“Kami mengisytiharkan Hamid Karzai, yang menang majoriti undi dalam pilihan raya pusingan pertama dan calon tunggal dalam pusingan kedua, sebagai presiden Afghanistan yang dipilih,” kata pengerusi Suruhanjaya Bebas Pilihan Raya, Azizullah Ludin.
Azizullah berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan peruntukan dalam undang-undang pilihan raya Afghanistan dan perlembagaannya serta ‘sejajar dengan kepentingan rakyat Afghan.’
Awalnya, Ban menemui Karzai, berhubung krisis pilihan raya Afghanistan selepas pencabar tunggalnya menarik diri.
Lawatan mengejut Ban menandakan beliau berusaha untuk menggunakan tekanan diplomatik bagi memastikan pilihan raya Sabtu ini dibatalkan, walaupun ada desakan daripada pegawai Afghanistan bahawa sudah terlambat untuk menghentikan proses berkenaan.
Ban melakukan lawatan sehari selepas Abdullah Abdullah mengumumkan tidak akan menyertai pilihan raya hujung minggu ini kerana bimbang akan berlaku lagi penipuan dengan meluas, yang menjejaskan pusingan pertama, 20 Ogos lalu.
Ban turut dijangka menemui Abdullah serta kakitangan PBB berikutan serangan bunuh diri Taliban di kediaman kakitangan, menurut satu kenyataan.
Tiada maklumat yang diperoleh mengenai apa yang ingin disampaikan oleh Ban kepada kedua-dua calon presiden itu, dan menurut seorang jurucakap PBB, ‘adalah sukar untuk melihat’ bagaimana Afghanistan boleh mengadakan pilihan raya dalam masa lima hari saja dengan hanya seorang calon.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton menjelaskan pentadbiran Obama akan terus mengadakan kerjasama dengan Presiden Hamid Karzai sekiranya beliau kekal sebagai pemimpin.
Serentak dengan itu keputusan pencabar presiden, Abdullah Abdullah untuk menarik diri daripada pilihan raya semula itu dijangka tidak akan memberi kesan kepada Presiden Amerika, Barack Obama dalam mengatur strateginya di Afghanistan.
“Terserah kepada pihak berkuasa Afghanistan menyelesaikan proses pilihan raya ini, selaras perlembagaannya,” kata Hillary dalam kenyataan yang dihantar melalui e-mel kepada pemberita kelmarin ketika beliau dalam penerbangan ke Maghribi.
Seorang diplomat Eropah berpendapat bahawa ada kekhuatiran mengenai pilihan raya itu yang akan diadakan ketika pemberontakan Taliban semakin menjadi-jadi. - AFP/Reuters
Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Dunia/20091102232418/Article/indexworld_html
No comments:
Post a Comment