SANAK saudara Sultan Munadi mengiringi jenazah di Kunduz, utara Kabul. |
KABUL: Tindakan Britain mengarahkan operasi menyelamat wartawannya, Stephen Farrell yang bertugas dengan akhbar New York Times (NYT) mencetuskan kemarahan di Afghanistan kerana dilakukan ketika rundingan mengenai pembebasannya berlangsung.
Dalam operasi itu, Farrell berjaya diselamatkan tetapi pembantunya dan seorang askar terbunuh. Kritikan itu dipertahankan oleh pemimpin tentera, manakala ia mendapat pujian Perdana Menteri Britain, Gordon Brown.
Farrell, 46, ditahan oleh militan Taliban di Kunduz selama empat hari sebelum diselamatkan tetapi wartawan tempatan yang bertugas bersama, Sultan Munadi, maut.
Ada laporan menyatakan, dua lagi terbunuh iaitu seorang wanita dan pemilik kediaman yang menjadi lokasi serangan, kata akhbar The Guardian, semalam.
Farrell dan Sultan membuat tinjauan mengenai keadaan tempatan selepas serangan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) selepas Taliban merampas dua lori tangki minyaknya.
Sumber di sini mendakwa, ketika serangan dilancarkan, rundingan berlangsung dengan militan Taliban di Kunduz dan persetujuan membebaskan wartawan terbabit semakin hampir.
Sultan dibenarkan menelefon rumahnya pada 10.30 malam (waktu tempatan) kelmarin dan keluarganya memberitahu, penculik tidak mengancam wartawan itu sambil memberitahu hanya ada beberapa perkara lagi untuk diselesaikan sebelum dia dibebaskan.
Seorang wartawan Barat di Afghanistan juga berkata, Farrell ditahan atas arahan Mullah Salam, 'gabenor bayangan' Taliban di Kunduz.
"Dia sudah kehabisan wang dan sedia memeterai perjanjian. Tetapi, komando MI6 membuat serbuan tanpa mengetahui langsung keadaan tempatan," katanya.
Tetapi, pegawai Britain pula berkata, operasi Kumpulan Bantuan Tentera Khas yang menggunakan helikopter Amerika Syarikat, dilakukan atas maklumat bahawa nyawa wartawan itu dalam bahaya.
"Mereka mengambil kesempatan untuk untuk menyelamatkannya," kata seorang pegawai. Selain itu, Pengarang NYT, Bill Keller, berkata Farrell memberitahunya keadaan di tempat penahanannya semakin tegang sebelum serbuan dilakukan.
Bagaimanapun, wartawan dan penterjemah tempatan yang bekerja dengan wartawan asing menyuarakan kemarahan atas operasi berkenaan. Agensi
Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Dunia/20090910224212/Article/indexworld_html
No comments:
Post a Comment