KABUL 31 Okt. - Rundingan antara Presiden Afghanistan, Hamid Karzai dengan pencabarnya, Abdullah Abdullah menemui kegagalan dan bekas Menteri Luar itu dijangka memulaukan pengundian pusingan kedua pilihan raya Presiden minggu depan.
Sumber dalam pasukan kempen Abdullah berkata, beliau akan mengumumkan pemulauan pada pengundian 7 November itu jika beberapa tuntutan beliau tidak dipenuhi menjelang akhir hari ini."Jika syarat-syarat kami tidak dipenuhi, Dr. Abdullah akan mengumumkan keputusannya dalam sidang media esok. Kami tidak akan menyertai pilihan raya yang tidak telus dan tidak bebas daripada penipuan," kata seorang pegawai kanan dalam pasukan kempennya.
Abdullah pada awal minggu ini mengenakan beberapa syarat supaya pengundian pada 7 November ini boleh dianggap sah, tetapi rundingan intensif antara kedua-dua calon serta penyokong mereka menemui kegagalan semalam, menurut satu sumber sebelum itu.
Abdullah memberi Karzai tempoh sehingga hari ini untuk mempersetujui syarat-syarat itu.
Abdullah pada Isnin lalu berkata, tidak ada jaminan pengundian pada 7 November ini akan menjadi lebih adil daripada pusingan pertama.
Beliau antara lain menuntut supaya Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas yang dilantik oleh Karzai, Azizullah Lodin dipecat dalam masa lima hari, dengan alasan Lodin tidak memiliki kredibiliti.
Abdullah juga menuntut perubahan di beberapa kementerian dan perjanjian perkongsian kuasa tanpa mengadakan pengundian pusingan kedua, tetapi Karzai berkeras mahukan pengundian diteruskan sebelum sebarang perjanjian mengenai perkongsian kuasa. - AP
Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_05.htm
No comments:
Post a Comment