Sekelumit Rasa Sejernih Suasana
Friday, September 4, 2009
90 Maut Nato Serang Taliban
SEORANG lelaki melecur dikejarkan ke hospital dengan teksi selepas menjadi mangsa serangan udara Nato di Kunduz.
Orang awam terbunuh mahu ambil minyak percuma daripada militan
KUNDUZ: Sekurang-kurangnya 90 terbunuh, 40 daripadanya orang awam dan berpuluh-puluh lagi cedera selepas pesawat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) melancarkan serangan terhadap militan Taliban yang merampas lori tangki minyak pertubuhan itu.
Serangan udara tentera Nato itu memusnahkan lori tangki minyak yang dirampas Taliban, kata pegawai.
Sebelum ini, Ketua Polis bagi Wilayah Utara Kunduz berkata, lebih 60 orang terbunuh dan cedera. Tetapi, pegawai kerajaan Afghanistan berkata sekurang-kurangnya 90 maut.
"Malam tadi, militan Taliban cuba membawa lori tangki minyak yang mereka rampas ke lebuh raya untuk ke kawasan perkampungan Angorbagh," kata Baryalai Basharyar Parwani, ketua polis daerah Ali Abad di sini.
"Lori tangki minyak itu tersekat di sungai. Ada orang awam bersama mereka ketika serangan dilakukan," katanya.
Gabenor Kunduz, Mohammad Omar juga mengesahkan angka kematian itu.
Jurucakap bagi Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) di bawah Nato memberitahu agensi berita: "Ia adalah serangan udara ISAF". Mangsa yang cedera dengan kesan terbakar dan melecur memenuhi hospital di Kunduz.
Kira-kira lapan orang dilaporkan tenat selepas kulit mereka kehitaman dan menggelupas. Mangsa lain pula mendapati kulit mereka yang terbakar terlekat pada baju.
Kira-kira 200 hingga 250 penduduk kampung dipercayai berkumpul untuk mengambil minyak percuma daripada lori tangki yang dirampas Taliban, kata jurucakap Kementerian Kesihatan, Farid Rahid.
"Malangnya ramai orang awam maut dan cedera. Pengarah kesihatan wilayah mengesahkan 12 orang cedera dan seorang maut dimasukkan ke hospital wilayah," katanya.
Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, berkata penduduk datang untuk mendapatkan minyak apabila pesawat Nato melancarkan serangan. AFP
Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Dunia/20090904234238/Article/indexworld_html
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment