KABUL: Pejuang Taliban di Afghanistan semalam menyiarkan rakaman video seorang askar Amerika yang ditahan kumpulan berkenaan berada di dalam keadaan sihat tetapi mengeluarkan kenyataan mengkritik operasi tentera Amerika di negara itu.
Prebet Bowe Bergdahl, 23, hilang ketika bertugas di pangkalan tentera Amerika di timur Afghanistan 30 Jun lalu dan diketahui sebagai satu-satunya askar Amerika yang ditahan Taliban.
Walaupun rakaman video itu disiarkan semalam, tidak diketahui bila tarikh sebenar ia dirakamkan, manakala jurucakap Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) Kol Wayne Shanks memberitahu akhbar The New York Times, ia bukan bukti bahawa Bergdahl masih hidup.
Beliau mengesyaki video itu mungkin sebahagian daripada petikan rakaman yang dibuat awal tahun ini.
"Kami tidak menjadikan rakaman ini sebagai bukti bahawa Bergdahl masih hidup. Kami perlu mengenal pasti bila ia dihasilkan, tetapi ia mungkin dibuat beberapa bulan lalu. Rakaman itu sudah banyak ditapis," katanya.
Di dalam rakaman video itu, Bergdahl dilihat duduk di depan kamera, manakala di sebelahnya kelihatan imej seorang lelaki memakai kaca mata hitam, topi dan pakaian seragam tentera Amerika.
Ia juga turut menyiarkan rakaman beliau sedang makan dengan memakai pakaian harian penduduk di wilayah Kandahar, tempat kumpulan pejuang itu memu-lakan perjuangan mereka pada 1990-an.
Beliau memperkenalkan dirinya sebagai Bergdahl, dilahirkan di Sun Valley, Idaho, menyatakan pangkat, tarikh lahir, jenis dadah, unit dan nama ibunya sebelum memulakan kata-kata 'serangan' terhadap peperangan yang dilancarkan Amerika di Afghanistan dan hubungan negara itu dengan umat Islam.
"Keangkuhan dan kebodohan menjadikan kita buta dan enggan melihat kesalahan dan kesilapan yang kita lakukan berulangkali.
"Nasib Amerika di Afghanistan akan sama seperti yang dialaminya di Vietnam kecuali jika ia menghentikan segala tindakan bodohnya" kata beliau.
Walaupun tidak jelas di mana Bergdahl ditahan ketika video itu dirakamkan, beliau mendakwa menerima layanan baik dan tidak didera, berbeza dengan layanan buruk Amerika ke atas tahanan perangnya.
Sementara itu pegawai kanan Pengawal Kebangsaan Idaho, Leftenen Kolonel Tim Marsono, mengeluarkan kenyataan daripada keluarga Bergdahl yang tinggal di Hailey merayu agar anak mereka dibebaskan dan dihantar pulang.
Marsano yang menemui keluarga anggota tentera itu pagi semalam berkata, ke-luarganya tidak melihat rakaman video itu tetapi bercakap dengan mereka yang menyaksikannya. � AP
Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Dunia/20091226232349/Article/index_html
No comments:
Post a Comment