KABUL: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membawa keluar beratus-ratus daripada kakitangan antarabangsanya dari Afghanistan untuk beberapa minggu berikutan keadaan keselamatan yang semakin buruk.
Jurucakap PBB, Aleem Siddique berkata badan dunia itu akan memindahkan 600 daripada kira-kira 1,100 kakitangan antarabangsa sama ada ke kawasan lebih selamat di Afghanistan atau ke negara lain.
PBB berkata langkah itu tidak akan menjejaskan operasinya di Afghanistan.
"Kami berusaha sedaya upaya bagi memastikan tugas PBB tidak akan terjejas dalam tempoh terbabit," kata wakil khas PBB ke Afghanistan Kai Eide pada sidang akhbar di Kabul, semalam.
"Kami hanya melakukan apa yang harus dibuat selepas insiden penuh tragik minggu lalu. Kami perlu menjaga keselamatan kakitangan dan pada masa sama memastikan operasi tidak terjejas," katanya.
Eide berkata sebahagian daripada kakitangan dipindahkan ke lokasi di Dubai di mana PBB mempunyai kemudahannya sendiri.
Siddique pula berkata kakitangan terbabit akan kembali ke Afghanistan dalam tempoh tiga atau empat minggu selepas semua langkah keselamatan diperketatkan.
"Ia akan membabitkan pengumpulan tempat kediaman. Pada masa sekarang PBB menggunakan 93 rumah tetamu di seluruh Kabul untuk kegunaan kakitangannya dan kami bercadang mengurangkan jumlah itu bagi menjamin langkah keselamatan," katanya.
PBB memainkan peranan utama dalam menganjurkan pilihan raya tahun ini dan agensinya seperti Unicef melaksanakan program kesihatan, pendidikan dan lain-lain di Afghanistan.
Dalam serangan minggu lalu, penyerang bunuh diri Taliban yang memakai seragam polis memasuki sebuah rumah tetamu yang digunakan kakitangan PBB membunuh lima orang asing sebelum meletupkan diri mereka. �Reuters
Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Dunia/20091106004724/Article/indexworld_html
No comments:
Post a Comment