Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Sunday, November 1, 2009

Abdullah umum tarik diri tanding




ABDULLAH (kanan) duduk bersama penyokongnya pada satu perhimpunan di Kabul, semalam.

Calon pembangkang pilihan raya Presiden Afghanistan dakwa kerajaan tak adil

KABUL: Calon pembangkang dalam pilihan raya presiden Afghanistan, Abdullah Abdullah semalam mengumumkan menarik diri dan menuduh kerajaan tidak memenuhi permintaannya agar diadakan pengundian secara adil.

Beliau bagaimanapun tidak mahu penyokongnya memboikot pilihan raya berkenaan.

Abdullah menghadapi tekanan supaya menarik diri daripada bertanding melawan Presiden Hamid Karzai, yang dilihat penganalisis sebagai calon pilihan yang akan menang pilihan raya pusingan kedua itu, selepas memperoleh undi terbanyak dalam pusingan pertama yang dicemari penipuan 20 Ogos lalu.

"Saya tidak akan mengambil bahagian pada pilihan raya ini. Bukannya mudah bagi saya membuat keputusan ini," Abdullah memberitahu penyokongnya di Kabul dan menambah beliau tidak menyatakan kepada sesiapa supaya memboikot pilihan raya 7 November ini.

Penyokong Karzai berkata, pilihan raya pusingan kedua itu akan tetap diteruskan walaupun Abdullah sudah menarik diri.
Afghanistan dilanda ketidaktentuan politik selama beberapa minggu, menyebabkan soal keselamatan menjadi perkara utama selepas puak Taliban berikrar untuk mengganggu pilihan raya pusingan kedua itu.

Dengan keadaan masa depan politik Afghanistan yang tidak menentu itu, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama juga sedang menimbang sama ada akan menghantar sejumlah 40,000 anggota tentera tambahan ke negara berkenaan. Obama menemui pemimpin tertinggi tentera Jumaat lalu bagi mengkaji semula cadangannya itu.

Abdullah sebelum ini memberi Karzai tempoh waktu untuk memecat pegawai tertinggi pilihan raya Afghanistan bagi mengelakkan kejadian pusingan pertama yang dicemari itu berulang, tetapi ia berlalu tanpa tindakan kelmarin.

Abdullah juga mengadakan perjumpaan dengan pemimpin puak lebih berusia daripadanya di sebuah khemah di barat Kabul semalam.
"Saya tidak minta mereka berbuat demikian," kata Abdullah ketika ditanya sama ada beliau akan menggesa penyokongnya memboikot pilihan raya itu.

Pilihan raya semula itu diadakan apabila siasatan anjuran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendapati ada unsur penipuan. - AFP


No comments:

Post a Comment