Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Tuesday, October 27, 2009

3 helikopter NATO terhempas

KABUL 26 Okt. - Tiga helikopter tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) terhempas di Afghanistan dalam dua insiden berasingan hari ini, menyebabkan sejumlah 11 askar Amerika Syarikat (AS) dan tiga orang awam AS terbunuh.
Dalam insiden awal pagi ini, tujuh askar AS dan tiga orang awam AS maut dalam nahas sebuah helikopter yang menyertai serangan ke atas kumpulan yang disyaki pengedar dadah di barat Afghanistan.
Seramai 11 askar AS, 14 askar Afghan dan seorang orang awam AS cedera dalam nahas itu.
Dalam nahas satu lagi, empat askar AS terbunuh dan dua rakan mereka cedera apabila dua helikopter yang mereka naiki bertembung di udara di selatan Afghanistan, kubu kuat Taliban dan bahagian paling bergolak di negara ini, menurut Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) kendalian NATO.
"Empat anggota ISAF terbunuh dan dua lagi cedera dalam insiden tersebut. Siasatan sedang dijalankan tetapi sudah disahkan bahawa nahas bukan berpunca daripada tembakan musuh," menurut satu kenyataan ISAF.
Tahun ini merupakan tahun paling berdarah bagi lebih 100,000 askar NATO dan AS yang memerangi pemberontak Taliban sejak serangan diketuai AS pada 2001 menggulingkan rejim Taliban di Kabul.
Laman web bebas, icasualities.org yang menghitung angka kematian askar asing di Afghanistan melaporkan, pada tahun ini 424 askar sudah terkorban, 256 daripadanya askar AS.
Barat Afghanistan semakin menjadi kawasan pemberontak sejak beberapa bulan lalu apabila Taliban melebarkan sayapnya ke seluruh negara ini.
Majlis Antarabangsa mengenai Keselamatan dan Pembangunan di London menganggarkan Taliban mempunyai pangkalan tetap di kawasan meliputi 80 peratus daripada Afghanistan.
Ketika negara ini bersiap sedia untuk mengadakan pengundian pusingan kedua pilihan raya Presiden pada 7 November ini, Taliban mengancam untuk mengulangi taktik keganasan dan ancaman yang menyebabkan berjuta-juta penduduk enggan keluar mengundi pada pengundian pusingan pertama pada 20 Ogos lalu.
Keadaan semakin tegang menjelang pengundian bulan depan bagi memilih antara dua calon, sama ada Presiden Hamid Karzai atau bekas Menteri Luar, Abdullah Abdullah, dan di Kabul semalam, penduduk mengadakan demonstrasi anti-Barat selepas timbul laporan askar AS membakar senaskhah al-Quran dalam operasi anti-Taliban.
Pegawai berkata, persiapan untuk memastikan keselamatan semasa pengundian tersebut dijadual diputuskan hari ini. - AFP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1027&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm

No comments:

Post a Comment