Karzai menjadi Presiden ketika pemberontak Taliban mencatat rekod tertinggi membunuh tentera Barat dan Afghanistan serta selepas kewibawaan kerajaan berkurangan ekoran pilihan raya yang dicemari dengan penipuan.
"Rasuah adalah masalah yang berbahaya. Kami tidak lama lagi akan mengadakan sidang kemuncak di Kabul untuk mewujudkan penyelesaian baru yang efektif," katanya ketika berucap sempena majlis angkat sumpah jawatan di Istana Presiden di Kabul, hari ini.
Karzai turut mempelawa lawan utamanya Abdullah Abdullah supaya bekerjasama dalam kerajaan perpaduan.
Beliau turut berjanji akan mengambil tindakan untuk membanteras gejala dadah serta mewujudkan banyak peluang pekerjaan.
"Kami telah belajar daripada kesilapan dan kelemahan dalam pemerintahan selama lapan tahun sebelum ini," kata Karzai yang memakai pakaian tradisional Afghanistan.
Selepas lapan tahun perang berlarutan dan negara kucar kacir, Barat menekan Karzai untuk mewujudkan pembaharuan yang kukuh untuk membersihkan kerajaannya dan menarik kembali kepercayaan rakyat.
Hillary Clinton yang turut melawat beliau di Istana Presiden hari ini untuk pertama kalinya sebagai Setiausaha Negara AS berkata, Afghanistan kini berhadapan dengan 'saat yang kritikal'.
Washington meningkatkan kebimbangan tentang kredibiliti Karzai ketika sekutu AS mengesa kerajaan Afghanistan membanteras rasuah untuk menentang pemberontak Taliban. - AFP
Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_02.htm
No comments:
Post a Comment