Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Tuesday, October 13, 2009

PBB sahkan penipuan di Afghanistan


KABUL 12 Okt. - Wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Afghanistan, buat kali pertama semalam mengakui bahawa pilihan raya Presiden di negara ini telah dicemari dengan penipuan yang ketara dan meluas.

Kai Eide mengadakan satu sidang media bagi membalas dakwaan yang dibuat timbalannya yang telah dipecat, Peter Galbraith, bahawa beliau telah menyembunyikan bukti penipuan undian tersebut.
Menurut Eide, PBB menyokong siasatan penipuan undi tersebut yang dijangka selesai dan keputusan akhir akan diumumkan dalam masa beberapa hari lagi.

Pilihan raya Presiden Afghanistan yang diadakan pada 20 Ogos lalu, dibayangi dakwaan penipuan, kebanyakannya ditujukan kepada Presiden Hamid Karzai.

Keputusan Eide untuk bercakap kepada media membayangkan kerosakan yang dilakukan oleh Galbraith terhadap kredibiliti PBB, sebagai penganjur dan pembiaya pilihan raya tersebut.

Pada pilihan raya itu, Hamid mendahului keputusan awal dengan kira-kira 55 peratus undi berbanding pesaing terdekatnya, Abdullah Abdullah yang memperolehi 28 peratus undi.

"Memang benar terdapat penipuan ketara di beberapa pusat pengundian di selatan dan tenggara Afghanistan.
"Tahap serius penipuan itu sedang dikenal pasti,'' katanya merujuk kepada siasatan oleh Suruhanjaya Aduan Pilihan Raya (ECC) dan proses mengaudit kotak pengundian yang disyaki terlibat oleh Suruhanjaya Pilihan raya (IEC) pada minggu lalu.

"Dakwaan menyatakan penipuan berlaku pada kadar 30 peratus. Pada peringkat ini, tahap penipuan itu masih belum diketahui.
"Tiada siapa yang tahu. Saya hanya boleh katakan, memang berlaku penipuan yang meluas,'' ujarnya. - AFP

Sumber:http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1013&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_04.htm

No comments:

Post a Comment