Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Tuesday, September 15, 2009

Tahanan penjara Bagram dibenar ke mahkamah


WASHINGTON 15 Sept. - Buat julung kalinya, Amerika Syarikat (AS) membenarkan kira-kira 600 penghuni pusat tahanannya di Kabul, yang digelar Guantanamo Afghanistan untuk mencabar kesahihan penahanan mereka di mahkamah.

Sebahagian daripada mereka yang telah bertahun-tahun ditahan di Pangkalan Udara Bagram di utara Kabul, kini akan dibantu oleh seorang pegawai tentera AS untuk mengumpul saksi dan bukti bagi mengemukakan kes mereka, demikian menurut Jabatan Pertahanan.
Mereka kemudian akan dibenarkan membela diri, malah memanggil saksi di hadapan badan tentera yang dipertanggungjawabkan dalam mempertimbang kes yang difailkan.
"Secara asasnya ia adalah prosedur kajian semula yang memastikan tahanan berhadapan dengan satu panel secara berkala untuk memberi mereka peluang mempersoalkan penahanan mereka," kata jurucakap Pentagon, Bryan Whitmabn kepada pemberita.

Banduan akan dibantu oleh 'wakil peribadi' beruniform, yang akan 'memberi panduan kepada mereka berhubung proses pentadbiran yang perlu dilalui dan memberi bantuan mengumpulkan keterangan saksi'.
"Ia perkara serupa yang pernah dipakai di Iraq untuk membantu mengawal populasi tahanan dan seterusnya mengurangkannya dengan memastikan hanya ancaman paling berbahaya kekal dipenjarakan," katanya.
Penjara Bagram telah digunakan sejak 2002 sebagai tapak tahanan suspek keganasan yang ditangkap di luar Afghanistan dan Iraq.
Namun tidak seperti Teluk Guantanamo di Cuba yang menempatkan 229 tahanan 'perang keganasan', banduan di Bagram tidak mempunyai akses kepada peguam, tidak ada hak mendengar dakwaan ke atas mereka dan hanya dikelaskan sebagai musuh awam.

Pentadbiran Presiden Barack Obama dalam kes yang difailkan kepada Mahkamah Rayuan AS lewat semalam menegaskan suspek pengganas di Bagram tidak sepatutnya dibenarkan untuk mencabar penahanan mereka di mahkamah AS, satu hak yang diberikan Mahkamah Agung kepada tahanan Guantanamo.
Hakim Daerah AS, John Bates pada April lalu memutuskan bahawa tahanan asing di Bagram juga sepatutnya diberikan hak tersebut seperti yang termaktub dalam hak habeas corpus. - AFP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0916&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_05.htm

No comments:

Post a Comment