Hal Ehwal parlimen, Anwar Jigdalak mengemukakan senarai itu kepada parlimen semalam, iaitu sebulan selepas Karzai disahkan sebagai pemenang pilihan raya presiden selepas pesaing terdekatnya Abdullah Abdullah menarik diri daripada pemilihan pusingan kedua.

Apa yang memeranjatkan tidak ada nama menteri luar dan menteri pembangunan bandar dinamakan.

Pegawai memberitahu Reuters Menteri Luar, Rangeen Dadfar Spanta akan kekal dalam jawatan itu sehingga Persidangan London mengenai Afghanistan, Januari ini.
Beliau akan melepaskan jawatan selepas itu tetapi tidak ada sebab diberi.

Hanya seorang wanita dinamakan iaitu bagi jawatan menteri hal ehwal wanita. Senarai itu perlu didebat dan diluluskan parlimen sebelum ia menjadi rasmi.

Hampir separuh daripada anggota kabinet digantikan atau ditukar jawatan. � Reuters

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Dunia/20091220013244/Article/indexworld_html

Tuesday, December 15, 2009

Lapan terbunuh serangan bom di Kabul

KABUL 15 Dis. - Lapan orang terbunuh dan 40 lagi cedera hari ini apabila seorang pengebom berani mati meletupkan diri dekat sebuah hotel dan rumah tamu yang popular di kalangan warga asing di sebuah kawasan elit di ibu negara Afghanistan ini.
Serangan terbaru yang disyaki dilancarkan oleh puak militan Taliban itu berlaku serentak dengan pembukaan satu persidangan mengenai rasuah oleh Presiden Afghanistan, Hamid Karzai.
Pengebom meletupkan diri di luar pintu pagar Hotel Heetal di daerah Wazir Akbar Khan, berhampiran sebuah rumah tamu dan kediaman bekas Naib Presiden pertama, Ahmad Zia Massoud.
Letupan mencetuskan kebakaran yang merosakkan vila-vila mewah dan memecahkan tingkap bangunan di kawasan kejiranan berkawal ketat yang menempatkan banyak kedutaan asing dan pertubuhan bantuan serta didiami oleh ramai pegawai kerajaan Afghan.
"Semua pintu teksi tercabut disebabkan kekuatan letupan dan kenderaan itu berpusing 360 darjah kerana letupan begitu kuat," kata saksi, Nanghirlay yang berada dua blok bangunan dari tempat kejadian.
Di kediaman Massoud, mayat seorang pengawal peribadi dibawa keluar dengan dibalut selimut sementara seorang wanita lari untuk menyelamatkan diri dengan muka berlumuran darah.
"Lapan orang maut, empat daripadanya wanita, manakala 40 orang lain termasuk wanita dan kanak-kanak cedera," katanya jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Zamarai Bashary.
Seorang warga asing terbunuh, kata seorang pegawai kerajaan yang enggan mendedahkan kerakyatan mangsa.
Pengurus besar syarikat Teknologi Maklumat, IO Global Services, Harjeet Singh berkata, 40 rakyat India menginap di rumah tamu itu, termasuk 20 daripada syarikat beliau.
Lima daripada mereka cedera, termasuk dua kakitangan IT, seorang tukang cuci, seorang tukang masak dan seorang pengawal keselamatan, kesemuanya warga India, kata beliau.
India ialah pelabur besar di Afghanistan selepas kejatuhan rejim Taliban dan filem serta muzik India sangat popular di kalangan golongan tertentu. - AFP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_02.htm

Sunday, November 29, 2009

‘Bom bunyi’ gegar Kabul

KABUL: Sebutir bom meletup dalam tong sampah tapi tidak menyebabkan kerosakan dan kecederaan, semalam.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Zemarai Bashary berkata, bom itu meletup di kawasan kedutaan di Wazir Akbar Khan.

“Bom ini dinamakan bom bunyi, yang hanya mengeluarkan bunyi yang kuat tapi tidak mungkin menyebabkan kerosakan,” katanya.

Hanya dinding di tepi tong mengalami kerosakan kecil. - Reuters

Sumber: http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Global/20091129084107/Article/index_html

12 banduan lolos guna terowong

KABUL 28 Nov. - Seramai 12 orang banduan berjaya melarikan diri dari sebuah penjara di sini hari ini menggunakan sebuah terowong yang mereka gali dari sel mereka.

Antara banduan yang melarikan diri itu ialah anggota militan Taliban berpangkat rendah, pengedar dadah dan beberapa penjenayah lain, menurut ketua polis wilayah Farah, Jeneral Mohamad Faqir Askar.

Seorang banduan lain yang berjaya ditahan semasa dia cuba meloloskan diri dari penjara itu berkata, mereka mengambil masa selama 10 hari untuk menggali terowong tersebut dan mereka merancang untuk mengosongkan penjara itu secara senyap menjelang tengah malam, menurut Mohamad.

Menurutnya, lebih 300 banduan ditempatkan di penjara itu yang hanya mampu menampung seramai 80 banduan.

Penjara Afghanistan yang terlalu padat telah menjadi satu masalah di negara ini ketika pihak berkuasa berusaha melaksanakan sistem keadilan di tengah-tengah konflik yang melanda negara ini.
Dalam kejadian lain di penjara utama di Kabul, pada tahun lalu penghuni penjara itu telah bertindak mengambil alih keseluruhan blok sel itu sebelum mereka diusir.

Pada Jun tahun lalu, militan Taliban menyerang sebuah penjara di selatan bandar Kandahar mengakibatkan 900 banduan berjaya melarikan diri. - AP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_02.htm

Friday, November 20, 2009

15 maut dibom di Afghanistan

HERAT Afghanistan 20 Nov. - Seorang pengebom berani mati meletupkan motosikal yang ditunggangnya di sebuah kawasan yang sesak di barat daya Afghanistan hari ini, mengorbankan 15 orang termasuk seorang pegawai kanan polis, lapor pihak berkuasa negara itu.Ketua Polis Wilayah Farah, Faqir Mohammad Askar berkata, serangan di wilayah bandar Farah itu disasarkan kepada pegawai polis tersebut yang maut bersama dua anggota polis yang menjadi pengawal peribadinya.

Pengarah sebuah hospital utama bandar itu, Abdul Jabar Shayeq berkata, 15 orang dilapor meninggal dunia, sementara 31 yang lain termasuk tujuh orang kanak-kanak cedera.
Farah, wilayah padang pasir utama di sepanjang sempadan dengan Iran, merupakan satu daripada kawasan yang menyaksikan pertambahan serangan pemberontak tahun ini ketika Taliban memperluas kegiatan mereka ke barat dan utara daripada pangkalan asal mereka di selatan dan timur. - AP

Sumber:  http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_14.htm

Bom motosikal korban 15 orang


WARGA Afghanistan mengerumuni sebuah kereta yang meletup selepas melanggar bom di tepi jalan, di Khost, mengorbankan tiga nyawa dan mencederakan tiga kanak-kanak.

HERAT: Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh dan 30 yang lain cedera dalam dua serangan bom di Afghanistan semalam ketika Presiden Hamid Karzai memulakan pentadbiran sebagai presiden untuk penggal kedua di negara itu.

Serangan itu menjadikan jumlah mereka yang terbunuh sejak Karzai mengangkat sumpah jawatan meningkat kepada 30 orang setakat ini.

Setakat ini empat serangan sudah berlaku sejak Karzai mengangkat sumpah jawatan. Dua askar Amerika dan 10 orang awam terbunuh dalam dua serangan bom kelmarin.

Dalam kejadian pertama semalam, seorang lelaki yang menunggang motosikal meletupkan bom di ibu negeri wilayah Farah di barat laut negara itu, mengakibatkan 15 orang terbunuh.

Pegawai berkata serangan dilakukan berhampiran kediaman gabenor wilayah Farah, Rohul Amin Amin menyebabkan kerosakan di bangunan berhampiran tempat trak berat memunggah barangan untuk dibawa ke Herat.

"Penyerang bermotosikal meletupkan diri di sebuah kawasan lapang berhampiran pejabat di rumah saya. Lima belas orang terbunuh termasuk anggota polis manakala yang lain penduduk awam. Seramai 34 orang lagi cedera, kebanyakannya parah," kata Amin.
Seorang doktor di hospital utama di wilayah itu Abdul Jajbar Shayeq, mengesahkan kemalangan jiwa yang berlaku.

Sementara itu dalam kejadian kedua, tiga penduduk awam terbunuh akibat letupan bom tepi jalan di wilayah Khost, manakala empat orang daripada sebuah keluarga cedera.

Siri serangan pejuang Taliban ke atas kerajaan sokongan Barat itu kali ini disifatkan yang terburuk dalam tempoh lapan tahun sejak tentera pakatan diketuai Amerika Syarikat menggulingkan pemerintahan kumpulan itu.

Serangan itu meningkatkan lagi cabaran kepada Karzai untuk memenuhi harapannya bagi membolehkan askar Afghanistan mengambil alih kawalan keselamatan dan mengurangkan jumlah 100,000 tentera asing di negara itu sekarang. - AFP

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Dunia/20091121004847/Article/indexworld_html

Karzai janji banteras rasuah, pelawa Abdullah


KABUL: Presiden Afghanistan, Hamid Karzai yang mengangkat sumpah jawatan untuk penggal kedua semalam berjanji akan membanteras rasuah, sambil mempelawa pesaing terdekatnya, Abdullah Abdullah untuk menyertai kerajaannya.

Karzai yang dikecam hebat kerana tidak bertindak tegas untuk menghapuskan gejala rasuah pada penggal pertama pemerintahannya, mengakui rasuah adalah masalah 'bahaya' dihadapi negaranya.

"Kita akan menganjurkan satu persidangan di Kabul untuk mencari jalan untuk menangani masalah ini," katanya dalam ucapan selepas majlis angkat sumpah yang turut dihadiri menteri luar asing, termasuk setiausaha negara Amerika Syarikat Hillary Clinton di Kabul semalam. Karzai mempelawa bekas menteri luarnya Abdullah untuk menyertai kerajaan perpaduan.

"Kita harus mempelajari daripada kesilapan dan kelemahan sejak lapan tahun lalu," kata presiden 51 tahun itu yang memulakan penggal lima tahun kedua.

Beliau berkata kerajaannya akan melakukan segala-galanya untuk melaksanakan pembaharuan dan berkata pasukan keselamatan Afghanistan berupaya mengambil alih kawalan negara itu daripada tentera antarabangsa dalam lima tahun.
Beliau yakin masalah keganasan antarabangsa dalam negaranya akan dapat diselesaikan.

"Kami akan sedaya upaya mencuba melaksanakan pembaharuan sosial, kehakiman dan pentadbiran," kata Karzai. – AFP

Sumber: http://bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Dunia/20091120003338/Article/indexworld_html

Thursday, November 19, 2009

Karzai angkat sumpah jawatan




Hamid Karzai menjunjung al-Quran semasa mengangkat sumpah jawatan Presiden Afghanistan di Istana Presiden di Kabul, semalam. - AFP

KABUL 19 Nov. - Presiden Afghanistan, Hamid Karzai berjanji akan memerangi rasuah dan mempelawa pencabar utamanya menyertai kerajaan selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden untuk penggal kedua, hari ini.
Karzai menjadi Presiden ketika pemberontak Taliban mencatat rekod tertinggi membunuh tentera Barat dan Afghanistan serta selepas kewibawaan kerajaan berkurangan ekoran pilihan raya yang dicemari dengan penipuan.
"Rasuah adalah masalah yang berbahaya. Kami tidak lama lagi akan mengadakan sidang kemuncak di Kabul untuk mewujudkan penyelesaian baru yang efektif," katanya ketika berucap sempena majlis angkat sumpah jawatan di Istana Presiden di Kabul, hari ini.
Karzai turut mempelawa lawan utamanya Abdullah Abdullah supaya bekerjasama dalam kerajaan perpaduan.
Beliau turut berjanji akan mengambil tindakan untuk membanteras gejala dadah serta mewujudkan banyak peluang pekerjaan.
"Kami telah belajar daripada kesilapan dan kelemahan dalam pemerintahan selama lapan tahun sebelum ini," kata Karzai yang memakai pakaian tradisional Afghanistan.
Selepas lapan tahun perang berlarutan dan negara kucar kacir, Barat menekan Karzai untuk mewujudkan pembaharuan yang kukuh untuk membersihkan kerajaannya dan menarik kembali kepercayaan rakyat.
Hillary Clinton yang turut melawat beliau di Istana Presiden hari ini untuk pertama kalinya sebagai Setiausaha Negara AS berkata, Afghanistan kini berhadapan dengan 'saat yang kritikal'.
Washington meningkatkan kebimbangan tentang kredibiliti Karzai ketika sekutu AS mengesa kerajaan Afghanistan membanteras rasuah untuk menentang pemberontak Taliban. - AFP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_02.htm

Miskin, rasuah faktor utama Afghanistan berperang


KABUL: Kemiskinan dan rasuah adalah dua faktor utama yang menjadi punca Afghanistan dibelenggu peperangan sejak tiga dekad lalu. 

Kenyataan itu dibuat menurut satu kaji selidik yang hasilnya didedahkan sehari sebelum Hamid Karzai mengangkat sumpah sebagai presiden untuk penggal kedua.

Kaji selidik dikendalikan badan amal Britain, Oxfam bersama pertubuhan tempatan dengan menyoal 70 responden, membayangkan masa depan gelap bagi negara berkenaan jika kerajaannya tidak mengembalikan kedaulatan undang-undang, membersihkan institusi polis dan kehakiman, serta menghapuskan budaya tidak menghukum malah memberi habuan kepada penyokong.

Karzai akan mengangkat sumpah sebagai presiden hari ini dengan negara Barat mendesak beliau mengambil tindakan tegas untuk menghapuskan gejala rasuah yang kini menyebabkan Afghanistan disenaraikan sebagai negara kedua paling korup di belakang Somalia. - AFP

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Dunia/20091119003451/Article/index_html

Monday, November 16, 2009

12 terbunuh dalam serangan roket di Tagab

17/11/2009 2:45am

LEMBAH TAGAB, Afghanistan 17 Nov. - Tentera Perancis berkata, 12 orang terbunuh apabila sebuah roket meledak di sebuah pasar yang padat dengan orang ramai di utara Kabul, di mana ketua tentera Perancis di negara bergolak itu sedang bermesyuarat dengan para pemimpin tua puak.

Leftenan Kolonel Lionel berkata, serangan roket ke atas pasar di bandar Tagab dalam wilayah Kapisa itu telah membunuh 12 orang awam dan mencederakan 38 yang lain.

Lionel yang menyaksikan serangan itu berkata, sasaran roket itu ialah ke tempat di mana Brigeder Jeneral Marcel Druart bersama para pemimpin tua puak mengenai sedang mengadakan perbincangan mengenai serangan penting terakhir tentera Perancis di Lembah Tagab. - AP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_01.htm

Wednesday, November 11, 2009

Karzai angkat sumpah 19 November

KABUL: Hamid Karzai akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Afghanistan bagi penggal kedua 19 November ini, selepas diisytihar menang pilihan raya baru-baru ini.

"Kami akan mengadakan majlis angkat sumpah Presiden dan sebuah suruhanjaya, diketuai menteri pertahanan 19 November ini," kata jurucakap menteri pertahanan Afghan, Jeneral Zaher Azimy.

Pegawai beberapa kementerian Afghan akan hadir pada majlis itu, kata Zaher, tapi beliau tidak menyatakan sama ada kenamaan asing turut hadir.

Karzai dijangka mengumumkan Kabinet barunya bulan ini tetapi tiada tarikh ditetapkan. Karzai kembali berkuasa selepas pegawai pilihan raya membatalkan pilihan raya pusingan kedua 7 November lalu, berikutan penarikan diri calon pembangkang, bekas menteri luar, Abdullah Abdullah. - Reuters 

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Dunia/20091111233841/Article/indexworld_html

Saturday, November 7, 2009

2 askar AS hilang di Afghanistan


HELIKOPTER tentera AS mengangkut askar Afghanistan yang cedera di Kandahar kelmarin.

KABUL: Dua askar Amerika hilang di barat Afghanistan ketika misi rutin menghantar bekalan, manakala lebih 25 anggota pasukan keselamatan Afghanistan, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) cedera ketika mencari mereka yang hilang itu, kata tentera.

Pegawai itu bagaimanapun memberi isyarat kedua-dua mereka berkemungkinan besar tidak dijadikan tebusan kumpulan pemisah.

Jurucakap Ibu Pejabat Nato di Afghanistan, Leftenen Kolonel Breasseale, berkata kedua-dua anggota briged tempur itu hilang Rabu lalu dan usaha akan diteruskan untuk mencari mereka.

"Lebih 25 anggota pasukan keselamatan Afghanistan dan Nato cedera, manakala laporan awal menyatakan mereka ditembak kumpulan pemisah," katanya.

Sementara itu Ketua Polis wilayah barat, Jeneral Ikram Uddin Yawar, berkata kedua-dua askar terbabit dihanyutkan arus deras ketika cuba menyelamatkan dua kotak yang jatuh ke dalam sungai ketika digugurkan dari udara di daerah Bala Murghab di wilayah Badghis.

Timbalan ketua polis wilayah Badghis, Abdul Jabar, berkata sebuah helikopter menggugurkan bungkusan makanan di pangkalan tentera pakatan, tetapi angin kencang menyebabkan kotak itu tercampak ke dalam sungai.
"Kedua-dua askar itu dihanyutkan arus ketika cuba mendapatkan bungkusan itu. Polis Afghanistan turut membantu mencari mereka pada Khamis dan kelmarin, tetapi gagal," katanya. AP

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Dunia/20091108004943/Article/index_html

Thursday, November 5, 2009

PBB pindah kakitangan dari Kabul

Keadaan keselamatan di Afghanistan makin buruk

KABUL: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membawa keluar beratus-ratus daripada kakitangan antarabangsanya dari Afghanistan untuk beberapa minggu berikutan keadaan keselamatan yang semakin buruk.

Jurucakap PBB, Aleem Siddique berkata badan dunia itu akan memindahkan 600 daripada kira-kira 1,100 kakitangan antarabangsa sama ada ke kawasan lebih selamat di Afghanistan atau ke negara lain.

Langkah itu diambil seminggu selepas lima kakitangan asing PBB terbunuh dalam serangan militan di Kabul.

PBB berkata langkah itu tidak akan menjejaskan operasinya di Afghanistan.

"Kami berusaha sedaya upaya bagi memastikan tugas PBB tidak akan terjejas dalam tempoh terbabit," kata wakil khas PBB ke Afghanistan Kai Eide pada sidang akhbar di Kabul, semalam.
"Kami hanya melakukan apa yang harus dibuat selepas insiden penuh tragik minggu lalu. Kami perlu menjaga keselamatan kakitangan dan pada masa sama memastikan operasi tidak terjejas," katanya.

Eide berkata sebahagian daripada kakitangan dipindahkan ke lokasi di Dubai di mana PBB mempunyai kemudahannya sendiri.

Siddique pula berkata kakitangan terbabit akan kembali ke Afghanistan dalam tempoh tiga atau empat minggu selepas semua langkah keselamatan diperketatkan.

"Ia akan membabitkan pengumpulan tempat kediaman. Pada masa sekarang PBB menggunakan 93 rumah tetamu di seluruh Kabul untuk kegunaan kakitangannya dan kami bercadang mengurangkan jumlah itu bagi menjamin langkah keselamatan," katanya.
PBB memainkan peranan utama dalam menganjurkan pilihan raya tahun ini dan agensinya seperti Unicef melaksanakan program kesihatan, pendidikan dan lain-lain di Afghanistan.

Dalam serangan minggu lalu, penyerang bunuh diri Taliban yang memakai seragam polis memasuki sebuah rumah tetamu yang digunakan kakitangan PBB membunuh lima orang asing sebelum meletupkan diri mereka. �Reuters

Sumber:  http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Dunia/20091106004724/Article/indexworld_html

PBB pindah 600 kakitangan di Afghanistan

KABUL 5 Nov. - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan memindahkan kira-kira 600 kakitangan asingnya di Afghanistan berikutan serangan maut Taliban ke atas sebuah rumah penginapan pekerja PBB, baru-baru ini.
Pemindahan sementara itu akan melibatkan kira-kira 600 daripada 1,100 kakitangan asing PBB di Afghanistan, kata jurucakap PBB, Dan McNorton, hari ini.
"Baki yang tinggal itu dianggap sebagai kakitangan yang benar-benar perlu. Langkah ini bagi memastikan keselamatan semua kakitangan kami di Afghanistan," kata beliau.
Hampir kesemua 600 kakitangan itu akan meninggalkan negara ini, tetapi sebilangan kecil daripada mereka mungkin dipindahkan ke lokasi lebih selamat di Afghanistan.
Keputusan itu akan dikaji semula dari semasa ke semasa dan dijangka berkuat kuasa selama beberapa minggu.
Pemindahan itu diambil lapan hari selepas serangan militan Taliban ke atas sebuah rumah tamu di Kabul yang menyebabkan lima kakitangan asing PBB terbunuh.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon mengadakan rundingan dengan para penasihat keselamatan di Kabul pada awal minggu ini berikutan serangan ke atas rumah tamu Bekhtar itu.
Ketika bercakap di ibu negara Afghan ini pada Isnin lalu, Ki-moon berkata, keganasan tidak akan mematahkan semangat PBB untuk meneruskan operasinya di negara yang dilanda perang ini.
"Timbul spekulasi PBB akan keluar dari Afghanistan. Kami tidak akan patah semangat dan tidak boleh patah semangat dan kerja PBB akan diteruskan," kata Ki-moon.
PBB mempunyai kira-kira 5,600 kakitangan di Afghanistan, kebanyakan mereka rakyat negara ini, dan pemindahan tersebut akan menjejaskan kira-kira 12 peratus daripada misinya di negara ini. - AFP

Sumber:  http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_05.htm

Tuesday, November 3, 2009

Taliban ditawar berdamai di Afghanistan




HAMID KARZAI


KABUL - Presiden Afghanistan, Hamid Karzai semalam berikrar bahawa kerajaan baru yang diterajuinya akan menghapuskan amalan rasuah dan menyatukan negara itu setelah berbulan-bulan dilanda pergolakan.
Kata Hamid, pentadbirannya bersedia untuk berdamai dengan Kumpulan Taliban dengan meminta kumpulan itu kembali ke tanah air mereka dengan aman.
Sebelum ini, pilihan raya presiden pusingan pertama negara itu dicemari dengan penipuan menyebabkan Hamid terpaksa bertanding sekali lagi dalam pusingan kedua.
"Imej Afghanistan teruk terjejas akibat rasuah. Kami akan berusaha dengan apa cara sekalipun untuk membersihkan noda itu," kata Hamid dalam satu sidang akhbar sambil ditemani Naib Presiden, Mohammad Qasim Fahim.
Hamid, 51, diisytiharkan sebagai presiden untuk tempoh lima tahun akan datang selepas Suruhanjaya Pilihan Raya membatalkan pilihan raya pusingan kedua setelah pencabar beliau, Abdullah Abdullah menarik diri.
"Pemerintah pada masa hadapan ialah pemerintah yang akan menggambarkan semua pihak di Afghanistan. Kami berharap tidak ada pihak yang berasa mereka dipencilkan oleh pemerintah," katanya.
Hubungan Hamid yang rapat dengan Barat semakin suram selepas pemerintah pimpinannya dikaitkan dengan rasuah.
Sementera itu, jurucakap Taliban, Yousuf Ahmadi menganggap tawaran perdamaian itu merupakan janji-janji kosong. - AFP


Taliban gelar Karzai 'presiden boneka'




Hamid Karzai 

KABUL: Pergerakan Taliban semalam memperlekeh Presiden Afghanistan, Hamid Karzai dengan menggelar beliau sebagai 'presiden boneka' selepas dilantik bagi tempoh lima tahun lagi dan menuduh kuasa Barat sengaja membuat keputusan membatalkan pilihan raya pusingan kedua.

"Pembatalan pusingan kedua pilihan raya menunjukkan keputusan bagi masa depan Afghanistan dibuat oleh Washington dan London, manakala pengumumannya dibuat di Kabul.

"Apa yang mengejutkan ialah, dua minggu lalu mereka mendakwa presiden boneka Hamid Karzai terbabit dalam penipuan pilihan raya dan sekarang apabila beliau dipilih sebagai presiden berdasarkan undi tipu, Washington dan London serta-merta mengucapkan tahniah," kata pergerakan itu dalam satu kenyataan.

Puak Taliban turut mempersoalkan dasar dan prinsip yang diguna pakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghalalkan pentadbiran sekarang apabila slogan 'perang ke atas keganasan' dan 'demokrasi' ternyata hanya 'cakap kosong'.

Taliban yang mempunyai kubu kuat di sepanjang sempadan Afghanistan dan Pakistan, diusir dari Kabul oleh Tentera Bersekutu diketuai Amerika pada 2001.

Karzai pernah mengemukakan rayuan kepada Taliban dan menawarkan pengampunan kepada pemimpinnya Mullah Mohammad Omar.


Sementara itu, Karzai semalam yang menerima tekanan Barat untuk menghapuskan rasuah berikrar kerajaan barunya akan menghapuskan amalan itu dan menawarkan perdamaian kepada Taliban, sambil menggesa mereka 'kembali dan berbakti kepada negara'. – AFP

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Dunia/20091103232255/Article/index_html

Monday, November 2, 2009

Hamid Karzai diisytihar pemenang pilihan raya

KABUL: Penganjur pilihan raya semalam mengisytiharkan Hamid Karzai sebagai Presiden Afghanistan yang sah bagi penggal kedua, sekali gus membatalkan pilihan raya semula, berikutan desakan diplomatik diketuai Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon.

“Kami mengisytiharkan Hamid Karzai, yang menang majoriti undi dalam pilihan raya pusingan pertama dan calon tunggal dalam pusingan kedua, sebagai presiden Afghanistan yang dipilih,” kata pengerusi Suruhanjaya Bebas Pilihan Raya, Azizullah Ludin.

Azizullah berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan peruntukan dalam undang-undang pilihan raya Afghanistan dan perlembagaannya serta ‘sejajar dengan kepentingan rakyat Afghan.’

Keputusan itu diumumkan sehari selepas pencabar tunggal, Abdullah Abdullah menarik diri, menjadikan Karzai calon tunggal dalam pilihan raya semula itu.

Awalnya, Ban menemui Karzai, berhubung krisis pilihan raya Afghanistan selepas pencabar tunggalnya menarik diri.

Lawatan mengejut Ban menandakan beliau berusaha untuk menggunakan tekanan diplomatik bagi memastikan pilihan raya Sabtu ini dibatalkan, walaupun ada desakan daripada pegawai Afghanistan bahawa sudah terlambat untuk menghentikan proses berkenaan.
Ban melakukan lawatan sehari selepas Abdullah Abdullah mengumumkan tidak akan menyertai pilihan raya hujung minggu ini kerana bimbang akan berlaku lagi penipuan dengan meluas, yang menjejaskan pusingan pertama, 20 Ogos lalu.

Ban turut dijangka menemui Abdullah serta kakitangan PBB berikutan serangan bunuh diri Taliban di kediaman kakitangan, menurut satu kenyataan.

Tiada maklumat yang diperoleh mengenai apa yang ingin disampaikan oleh Ban kepada kedua-dua calon presiden itu, dan menurut seorang jurucakap PBB, ‘adalah sukar untuk melihat’ bagaimana Afghanistan boleh mengadakan pilihan raya dalam masa lima hari saja dengan hanya seorang calon.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton menjelaskan pentadbiran Obama akan terus mengadakan kerjasama dengan Presiden Hamid Karzai sekiranya beliau kekal sebagai pemimpin.

Serentak dengan itu keputusan pencabar presiden, Abdullah Abdullah untuk menarik diri daripada pilihan raya semula itu dijangka tidak akan memberi kesan kepada Presiden Amerika, Barack Obama dalam mengatur strateginya di Afghanistan.

“Terserah kepada pihak berkuasa Afghanistan menyelesaikan proses pilihan raya ini, selaras perlembagaannya,” kata Hillary dalam kenyataan yang dihantar melalui e-mel kepada pemberita kelmarin ketika beliau dalam penerbangan ke Maghribi.

Seorang diplomat Eropah berpendapat bahawa ada kekhuatiran mengenai pilihan raya itu yang akan diadakan ketika pemberontakan Taliban semakin menjadi-jadi. - AFP/Reuters

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Dunia/20091102232418/Article/indexworld_html

Karzai Presiden Afghanistan

KABUL 2 Nov. - Presiden Hamid Karzai diumumkan sebagai pemenang dalam pilihan raya Afghanistan pada Ogos lalu oleh penganjur yang memberitahu bahawa pemilihan tidak boleh dilakukan secara sah atau praktikal dengan hanya seorang calon.
"Kami mengisytiharkan bahawa Hamid Karzai, yang memenangi majoriti undi dalam pusingan pertama, dan merupakan satu-satunya calon dalam pusingan kedua terpilih sebagai presiden Afghanistan," kata pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas (IEC), Azizullah Ludin.
Pengisytiharan itu dibuat sehari selepas bekas menteri luar Abdullah Abdullah mengumumkan beliau tidak akan menyertai pilihan raya pada 7 November ini kerana bimbang penipuan yang berleluasa berulang kembali sebagaimana pada pusingan pertama Ogos lalu.
Ludin berkata, pengisytiharan itu dibuat sejajar dengan undang-undang pilihan raya dan perlembagaan Afhganistan dan konsisten dengan apa yang dimahukan oleh rakyat Afghanistan. - AFP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_06.htm

Sunday, November 1, 2009

Abdullah umum tarik diri tanding




ABDULLAH (kanan) duduk bersama penyokongnya pada satu perhimpunan di Kabul, semalam.

Calon pembangkang pilihan raya Presiden Afghanistan dakwa kerajaan tak adil

KABUL: Calon pembangkang dalam pilihan raya presiden Afghanistan, Abdullah Abdullah semalam mengumumkan menarik diri dan menuduh kerajaan tidak memenuhi permintaannya agar diadakan pengundian secara adil.

Beliau bagaimanapun tidak mahu penyokongnya memboikot pilihan raya berkenaan.

Abdullah menghadapi tekanan supaya menarik diri daripada bertanding melawan Presiden Hamid Karzai, yang dilihat penganalisis sebagai calon pilihan yang akan menang pilihan raya pusingan kedua itu, selepas memperoleh undi terbanyak dalam pusingan pertama yang dicemari penipuan 20 Ogos lalu.

"Saya tidak akan mengambil bahagian pada pilihan raya ini. Bukannya mudah bagi saya membuat keputusan ini," Abdullah memberitahu penyokongnya di Kabul dan menambah beliau tidak menyatakan kepada sesiapa supaya memboikot pilihan raya 7 November ini.

Penyokong Karzai berkata, pilihan raya pusingan kedua itu akan tetap diteruskan walaupun Abdullah sudah menarik diri.
Afghanistan dilanda ketidaktentuan politik selama beberapa minggu, menyebabkan soal keselamatan menjadi perkara utama selepas puak Taliban berikrar untuk mengganggu pilihan raya pusingan kedua itu.

Dengan keadaan masa depan politik Afghanistan yang tidak menentu itu, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama juga sedang menimbang sama ada akan menghantar sejumlah 40,000 anggota tentera tambahan ke negara berkenaan. Obama menemui pemimpin tertinggi tentera Jumaat lalu bagi mengkaji semula cadangannya itu.

Abdullah sebelum ini memberi Karzai tempoh waktu untuk memecat pegawai tertinggi pilihan raya Afghanistan bagi mengelakkan kejadian pusingan pertama yang dicemari itu berulang, tetapi ia berlalu tanpa tindakan kelmarin.

Abdullah juga mengadakan perjumpaan dengan pemimpin puak lebih berusia daripadanya di sebuah khemah di barat Kabul semalam.
"Saya tidak minta mereka berbuat demikian," kata Abdullah ketika ditanya sama ada beliau akan menggesa penyokongnya memboikot pilihan raya itu.

Pilihan raya semula itu diadakan apabila siasatan anjuran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendapati ada unsur penipuan. - AFP


Afghan: Abdullah tarik diri




ABDULLAH Abdullah (kiri) disambut oleh para penyokongnya semasa beliau mengadakan satu perjumpaan di Kabul, semalam. – REUTER


KABUL, 1 Nov. – Bekas Menteri Luar Afghanistan Abdullah Abdullah hari ini mengumumkan menarik diri daripada mentertai pengundian pusingan kedua pilihan raya Presiden negara iniyang dijadual berlangsung pada 7 November ini kerana menuduh kerajaan tidak memenuhi permintaannya supaya memastikan pengundian itu akan diadakan secara adil.
Bagaimanapun, beliau tidak menggesa supaya pengundian itu dipulaukan.
“Saya tidak akan mengambil bahagian dalam pengundian kali kedua.... Saya membuat keputusan ini dengan hati yang berat,’’ kata Abdullah kepada pemberita di Kabul hari ini.
Sementara itu, pasukan kempen Karzai berkata, pengundian pada 7 November ini akan diteruskan, walaupun Abdullah menarik diri.
Politik Afghanistan tidak menentu sejak beberapa minggu lalu, dengan masalah keselamatan turut menjadi isu utama setelah militan Taliban mengugut akan menganggu pengundian pusingan kedua.
Ketika politik Afghanistan terus tidak menentu, Presiden Barack Obama juga sedang menimbang sama ada akan menghantar tentera tambahan sehingga 40,000 anggota ke negara ini.
Obama telah menemui pegawai atasan tentera pada Jumaat lalu bagi mendapatkan gambaran.
Jurucakap White House tidak dapat dihubungi untuk mengulas keputusan Abdullah menarik diri.
Abdullah berkata, beliau menarik diri kerana permintaannya tidak dipenuhi oleh kerajaan termasuk meminta supaya ketua Suruhanjaya Bebas Pilihan Raya (IEC) dipecat tidak dipenuhi.
Dalam suara yang terketar-ketar, Abdullah memaklumkan kepada pemimpin-pemimpin kabilah dalam sebuah khemah besar di barat ibu negara ini bahawa beliau telah membuat keputusan untuk menarik diri menyertai pengundian pusingan kedua ‘‘demi kepentingan negara.”
Ketika ditanya oleh pemberita sama ada beliau akan menggesa penyokongnya supaya memulaukan pengundian itu, Abdullah berkata: “Saya tidak membuat gesaan itu.”
Pengarah kempen Abdullah, Abdulsattar Murad berkata, rundingan dengan Karzai tidak ada dalam jadual buat masa ini dan Abdullah, dijangka mengadakan sidang akhbar lewat hari ini.
Calon gandingan Abdullah, Homayoun Assefy berkata, rundingan dengan Karzai akan diadakan selepas pengundian.
“Kempen kami sudah berakhir,” kata Assefy. Kami tidak akan mengambil bahagian. Kin

Sumber: http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm

Pencabar Karzai timbang pulau pengundian


KABUL 31 Okt. - Rundingan antara Presiden Afghanistan, Hamid Karzai dengan pencabarnya, Abdullah Abdullah menemui kegagalan dan bekas Menteri Luar itu dijangka memulaukan pengundian pusingan kedua pilihan raya Presiden minggu depan.

Sumber dalam pasukan kempen Abdullah berkata, beliau akan mengumumkan pemulauan pada pengundian 7 November itu jika beberapa tuntutan beliau tidak dipenuhi menjelang akhir hari ini.
"Jika syarat-syarat kami tidak dipenuhi, Dr. Abdullah akan mengumumkan keputusannya dalam sidang media esok. Kami tidak akan menyertai pilihan raya yang tidak telus dan tidak bebas daripada penipuan," kata seorang pegawai kanan dalam pasukan kempennya.
Abdullah pada awal minggu ini mengenakan beberapa syarat supaya pengundian pada 7 November ini boleh dianggap sah, tetapi rundingan intensif antara kedua-dua calon serta penyokong mereka menemui kegagalan semalam, menurut satu sumber sebelum itu.
Abdullah memberi Karzai tempoh sehingga hari ini untuk mempersetujui syarat-syarat itu.
Abdullah pada Isnin lalu berkata, tidak ada jaminan pengundian pada 7 November ini akan menjadi lebih adil daripada pusingan pertama.
Beliau antara lain menuntut supaya Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas yang dilantik oleh Karzai, Azizullah Lodin dipecat dalam masa lima hari, dengan alasan Lodin tidak memiliki kredibiliti.
Abdullah juga menuntut perubahan di beberapa kementerian dan perjanjian perkongsian kuasa tanpa mengadakan pengundian pusingan kedua, tetapi Karzai berkeras mahukan pengundian diteruskan sebelum sebarang perjanjian mengenai perkongsian kuasa. - AP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_05.htm

Tuesday, October 27, 2009

Bakar al-Quran: Protes ganas berterusan


PELAJAR-PELAJAR universiti di Afghanistan bertempur dengan pasukan keselamatan dengan melontar batu di Kabul, semalam. – AFP


KABUL 26 Okt. – Polis Afghanistan hari ini melepaskan tembakan dan menghalakan meriam air ke arah penunjuk perasaan yang melancarkan protes di sini selepas timbul dakwaan tentera Barat membakar senaskhah al-Quran.
Tiga orang dilaporkan cedera terkena tembakan dalam pertempuran dengan polis, apabila polis cuba menghalang kira-kira 300 pelajar yang kebanyakannya lelaki daripada berarak ke bangunan Parlimen, kata ketua siasatan jenayah polis Kabul, Sayed Abdul Ghafar Sayedzada.
“Polis melepaskan tembakan ke arah orang ramai dan sebutir peluru mengenai saya ketika saya hendak menutup kedai saya,” kata seorang pemuda, Sherullah yang dimasukkan ke hospital setelah cedera di pinggul.
Sayedzada menafikan polis melepaskan tembakan ke arah orang ramai dan mendakwa mereka hanya menembak ke udara, selain menggunakan meriam air.
Bagaimanapun seorang doktor di wad kecemasan hospital Ibn Sina memberitahu AFP, sekurang-kurangnya tiga lelaki yang cedera ditembak telah dimasukkan ke hospital.
Lebih 15 anggota polis turut cedera dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dengan pasukan keselamatan itu, kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Zemarai Bashary.
“Kami mengadakan tunjuk perasaan untuk membantah pembakaran al-Quran oleh tentera asing tetapi polis tiba dan mula memukul kami,” kata seorang pemuda yang ditangkap.
Dalam protes serupa di sini semalam, penunjuk perasaan membakar patung Presiden AS, Barack Obama dan menyerang polis yang melepaskan tembakan ke udara untuk menyuraikan mereka.
Protes serupa tetapi lebih kecil turut berlaku di bandar Jalalabad dan Kandahar pada minggu lepas.
Seorang jurucakap Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) pimpinan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berkata, dakwaan mengenai pembakaran al-Quran itu sudah disiasat dan didapati tidak berasas.
“Siasatan mendapati tidak ada anggota ISAF atau tentera Afghan yang membakar sebarang naskhah al-Quran di wilayah Wardak,” kata jurucakap itu. – AFP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1027&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_02.htm

3 helikopter NATO terhempas

KABUL 26 Okt. - Tiga helikopter tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) terhempas di Afghanistan dalam dua insiden berasingan hari ini, menyebabkan sejumlah 11 askar Amerika Syarikat (AS) dan tiga orang awam AS terbunuh.
Dalam insiden awal pagi ini, tujuh askar AS dan tiga orang awam AS maut dalam nahas sebuah helikopter yang menyertai serangan ke atas kumpulan yang disyaki pengedar dadah di barat Afghanistan.
Seramai 11 askar AS, 14 askar Afghan dan seorang orang awam AS cedera dalam nahas itu.
Dalam nahas satu lagi, empat askar AS terbunuh dan dua rakan mereka cedera apabila dua helikopter yang mereka naiki bertembung di udara di selatan Afghanistan, kubu kuat Taliban dan bahagian paling bergolak di negara ini, menurut Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) kendalian NATO.
"Empat anggota ISAF terbunuh dan dua lagi cedera dalam insiden tersebut. Siasatan sedang dijalankan tetapi sudah disahkan bahawa nahas bukan berpunca daripada tembakan musuh," menurut satu kenyataan ISAF.
Tahun ini merupakan tahun paling berdarah bagi lebih 100,000 askar NATO dan AS yang memerangi pemberontak Taliban sejak serangan diketuai AS pada 2001 menggulingkan rejim Taliban di Kabul.
Laman web bebas, icasualities.org yang menghitung angka kematian askar asing di Afghanistan melaporkan, pada tahun ini 424 askar sudah terkorban, 256 daripadanya askar AS.
Barat Afghanistan semakin menjadi kawasan pemberontak sejak beberapa bulan lalu apabila Taliban melebarkan sayapnya ke seluruh negara ini.
Majlis Antarabangsa mengenai Keselamatan dan Pembangunan di London menganggarkan Taliban mempunyai pangkalan tetap di kawasan meliputi 80 peratus daripada Afghanistan.
Ketika negara ini bersiap sedia untuk mengadakan pengundian pusingan kedua pilihan raya Presiden pada 7 November ini, Taliban mengancam untuk mengulangi taktik keganasan dan ancaman yang menyebabkan berjuta-juta penduduk enggan keluar mengundi pada pengundian pusingan pertama pada 20 Ogos lalu.
Keadaan semakin tegang menjelang pengundian bulan depan bagi memilih antara dua calon, sama ada Presiden Hamid Karzai atau bekas Menteri Luar, Abdullah Abdullah, dan di Kabul semalam, penduduk mengadakan demonstrasi anti-Barat selepas timbul laporan askar AS membakar senaskhah al-Quran dalam operasi anti-Taliban.
Pegawai berkata, persiapan untuk memastikan keselamatan semasa pengundian tersebut dijadual diputuskan hari ini. - AFP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1027&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm

Tuesday, October 13, 2009

PBB sahkan penipuan di Afghanistan


KABUL 12 Okt. - Wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Afghanistan, buat kali pertama semalam mengakui bahawa pilihan raya Presiden di negara ini telah dicemari dengan penipuan yang ketara dan meluas.

Kai Eide mengadakan satu sidang media bagi membalas dakwaan yang dibuat timbalannya yang telah dipecat, Peter Galbraith, bahawa beliau telah menyembunyikan bukti penipuan undian tersebut.
Menurut Eide, PBB menyokong siasatan penipuan undi tersebut yang dijangka selesai dan keputusan akhir akan diumumkan dalam masa beberapa hari lagi.

Pilihan raya Presiden Afghanistan yang diadakan pada 20 Ogos lalu, dibayangi dakwaan penipuan, kebanyakannya ditujukan kepada Presiden Hamid Karzai.

Keputusan Eide untuk bercakap kepada media membayangkan kerosakan yang dilakukan oleh Galbraith terhadap kredibiliti PBB, sebagai penganjur dan pembiaya pilihan raya tersebut.

Pada pilihan raya itu, Hamid mendahului keputusan awal dengan kira-kira 55 peratus undi berbanding pesaing terdekatnya, Abdullah Abdullah yang memperolehi 28 peratus undi.

"Memang benar terdapat penipuan ketara di beberapa pusat pengundian di selatan dan tenggara Afghanistan.
"Tahap serius penipuan itu sedang dikenal pasti,'' katanya merujuk kepada siasatan oleh Suruhanjaya Aduan Pilihan Raya (ECC) dan proses mengaudit kotak pengundian yang disyaki terlibat oleh Suruhanjaya Pilihan raya (IEC) pada minggu lalu.

"Dakwaan menyatakan penipuan berlaku pada kadar 30 peratus. Pada peringkat ini, tahap penipuan itu masih belum diketahui.
"Tiada siapa yang tahu. Saya hanya boleh katakan, memang berlaku penipuan yang meluas,'' ujarnya. - AFP

Sumber:http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1013&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_04.htm

Wednesday, September 16, 2009

Hamid Karzai menang 54.6 peratus undi




HAMID KARZAI


KABUL - Keputusan awal pilihan raya presiden Afghanistan semalam menunjukkan Hamid Karzai menang dengan memperoleh 54.6 peratus undian.
Namun keputusan itu belum lagi disahkan sebagai muktamad kerana satu suruhanjaya yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih memeriksa ribuan kertas undi yang mungkin diragui.
Jika suruhanjaya itu membatalkan kertas undi yang diragui, jumlah undian Hamid dijangka jatuh di bawah 50 peratus sekali gus menyebabkan beliau terpaksa berdepan dengan pencabar terdekatnya, Abdullah Abdullah sekali lagi.
Dakwaan penipuan itu mencemari proses pilihan raya kali ini malah Kesatuan Eropah (EU) menyatakan pasukan pemantauan pilihan raya mendapati terdapat 1.5 juta kertas undi yang diragui.
Pilihan raya presiden itu diadakan pada 20 Ogos lalu. - AP

Tuesday, September 15, 2009

Tahanan penjara Bagram dibenar ke mahkamah


WASHINGTON 15 Sept. - Buat julung kalinya, Amerika Syarikat (AS) membenarkan kira-kira 600 penghuni pusat tahanannya di Kabul, yang digelar Guantanamo Afghanistan untuk mencabar kesahihan penahanan mereka di mahkamah.

Sebahagian daripada mereka yang telah bertahun-tahun ditahan di Pangkalan Udara Bagram di utara Kabul, kini akan dibantu oleh seorang pegawai tentera AS untuk mengumpul saksi dan bukti bagi mengemukakan kes mereka, demikian menurut Jabatan Pertahanan.
Mereka kemudian akan dibenarkan membela diri, malah memanggil saksi di hadapan badan tentera yang dipertanggungjawabkan dalam mempertimbang kes yang difailkan.
"Secara asasnya ia adalah prosedur kajian semula yang memastikan tahanan berhadapan dengan satu panel secara berkala untuk memberi mereka peluang mempersoalkan penahanan mereka," kata jurucakap Pentagon, Bryan Whitmabn kepada pemberita.

Banduan akan dibantu oleh 'wakil peribadi' beruniform, yang akan 'memberi panduan kepada mereka berhubung proses pentadbiran yang perlu dilalui dan memberi bantuan mengumpulkan keterangan saksi'.
"Ia perkara serupa yang pernah dipakai di Iraq untuk membantu mengawal populasi tahanan dan seterusnya mengurangkannya dengan memastikan hanya ancaman paling berbahaya kekal dipenjarakan," katanya.
Penjara Bagram telah digunakan sejak 2002 sebagai tapak tahanan suspek keganasan yang ditangkap di luar Afghanistan dan Iraq.
Namun tidak seperti Teluk Guantanamo di Cuba yang menempatkan 229 tahanan 'perang keganasan', banduan di Bagram tidak mempunyai akses kepada peguam, tidak ada hak mendengar dakwaan ke atas mereka dan hanya dikelaskan sebagai musuh awam.

Pentadbiran Presiden Barack Obama dalam kes yang difailkan kepada Mahkamah Rayuan AS lewat semalam menegaskan suspek pengganas di Bagram tidak sepatutnya dibenarkan untuk mencabar penahanan mereka di mahkamah AS, satu hak yang diberikan Mahkamah Agung kepada tahanan Guantanamo.
Hakim Daerah AS, John Bates pada April lalu memutuskan bahawa tahanan asing di Bagram juga sepatutnya diberikan hak tersebut seperti yang termaktub dalam hak habeas corpus. - AFP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0916&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_05.htm

Kembar siam Afghan dipisah


GAMBAR menunjukkan bayi lelaki sebelum pembedahan memisahkan kembarnya yang mempunyai kaki dan tangan tetapi tiada kepala 
di Kunduz, Afghanistan.


KUNDUZ - Sepasukan doktor Afghanistan berjaya memisahkan bayi lelaki yang melekat pada kembarnya yang tidak mempunyai kepala dalam satu pembedahan di sebuah hospital di sini lewat malam kelmarin.
Seorang doktor yang terlibat dalam pembedahan itu, Dr. Homayoun Khamoosh berkata, bayi yang dilahirkan di Kunduz pada Khamis lalu itu masih hidup manakala kembarnya yang tiada kepala berjaya dipisahkan.
"Kembar bayi itu yang bercantum dengannya sudah meninggal dunia setelah menunjukkan beberapa pergerakan buat seketika beberapa hari lalu," katanya.
Kembarnya itu mempunyai kaki dan tangan tetapi tiada kepala.
Ibu kepada bayi itu ialah seorang wanita tempatan berusia 35 tahun yang sebelum ini sudah melahirkan empat anak normal. - AFP

Monday, September 14, 2009

Bayi satu kepala dua badan di Afghanistan







SEORANG wanita Afghanistan melahirkan bayi lelaki berbadan kembar dengan hanya satu kepala di Kunduz, Khamis lalu.
‘‘Untuk beberapa hari badan kedua bayi itu hidup dan bergerak tetapi kini sudah meninggal dunia,’’ kata Doktor Homayoun Khamoosh dari Hospital Kunduz kepada AFP. Menurutnya, para doktor telah memutuskan untuk melakukan pembedahan bagi memisahkan badan kembar itu. – AFP


Sumber: http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0915&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_14.htm

Sunday, September 13, 2009

Afghanistan: Siasatan pilihan raya ambil masa lama


KABUL 13 Sept. - Rakyat Afghanistan dijangka berdepan situasi suram selama berbulan-bulan akan datang menanti keputusan berhubung dakwaan penipuan dalam pilihan raya, dengan prospek meletusnya kekacauan politik yang berlarutan ketika pemberontakan Taliban berada pada tahap paling hebat.

Walaupun, keputusan setakat ini menunjukkan Presiden Hamid Karzai bakal memperolehi kemenangan dalam pilihan raya yang diadakan pada bulan lepas, dakwaan penipuan yang meluas dan peratusan keluar mengundi yang sangat rendah boleh melenyapkan kredibiliti kerajaan beliau yang disokong Barat.
Tiada sesiapa yang menaruh harapan keputusan rasmi mengenai Presiden baru Afghan dibuat mengikut jadual pada Khamis lalu, dan kegagalan itu memberi tamparan kepada proses yang dilihat sebagai ujian penting dalam usaha untuk membawa kestabilan di negara ini selepas perang selama lapan tahun.
Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas (IEC) sudah mengasingkan beratus ribu kertas undi untuk diaudit dan penyiasat baru memulakan tugas mereka bagi menyiasat dakwaan penipuan.

Haroun Mir daripada Pusat Afghanistan bagi Penyelidikan dan Kajian Dasar meramalkan Afghanistan 'menghadapi krisis politik selama beberapa bulan akan datang'.
"Rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap kerajaan Afghan dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) disebabkan krisis politik ini," kata beliau.
Undang-undang pilihan raya Afghan menetapkan seseorang calon mesti menerima 50 peratus campur satu undi untuk diisytiharkan sebagai pemenang.

Jika tiada calon memperoleh keputusan itu, pengundian pusingan kedua akan diadakan antara dua calon teratas.
Karzai buat masa ini mendapat 54.3 peratus undi, jauh meninggalkan pencabar terdekatnya, bekas Menteri Luar, Abdullah Abdullah yang menerima 28 peratus. Peratusan Karzai masih boleh merosot kepada kurang daripada 50 peratus bergantung kepada siasatan mengenai aduan penipuan.
Mir berkata, dalam senario paling buruk, aduan penipuan boleh memakan masa dua bulan untuk diselesaikan sebelum keputusan akhir diumumkan.

Jika pusingan kedua diperlukan, pengundian akan perlu ditangguhkan sehingga musim bunga atau musim panas depan kerana lojistik pilihan raya akan terjejas disebabkan musim sejuk. - AFP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0914&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_06.htm

Friday, September 11, 2009

ECC Arah Kertas Undi Dikoyak




Abdullah Abdullah, pencabar utama Hamid Karzai dalam pilihan raya Presiden Afghanistan mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya itu, pada sidang akhbar di Kabul, baru-baru ini. - Reuters


KABUL 11 Sept. - Badan pemantau undi Afghanistan, semalam buat pertama kalinya mengarahkan supaya kertas undi daripada 83 pusat pengundian dikoyakkan, gambaran jelas menunjukkan berlaku penipuan dalam pilihan raya Presiden negara ini, pada bulan lalu.
Rakyat Afghanistan telah keluar mengundi pada pilihan raya Presiden Afganistan buat kali kedua pada 20 Ogos lalu, namun pengundian telah tercemar berikutan jumlah pengundi yang turun mengundi berkurangan, ekoran tersebar khabar angin berlaku penipuan undi dan ugutan termasuk penipuan lain.
"Dalam siasatannya, Suruhanjaya Aduan Pilihan Raya (ECC) telah menemui bukti sahih mengenai berlaku penipuan di 83 pusat pengundian di tiga wilayah," menurut ECC dalam satu kenyataan.
Badan yang mendapat sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata, kertas undi daripada kesemua pusat pengundian tersebut perlu diasingkan daripada kertas undi terakhir, yang mana hampir kesemua kertas undi yang dikira menunjukkan penyandang jawatan Hamid Karzai dipilih semula.
Majoriti undi tersebut datang daripada pengundi di 51 pusat pengundian di selatan Kandahar, wilayah kelahiran Karzai, yang juga menjadi kubu kuat Taliban.
Pencabar utama Presiden Afghanistan itu menuduh pasukan Karzai terlibat dalam penipuan undi. - AFP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0912&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_05.htm

Operasi selamat wartawan Britain cetuskan kemarahan





SANAK saudara Sultan Munadi mengiringi jenazah di Kunduz, utara Kabul.

MI6 arah serbuan ketika pembebasan Stephen Farrell hampir dipersetujui

KABUL: Tindakan Britain mengarahkan operasi menyelamat wartawannya, Stephen Farrell yang bertugas dengan akhbar New York Times (NYT) mencetuskan kemarahan di Afghanistan kerana dilakukan ketika rundingan mengenai pembebasannya berlangsung.

Dalam operasi itu, Farrell berjaya diselamatkan tetapi pembantunya dan seorang askar terbunuh. Kritikan itu dipertahankan oleh pemimpin tentera, manakala ia mendapat pujian Perdana Menteri Britain, Gordon Brown.

Farrell, 46, ditahan oleh militan Taliban di Kunduz selama empat hari sebelum diselamatkan tetapi wartawan tempatan yang bertugas bersama, Sultan Munadi, maut.

Ada laporan menyatakan, dua lagi terbunuh iaitu seorang wanita dan pemilik kediaman yang menjadi lokasi serangan, kata akhbar The Guardian, semalam.

Farrell dan Sultan membuat tinjauan mengenai keadaan tempatan selepas serangan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) selepas Taliban merampas dua lori tangki minyaknya.

Sumber di sini mendakwa, ketika serangan dilancarkan, rundingan berlangsung dengan militan Taliban di Kunduz dan persetujuan membebaskan wartawan terbabit semakin hampir.

Sultan dibenarkan menelefon rumahnya pada 10.30 malam (waktu tempatan) kelmarin dan keluarganya memberitahu, penculik tidak mengancam wartawan itu sambil memberitahu hanya ada beberapa perkara lagi untuk diselesaikan sebelum dia dibebaskan.

Seorang wartawan Barat di Afghanistan juga berkata, Farrell ditahan atas arahan Mullah Salam, 'gabenor bayangan' Taliban di Kunduz.

"Dia sudah kehabisan wang dan sedia memeterai perjanjian. Tetapi, komando MI6 membuat serbuan tanpa mengetahui langsung keadaan tempatan," katanya.
Tetapi, pegawai Britain pula berkata, operasi Kumpulan Bantuan Tentera Khas yang menggunakan helikopter Amerika Syarikat, dilakukan atas maklumat bahawa nyawa wartawan itu dalam bahaya.

"Mereka mengambil kesempatan untuk untuk menyelamatkannya," kata seorang pegawai. Selain itu, Pengarang NYT, Bill Keller, berkata Farrell memberitahunya keadaan di tempat penahanannya semakin tegang sebelum serbuan dilakukan.

Bagaimanapun, wartawan dan penterjemah tempatan yang bekerja dengan wartawan asing menyuarakan kemarahan atas operasi berkenaan. – Agensi

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Dunia/20090910224212/Article/indexworld_html

Wednesday, September 9, 2009

Wartawan dibebas dalam operasi di Afghanistan

FARRELL ketika bertugas di Iraq.

KABUL: Seorang wartawan New York Times (NYT), Stephen Farrell, yang diculik di Afghanistan dibebaskan dalam operasi pasukan khas semalam tapi rakannya, Sultan Munadi, warga Afghanistan dibunuh oleh Taliban.

Farrell, warga Ireland dilaporkan hilang Sabtu lalu di wilayah utara Kunduz, di mana serangan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) mengorbankan orang awam dan berpuluh-puluh anggota Taliban.

"Mereka berjaya membebaskan Stephen Farrell dalam operasi pasukan khas Amerika Syarikat di daerah Chardara," kata Gabenor Kunduz, Mohammad Omar.



Sultan dibunuh oleh Taliban, tambahnya.

Akhbar NYT melaporkan dalam laman webnya bahawa 'anggota' komando membebaskan wartawan NYT daripada penculiknya di Afghanistan' tetapi tidak memberi maklumat lanjut.

Ketua Polis Wilayah, Abdul Razaq Yaqubi, berkata beliau mendapat maklumat itu dan akan menghantar satu pasukan ke kawasan berkenaan untuk menyiasat apa yang berlaku.




Farrell adalah wartawan asing kedua yang bertugas untuk NYT yang diculik di Afghanistan dalam tempoh kurang setahun.

David Rohde dan seorang wartawan tempatan diculik di luar Kabul dengan pemandu mereka November lalu, tapi berjaya melarikan diri Jun lalu, lapor akhbar berkenaan.

Farrell adalah wartawan berpengalaman yang bertugas untuk NYT ketika peperangan di Iraq dan pernah menjadi wartawan The Times, Britain di Asia Barat.

Setakat ini masih belum ada ulasan daripada tentera asing yang berpangkalan di Afghanistan mengenai kejadian itu.
Keadaan dalam beberapa minggu lalu agak sukar bagi wartawan yang membuat liputan di Afghanistan, berikutan tindakan paling ganas Taliban sejak serangan diketuai AS pada 2001 menyingkir rejim berkenaan.

Bulan lalu, tiga wartawan yang bertugas untuk media AS cedera dalam letupan bom di jalan raya - seorang wartawan CBS, seorang jurugambar dan seorang jurukamera video yang bertugas dengan Associated Press. – AFP

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Dunia/20090910013340/Article/index_html