Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Sunday, September 6, 2009

Enam orang awam antara korban serangan jet Nato


PENGARAH komunikasi tentera NATO di Afghanistan, Laksamana Muda Gregory Smith (tengah) kelmarin melawat seorang kanak-kanak yang cedera dalam serangan udara di Kunduz.

KUNDUZ, Afghanistan: Enam orang awam, termasuk seorang kanak-kanak adalah di antara 54 orang terbunuh dalam serangan udara tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) ke atas dua lori tangki minyak air di sini Jumaat lalu, kata seorang pegawai tempatan semalam.

Pemandu salah sebuah lori berkenaan dan anaknya dibunuh pejuang Taliban secara berasingan, kata gabenor wilayah Kunduz, Mohammad Omar.

"Menurut hasil siasatan kami 54 orang terbunuh, 48 daripadanya adalah bersenjata dan yang lain orang awam. Seramai 15 tercedera, termasuk dua pejuang Taliban," kata Mohammad.

Daripada enam orang awam yang terbunuh, seorang adalah kanak-kanak yang berada di dalam salah sebuah lori berkenaan.

Pegawai Afghanistan memberi jumlah korban yang berbeza dalam serangan itu dan adalah sukar bagi memastikan angka sebenar.

Serangan berkenaan yang diarah oleh tentera Jerman yang berada di Kunduz dikecam kerana pada mulanya disyaki ramai orang awam terbunuh.

Orang awam dikatakan mengerumuni lori tangki itu yang dicuri untuk mengeluarkan minyak daripadanya, sebelum jet pejuang Amerika Syarikat (AS) mengebom kenderaan berkenaan. – AFP

Ketua angkatan NATO di Afghanistan, Jen Stanley McChrystal dari AS, melawat lokasi serangan dan mangsa di hospital kelmarin, ketika pemimpin negara Eropah mengecam serangan itu berikutan tentera asing berkenaan sebelum ini berkata akan cuba mengurangkan mangsa orang awam di Afghanistan. - AFP

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Dunia/20090906235506/Article/index_html

No comments:

Post a Comment