Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Thursday, November 5, 2009

PBB pindah 600 kakitangan di Afghanistan

KABUL 5 Nov. - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan memindahkan kira-kira 600 kakitangan asingnya di Afghanistan berikutan serangan maut Taliban ke atas sebuah rumah penginapan pekerja PBB, baru-baru ini.
Pemindahan sementara itu akan melibatkan kira-kira 600 daripada 1,100 kakitangan asing PBB di Afghanistan, kata jurucakap PBB, Dan McNorton, hari ini.
"Baki yang tinggal itu dianggap sebagai kakitangan yang benar-benar perlu. Langkah ini bagi memastikan keselamatan semua kakitangan kami di Afghanistan," kata beliau.
Hampir kesemua 600 kakitangan itu akan meninggalkan negara ini, tetapi sebilangan kecil daripada mereka mungkin dipindahkan ke lokasi lebih selamat di Afghanistan.
Keputusan itu akan dikaji semula dari semasa ke semasa dan dijangka berkuat kuasa selama beberapa minggu.
Pemindahan itu diambil lapan hari selepas serangan militan Taliban ke atas sebuah rumah tamu di Kabul yang menyebabkan lima kakitangan asing PBB terbunuh.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon mengadakan rundingan dengan para penasihat keselamatan di Kabul pada awal minggu ini berikutan serangan ke atas rumah tamu Bekhtar itu.
Ketika bercakap di ibu negara Afghan ini pada Isnin lalu, Ki-moon berkata, keganasan tidak akan mematahkan semangat PBB untuk meneruskan operasinya di negara yang dilanda perang ini.
"Timbul spekulasi PBB akan keluar dari Afghanistan. Kami tidak akan patah semangat dan tidak boleh patah semangat dan kerja PBB akan diteruskan," kata Ki-moon.
PBB mempunyai kira-kira 5,600 kakitangan di Afghanistan, kebanyakan mereka rakyat negara ini, dan pemindahan tersebut akan menjejaskan kira-kira 12 peratus daripada misinya di negara ini. - AFP

Sumber:  http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_05.htm

No comments:

Post a Comment