Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Tuesday, December 15, 2009

Lapan terbunuh serangan bom di Kabul

KABUL 15 Dis. - Lapan orang terbunuh dan 40 lagi cedera hari ini apabila seorang pengebom berani mati meletupkan diri dekat sebuah hotel dan rumah tamu yang popular di kalangan warga asing di sebuah kawasan elit di ibu negara Afghanistan ini.
Serangan terbaru yang disyaki dilancarkan oleh puak militan Taliban itu berlaku serentak dengan pembukaan satu persidangan mengenai rasuah oleh Presiden Afghanistan, Hamid Karzai.
Pengebom meletupkan diri di luar pintu pagar Hotel Heetal di daerah Wazir Akbar Khan, berhampiran sebuah rumah tamu dan kediaman bekas Naib Presiden pertama, Ahmad Zia Massoud.
Letupan mencetuskan kebakaran yang merosakkan vila-vila mewah dan memecahkan tingkap bangunan di kawasan kejiranan berkawal ketat yang menempatkan banyak kedutaan asing dan pertubuhan bantuan serta didiami oleh ramai pegawai kerajaan Afghan.
"Semua pintu teksi tercabut disebabkan kekuatan letupan dan kenderaan itu berpusing 360 darjah kerana letupan begitu kuat," kata saksi, Nanghirlay yang berada dua blok bangunan dari tempat kejadian.
Di kediaman Massoud, mayat seorang pengawal peribadi dibawa keluar dengan dibalut selimut sementara seorang wanita lari untuk menyelamatkan diri dengan muka berlumuran darah.
"Lapan orang maut, empat daripadanya wanita, manakala 40 orang lain termasuk wanita dan kanak-kanak cedera," katanya jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Zamarai Bashary.
Seorang warga asing terbunuh, kata seorang pegawai kerajaan yang enggan mendedahkan kerakyatan mangsa.
Pengurus besar syarikat Teknologi Maklumat, IO Global Services, Harjeet Singh berkata, 40 rakyat India menginap di rumah tamu itu, termasuk 20 daripada syarikat beliau.
Lima daripada mereka cedera, termasuk dua kakitangan IT, seorang tukang cuci, seorang tukang masak dan seorang pengawal keselamatan, kesemuanya warga India, kata beliau.
India ialah pelabur besar di Afghanistan selepas kejatuhan rejim Taliban dan filem serta muzik India sangat popular di kalangan golongan tertentu. - AFP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_02.htm

No comments:

Post a Comment