Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Wednesday, September 9, 2009

Wartawan dibebas dalam operasi di Afghanistan

FARRELL ketika bertugas di Iraq.

KABUL: Seorang wartawan New York Times (NYT), Stephen Farrell, yang diculik di Afghanistan dibebaskan dalam operasi pasukan khas semalam tapi rakannya, Sultan Munadi, warga Afghanistan dibunuh oleh Taliban.

Farrell, warga Ireland dilaporkan hilang Sabtu lalu di wilayah utara Kunduz, di mana serangan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) mengorbankan orang awam dan berpuluh-puluh anggota Taliban.

"Mereka berjaya membebaskan Stephen Farrell dalam operasi pasukan khas Amerika Syarikat di daerah Chardara," kata Gabenor Kunduz, Mohammad Omar.



Sultan dibunuh oleh Taliban, tambahnya.

Akhbar NYT melaporkan dalam laman webnya bahawa 'anggota' komando membebaskan wartawan NYT daripada penculiknya di Afghanistan' tetapi tidak memberi maklumat lanjut.

Ketua Polis Wilayah, Abdul Razaq Yaqubi, berkata beliau mendapat maklumat itu dan akan menghantar satu pasukan ke kawasan berkenaan untuk menyiasat apa yang berlaku.




Farrell adalah wartawan asing kedua yang bertugas untuk NYT yang diculik di Afghanistan dalam tempoh kurang setahun.

David Rohde dan seorang wartawan tempatan diculik di luar Kabul dengan pemandu mereka November lalu, tapi berjaya melarikan diri Jun lalu, lapor akhbar berkenaan.

Farrell adalah wartawan berpengalaman yang bertugas untuk NYT ketika peperangan di Iraq dan pernah menjadi wartawan The Times, Britain di Asia Barat.

Setakat ini masih belum ada ulasan daripada tentera asing yang berpangkalan di Afghanistan mengenai kejadian itu.
Keadaan dalam beberapa minggu lalu agak sukar bagi wartawan yang membuat liputan di Afghanistan, berikutan tindakan paling ganas Taliban sejak serangan diketuai AS pada 2001 menyingkir rejim berkenaan.

Bulan lalu, tiga wartawan yang bertugas untuk media AS cedera dalam letupan bom di jalan raya - seorang wartawan CBS, seorang jurugambar dan seorang jurukamera video yang bertugas dengan Associated Press. – AFP

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Dunia/20090910013340/Article/index_html

No comments:

Post a Comment