KABUL 13 Sept. - Rakyat Afghanistan dijangka berdepan situasi suram selama berbulan-bulan akan datang menanti keputusan berhubung dakwaan penipuan dalam pilihan raya, dengan prospek meletusnya kekacauan politik yang berlarutan ketika pemberontakan Taliban berada pada tahap paling hebat.
Walaupun, keputusan setakat ini menunjukkan Presiden Hamid Karzai bakal memperolehi kemenangan dalam pilihan raya yang diadakan pada bulan lepas, dakwaan penipuan yang meluas dan peratusan keluar mengundi yang sangat rendah boleh melenyapkan kredibiliti kerajaan beliau yang disokong Barat.Tiada sesiapa yang menaruh harapan keputusan rasmi mengenai Presiden baru Afghan dibuat mengikut jadual pada Khamis lalu, dan kegagalan itu memberi tamparan kepada proses yang dilihat sebagai ujian penting dalam usaha untuk membawa kestabilan di negara ini selepas perang selama lapan tahun.
Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas (IEC) sudah mengasingkan beratus ribu kertas undi untuk diaudit dan penyiasat baru memulakan tugas mereka bagi menyiasat dakwaan penipuan.
Haroun Mir daripada Pusat Afghanistan bagi Penyelidikan dan Kajian Dasar meramalkan Afghanistan 'menghadapi krisis politik selama beberapa bulan akan datang'.
"Rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap kerajaan Afghan dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) disebabkan krisis politik ini," kata beliau.
Undang-undang pilihan raya Afghan menetapkan seseorang calon mesti menerima 50 peratus campur satu undi untuk diisytiharkan sebagai pemenang.
Jika tiada calon memperoleh keputusan itu, pengundian pusingan kedua akan diadakan antara dua calon teratas.
Karzai buat masa ini mendapat 54.3 peratus undi, jauh meninggalkan pencabar terdekatnya, bekas Menteri Luar, Abdullah Abdullah yang menerima 28 peratus. Peratusan Karzai masih boleh merosot kepada kurang daripada 50 peratus bergantung kepada siasatan mengenai aduan penipuan.
Mir berkata, dalam senario paling buruk, aduan penipuan boleh memakan masa dua bulan untuk diselesaikan sebelum keputusan akhir diumumkan.
Jika pusingan kedua diperlukan, pengundian akan perlu ditangguhkan sehingga musim bunga atau musim panas depan kerana lojistik pilihan raya akan terjejas disebabkan musim sejuk. - AFP
Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0914&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_06.htm
No comments:
Post a Comment