Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Friday, November 20, 2009

Bom motosikal korban 15 orang


WARGA Afghanistan mengerumuni sebuah kereta yang meletup selepas melanggar bom di tepi jalan, di Khost, mengorbankan tiga nyawa dan mencederakan tiga kanak-kanak.

HERAT: Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh dan 30 yang lain cedera dalam dua serangan bom di Afghanistan semalam ketika Presiden Hamid Karzai memulakan pentadbiran sebagai presiden untuk penggal kedua di negara itu.

Serangan itu menjadikan jumlah mereka yang terbunuh sejak Karzai mengangkat sumpah jawatan meningkat kepada 30 orang setakat ini.

Setakat ini empat serangan sudah berlaku sejak Karzai mengangkat sumpah jawatan. Dua askar Amerika dan 10 orang awam terbunuh dalam dua serangan bom kelmarin.

Dalam kejadian pertama semalam, seorang lelaki yang menunggang motosikal meletupkan bom di ibu negeri wilayah Farah di barat laut negara itu, mengakibatkan 15 orang terbunuh.

Pegawai berkata serangan dilakukan berhampiran kediaman gabenor wilayah Farah, Rohul Amin Amin menyebabkan kerosakan di bangunan berhampiran tempat trak berat memunggah barangan untuk dibawa ke Herat.

"Penyerang bermotosikal meletupkan diri di sebuah kawasan lapang berhampiran pejabat di rumah saya. Lima belas orang terbunuh termasuk anggota polis manakala yang lain penduduk awam. Seramai 34 orang lagi cedera, kebanyakannya parah," kata Amin.
Seorang doktor di hospital utama di wilayah itu Abdul Jajbar Shayeq, mengesahkan kemalangan jiwa yang berlaku.

Sementara itu dalam kejadian kedua, tiga penduduk awam terbunuh akibat letupan bom tepi jalan di wilayah Khost, manakala empat orang daripada sebuah keluarga cedera.

Siri serangan pejuang Taliban ke atas kerajaan sokongan Barat itu kali ini disifatkan yang terburuk dalam tempoh lapan tahun sejak tentera pakatan diketuai Amerika Syarikat menggulingkan pemerintahan kumpulan itu.

Serangan itu meningkatkan lagi cabaran kepada Karzai untuk memenuhi harapannya bagi membolehkan askar Afghanistan mengambil alih kawalan keselamatan dan mengurangkan jumlah 100,000 tentera asing di negara itu sekarang. - AFP

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Dunia/20091121004847/Article/indexworld_html

No comments:

Post a Comment