Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Monday, June 28, 2010

8 militan maut


2010/06/28

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KABUL: Serangan udara tentera Amerika Syarikat di utara Afghanistan menyebabkan lapan militan, termasuk seorang panglima peringkat tempatan, maut, kata pegawai Nato semalam.
Serangan itu dilakukan awal semalam ke atas sekumpulan pemberontak yang mengadakan pertemuan di kawasan tidak berpenghuni di daerah Chahar Darah, Kunduz.
Menurut kenyataan Nato, seorang pemimpin Taliban yang membantu menyeludup senjata adalah antara korban serangan berkenaan.

Polis tempatan mendakwa, tiada orang awam cedera dalam serangan itu.

Sementara itu, lapan lagi militan terbunuh dalam operasi ketenteraan bersama Nato dan pihak berkuasa Afghanistan di wilayah Ghazni, semalam.

Di Kabul pula, jurucakap Nato, Josef Blotz berkata, kira-kira 130 militan ditahan atau dibunuh sepanjang tempoh empat bulan lalu.

Katanya, semua militan itu menjawat jawatan peringkat pertengahan atau kanan.

Nato dan AS meneruskan operasi ketenteraan di Afghanistan sementara menunggu kedatangan pegawai pemerintah baru, Jeneral David Petraeus, yang menggantikan Jeneral Stanley McChrystal.

McChrystal dipecat pentadbiran Barack Obama baru-baru ini.

Blotz berkata, Petraeus akan tiba di Kabul tidak lama lagi.

Bagaimanapun, dia tidak menyatakan tarikh berkenaan.

“Operasi ketenteraan tidak terjejas walaupun berlaku pertukaran pegawai pemerintah,” katanya. - AP

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/8militanmaut/Article

Saturday, May 29, 2010

Tiga menteri Britain lawat di Afghanistan

2010/05/23

KABUL: Setiausaha Luar baru Britain, William Hague dan dua menteri lain tiba di Afghanistan semalam dan memberi kata dua bahawa negara berkenaan ingin menarik balik tenteranya seberapa segera yang boleh.

Hague, Setiausaha Pertahanan, Liam Fox dan Setiausaha Pembangunan Antarabangsa, Andrew Mitchell akan menemui Presiden Hamid Karzai dalam lawatan pertama mereka ke negara itu sejak kerajaan campuran baru mengambil alih kuasa di London bulan ini.


Hague menyifatkan Afghanistan – di mana kira-kira 10,000 anggota keselamatan Britain membantu memerangi pemberontakan diketuai Taliban, yang masuk tahun kesembilan - sebagai “keutamaan paling mendadak”.

Dalam temuramah dengan akhbar The Times sebelum tiba di Kabul, Fox menjelaskan bahawa tumpuan lawatan itu adalah untuk mempercepatkan penarikan keluar tentera Britain dari Afghanistan, dan tidak ada anggota baru akan ditempatkan di negara berkenaan. – AFP








http://www.bharian.com.my/bharian/articles/TigamenteriBritainlawatdiAfghanistan/Article

Saturday, January 30, 2010

Nato patah serangan bunuh diri



TENTERA Afghanistan membantu rakan mereka yang cedera akibat pertempuran dengan Taliban di Helmand, semalam. - AFP
Askar Afghanistan dibantu helikopter bunuh enam militan di wilayah Helmand

KANDAHAR: Pasukan keselamatan Afghan yang dibantu helikopter Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) mematahkan serangan pejuang Taliban yang bersenjatakan mesingan dan vest bunuh diri di sebuah bangunan di Lashkar Gah semalam.

Enam militan terbunuh dan enam anggota keselamatan kerajaan cedera dalam kejadian di ibu negeri wilayah Helmand itu. Kejadian berkenaan berlaku hampir dua minggu selepas serangan hampir sama di ibu negara Afghanistan, Kabul.

Menurut pegawai, serangan kelmarin bermula pada jam 10 pagi ketika pemberontak melepaskan tembakan dari sebuah hotel sedang dalam pembinaan berhampiran berek tentera. Nato berkata askar Afghan yang dibantu helikopter berjaya menguasai kumpulan bersen-jata itu di bangunan empat tingkat yang kosong itu.

Pertempuran berlangsung selama lebih tujuh jam dengan kedua-dua pihak melepaskan tembakan dengan senjata berat mesingan dan bom tangan dilancarkan roket.

Pemilik kedai mengosongkan pasar berhampiran dan jalan raya di kawasan berdekatan lengang selepas pihak berkuasa mengarahkan penduduk supaya tidak keluar dari rumah.
"Saya berada di dalam kedai apabila terdengar bunyi kuat akibat pertempuran itu," kata Haji Mohammad Karim.

"Kami tutup semua kedai dan balik ke rumah. Bandar ini seperti bandar hantu. Hanya ada anggota keselamatan di jalan raya."

"Jika pertempuran seperti ini berterusan, macam mana hendak kami menjalankan perniagaan?" ujarnya.

Timbalan gabenor wilayah, Abdul Sattar Mirzekwal berkata dua daripada penyerang terbabit meletupkan diri mereka sendiri manakala empat yang lain dijumpai dalam kesan runtuhan dengan banyak kesan peluru di badan mereka. Pasukan keselamatan melaporkan kecederaan empat askar dan dua anggota polis.
Jurucakap Taliban, Qari Yousef Ahmadi mendakwa bertanggungjawab bagi serangan itu, dan menyatakan Taliban menghantar tujuh orang dilengkapi senjata

dan vest bunuh diri serta mesingan bagi menyerang cawangan misi PBB di Afghanistan dan rumah tetamu yang digunakan pegawai kerajaan di bandar raya berkenaan.

Qari Yousef berkata, 20 orang asing terbunuh dan cedera, tetapi pegawai Afghan berkata tiada kematian dilaporkan selain militan.

Daoud Ahmadi, jurucakap kerajaan wilayah, berkata pihak pegawai menerima maklumat sejak beberapa hari lalu bahawa Taliban merancang untuk menyerang bangunan kerajaan di Lashkar Gah. � AP

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Dunia/20100130222840/Article/indexworld_html

Thursday, January 7, 2010

Al-Qaeda balas dendam kematian pemimpin


Militan dedah identiti penyerang bunuh tujuh ejen CIA


KABUL: Pergerakan al-Qaeda semalam mengakui serangan bom terhadap markas Agensi Perisikan Pusat (CIA) di Afghanistan menyebabkan tujuh ejennya maut adalah langkah membalas dendam kematian dua pemimpin kanannya dalam serangan pesawat kawalan jauh Amerika Syarikat.

Dalam serangan bunuh diri itu, seorang doktor keturunan Jordan yang dikatakan ejen bagi tiga pihak, meletupkan bom di pangkalan berkenaan di Khost berhampiran sempadan Pakistan pada 30 Disember lalu.

Badan pemantau, SITE, memetik ketua al-Qaeda di Afghanistan, Mustafa Abu al-Yazid, sebagai berkata pengebom terbabit menulis dalam wasiatnya bahawa serangan itu adalah tindakan membalas dendam untuk 'pemimpin tertinggi kami yang mati syahid.'

Beliau juga menamakan beberapa pemimpin tertinggi pergerakan itu yang terkorban dalam serangan pesawat kawalan jauh itu di Pakistan.

Mustafa menyifatkan misi pengebom terbabit, Humam Khalil Abu-Mulal al-Balawi sebagai 'satu kejayaan' kerana gagal dikesan perisikan Amerika dan Jordan, menurut kenyataan yang diterbitkan SITE di Amerika.
Beliau berikrar, al-Qaeda akan terus melawan Amerika sehingga 'ramai mati dan cedera.'

Antara pemimpin tertinggi al-Qaeda terkorban adalah Baitullah Mehsud, pemimpin Taliban di Pakistan yang dituduh melakukan beberapa serangan, termasuk pembunuhan bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto pada Disember 2007.

Mehsud terbunuh ketika peluru berpandu Amerika mengenai rumah bapa mentuanya pada 5 Ogos tahun lalu.

Seorang lagi ialah Abu Saleh al-Somali, yang dianggap sebagai antara pemimpin teras al-Qaeda dan bertanggungjawab merancang serangan di Eropah dan Amerika.
Dia maut dalam serangan pesawat kawalan jauh di Waziristan Utara pada Disember tahun lalu.

Media di Amerika menyifatkan pangkalan Khost itu sebagai markas antikeganasan CIA yang mengendalikan serangan pesawat kawalan jauh yang mensasarkan al-Qaeda dan Taliban di sempadan Pakistan. - AFP

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Dunia/20100107233907/Article/indexworld_html

Kanak-kanak korban terbesar dalam konflik di Afghanistan






KANAK-KANAK Afghanistan memerhatikan gerak-geri seorang askar Marin AS semasa meronda pekan Delaram di wilayah Nimroz, selatan Afghanistan, kelmarin.– REUTERS





KABUL 7 Jan. – Kanak-kanak merupakan kelompok mangsa peperangan terbesar di Afghanistan dengan lebih 1,050 orang di bawah umur 18 tahun terbunuh pada tahun lepas sahaja, menurut jawatankuasa pemerhati hak asasi manusia negara bergolak itu.
Puak militan yang berkaitan dengan Taliban telah menyebabkan sekitar 64 peratus kematian kanak-kanak yang tidak berdosa tahun lepas, menurut Afghanistan Rights Monitor (ARM) dalam satu laporan.
Kanak-kanak juga turut didesak dan dieksploitasi secara seksual, mengalami kekurangan dari aspek kesihatan dan pendidikan, dan ditahan secara haram oleh semua pihak dalam peperangan yang mengheret sehingga sembilan tahun lamanya sejak Amerika Syarikat (AS) memimpin serangan ke atas rejim Taliban. “Sekurang-kurangnya tiga kanak-kanak terbunuh dalam insiden berkaitan peperangan setiap hari dalam tahun 2009 dan kebanyakan yang lain menderita dalam pelbagai cara lain yang tidak dilaporkan,” menurut pengarah ARM, Ajmal Samadi.

Golongan kanak-kanak turut terkorban dalam serangan berani mati dan pengemboman di tepi jalan dalam serangan Taliban ke atas AS, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan pasukan tentera Afghanistan yang menentang peningkatan puak pemberontak yang berkembang di seluruh negara miskin itu. Taliban dilaporkan sengaja memberi lebih ancaman dan mendera lebih ramai kanak-kanak untuk tujuan yang menyalahi undang-undang berbanding terhadap rakyat Afghanistan yang pro-kerajaan dan pasukan tentera antarabangsa,” menurut laporan itu.

“Melalui polisi anti-pendidikan dalam serangan kejam, ugutan dan keganasan yang dilakukan oleh pemberontak itu telah menyebabkan ratusan kanak-kanak, lelaki dan perempuan kekurangan dari aspek pendidikan dengan kebanyakannya di daerah selatan dan timur negara yang tidak selamat,” katanya.
Menurut Samadi, sebaliknya, kerajaan yang disokong oleh Barat telah gagal untuk memperkenal atau melaksanakan undang-undang untuk melindungi kanak-kanak daripada kekejaman peperangan atau membawa penjenayah dan pesalah undang-undang ke muka pengadilan.

ARM telah memaklumkan kepada pihak berkuasa Afghanistan supaya menyediakan sebuah badan perlindungan rasmi kanak-kanak dan berinteraksi dengan majlis peperangan berhubung hak kanak-kanak.
Laporan oleh ARM itu, iaitu sebuah jawatankuasa pemerhati hak kebebasan yang ditubuhkan di Kabul pada tahun 2008, dibuat selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan kematian penduduk awam di Afghanistan meningkat kepada 10.8 peratus dalam tempoh 10 bulan terawal tahun lepas yang kebanyakannya dilakukan oleh puak Taliban. – AFP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_02.htm

Tuesday, January 5, 2010

Perisikan tidak berkesan


SEORANG anggota Tentera Kebangsaan Afghanistan (ANA) berkawal di lembah Alah Say di wilayah Kapisa di Afghanistan, kelmarin. - AFP


KABUL 5 Jan. - Lapan tahun melalui peperangan, komuniti perisikan Amerika Syarikat (AS) 'tidak begitu relevan' dalam keseluruhan misi di Afghanistan, demikian menurut seorang pegawai perisikan kanan untuk sebuah pasukan antarabangsa dalam laporan yang disiarkan kurang seminggu selepas lapan anggota Agensi Perisikan Pusat (CIA) terbunuh dalam serangan berani mati.

Dalam penilaian berbisa mengenai tugas perisikan AS di Afghanistan, Mejar Jeneral Michael Flynn berkata, pegawai perisikan AS dan penganalisis tidak banyak melakukan apa-apa kecuali memberi maklum balas kepada pembuat keputusan yang mahukan pengetahuan, analisis dan maklumat yang diperlukan untuk membanteras pemberontakan.

Laporan setebal 26 muka surat yang disiarkan semalam oleh badan pemikir, Pusat Keselamatan Amerika Baru di Washington, menyarankan perubahan besar supaya komuniti perisikan memberi tumpuan kepada rakyat Afghanistan dan mengurangkan perhatian terhadap musuh.
Oleh kerana AS memberi tumpuan kepada kumpulan pemberontak, rangkaian perisikan gagal menyelesaikan persoalan penting mengenai situasi yang dihadapi askar di medan tempur, demikian menurut Flynn dan dua orang penasihat keselamatan.

"Komuniti perisikan AS hanya sedikit relevan dalam strategi keseluruhannya," kata mereka lagi.
Laporan itu menjelaskan, pegawai perisikan As dan penganalisis 'tidak menghiraukan ekonomi tempatan dan pemilik tanah, kabur tentang siapa yang berkuasa dan bagaimana mempengaruhi mereka, tidak peduli tentang hubungan antara pelbagai projek pembangunan... dan mengasingkan diri dari orang ramai dalam keadaan terbaik mencari jawapan'.

"Perkakasan perisikan yang meluas gagal menjawab persoalan asas tentang persekitaran yang dihadapi tentera AS dan perikatan dan pihak yang perlu mereka pengaruhi," demikian menurut laporan itu lagi.
Penilaian buruk terhadap perisikan AS di Afghanistan ini dibuat selepas insiden serangan berani mati 30 Disember lalu di Camp Chapman, pangkalan CIA yang dikawal ketat di wilayah Khost, timur Afghanistan. - AP

Sumber: http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm

Sunday, January 3, 2010

Karzai terus terima tamparan

KABUL 3 Jan. – Presiden Afghanistan, Hamid Karzai mengalami tamparan terbaru apabila Parlimen menolak kebanyakan calon untuk menganggotai Kabinet baru beliau, termasuk satu- satunya calon wanita dan seorang panglima perang.

Hanya tujuh daripada 24 calon diluluskan oleh lebih 200 ahli Parlimen dalam undi rahsia di sini semalam, menjerumuskan semula Afghanistan ke dalam situasi politik tidak menentu, hanya beberapa minggu sebelum satu persidangan antarabangsa mengenai masa depan Afghanistan, negara yang dilanda peperangan ini, dijadual diadakan.

“Daripada 24 calon Kabinet yang dikemukakan kepada Parlimen, tujuh berjaya mendapat undi kepercayaan anda,” kata Speaker Parlimen, Mohammad Yunus Qanoni, selepas pengiraan selesai.
Senarai Kabinet Karzai itu dilihat oleh kuasa Barat yang menyokongnya sebagai ujian terhadap komitmen beliau untuk membentuk sebuah kerajaan yang bersih dan boleh dipertanggungjawabkan serta membasmi rasuah yang membelenggu negara ini yang membantu memarakkan pemberontakan Taliban.
Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang menghantar tentera untuk memerangi Taliban telah menegaskan bahawa bantuan berbilion dolar yang mereka salurkan kepada Afghanistan kini bergantung kepada tindakan tegas Karzai untuk memerangi rasuah.

Antara calon yang ditolak ialah panglima perang, Ismail Khan, yang pencalonannya dilihat sebagai ganjaran kerana menyokong Karzai semasa pilihan raya Presiden yang penuh kontroversi pada Ogos lalu.
Turut ditolak ialah satu-satunya calon wanita, Husn Banu Ghazanfar yang merupakan Menteri Hal-Ehwal Wanita dalam kerajaan sekarang.

Karzai berharap Kabinet barunya itu dapat diluluskan sebelum persidangan antarabangsa di London pada 28 Januari ini bagi membincangkan masa depan negara ini. – AFP

Sumber:http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_07.htm

Friday, January 1, 2010

AS siasat 7 pegawai CIA maut


WASHINGTON/KABUL 1 Jan. - Agensi Perisikan Pusat (CIA), semalam melancarkan siasatan berhubung pelanggaran kawalan keselamatan yang membolehkan serangan kedua paling berdarah dalam sejarah agensi itu berlaku apabila tujuh pegawainya maut dalam serangan pengebom berani mati di Afghanistan.

Pergerakan Taliban mendakwa pengebom berkenaan ialah seorang penyokongnya daripada tentera Afghan yang meletupkan bahan letupan pada badannya semasa satu pertemuan dengan pegawai CIA, kelmarin.
Turut terbunuh ialah seorang rakyat Afghan, manakala enam kakitangan CIA yang lain cedera.
"Serangan maut itu dilakukan oleh seorang anggota tentera Afghan yang gagah berani," kata jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid.

Presiden Barack Obama dalam suratnya kepada kakitangan CIA berkata, beliau meratapi kematian mereka yang 'berkhidmat dalam bayang-bayang' itu.
Angka kematian pegawai CIA itu adalah yang tertinggi dialami oleh agensi tersebut sejak lapan kakitangannya terkorban dalam satu letupan bom di Kedutaan AS di Beirut pada 1983.
Turut terbunuh kelmarin ialah ketua pangkalan CIA berkenaan, menurut seorang bekas pegawai perisikan.
"Kami memang menjangka akan kehilangan ejen tetapi kehilangan begitu ramai secara serentak menjadi kejutan bagi seluruh agensi ini dan sangat membimbangkan," katanya.
Letupan itu berlaku dalam Pangkalan Operasi Barisan Hadapan Chapman, sebuah pangkalan yang dikawal ketat di wilayah Khost, dekat sempadan tenggara dengan Pakistan, di mana CIA memperhebatkan operasi untuk memerangi pemberontak Taliban.

Serangan tersebut menunjukkan keupayaan Taliban untuk membolosi benteng kawalan musuhnya ketika keganasan sudah memuncak sejak rejim Taliban digulingkan oleh tentera AS dan sekutunya pada 2001.
Kementerian Pertahanan Afghan, bagaimanapun menyangkal dakwaan Taliban bahawa seorang askar Afghan terlibat dalam serangan itu. - Reuters

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_02.htm

Wednesday, December 30, 2009

Lima warga Kanada maut serangan bom di Afghanistan

MONTREAL: Lima warga Kanada - empat askar dan seorang wartawan dilaporkan terbunuh akibat serangan bom ke atas kenderaan tentera yang mereka naiki di Afganistan, semalam.

Ketua Angkatan Tentera Kanada di Afghanistan, Jeneral Daniel Menard mengumumkan perkara itu kepada stesen televisyen Kanada CBS, tetapi tidak menamakan mangsa terbabit.

Bagaimanapun, CBC melaporkan wartawan yang terbunuh dikenali sebagai Michelle Lang, yang bertugas untuk akhbar Calgary Herald.

“Semalam lima warga Kanada terbunuh berikutan satu letupan bom terhadap kenderaan tentera yang mereka naiki ketika melakukan operasi rondaan di Bandar Kandahar," kata Menard.

Beliau berkata, seorang lagi orang awam warga Kanada turut dilaporkan cedera dalam serangan itu. - AFP

Sumber: 

8 warga AS terbunuh dalam serangan di Afghanistan

KABUL: Lapan pekerja awam Amerika Syarikat (AS) terbunuh semalam dalam serangan bom nekad di pangkalan tentera AS, berhampiran degan sempadan Pakistan.

Jurucakap Pentagon,Leftenan Kolonel Almarah Belk, berkata lapan terbunuh apabila penyerang menghidupkan baju yang diletakkan bahan letupan di Pangkalan Operasi Depan Chapman di wilayah Khost, iaitu kubu kuat Taliban.

"Lapan warga AS yang terbunuh dalam serangan di RC-Timur," kata pegawai kedutaan AS merujuk kepada kawasan ketenteraan di timur Afghanistan




Sementara itu, jurucakap Angkatan Pembantu Keselamatan Antarabangsa (ISAF) Nato, berkata tidak ada anggota tentera AS dan ISAF yang terbunuh atau cedera dalam kejadian itu. - AFP

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Mutakhir/20091231061547/Article/index_html

Sunday, December 27, 2009

Komander Taliban di Afghanistan terbunuh

KABUL 27 Dis. - Seorang komander Taliban terbunuh dalam satu insiden tembak menembak di utara Afghanistan. Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berkata, tentera kerjasama antarabangsa-Afghanistan memasuki wilayah Wardak, semalam untuk mencari pemberontak yang dipercayai bertanggungjawab merancang serangan dan membeli senjata serta peralatan membuat bom.
Ketika menghampiri wilayah tersebut, seorang komander Taliban yang bersenjata dan memiliki bom serta beratus-ratus senjata melarikan diri ke sebuah masjid berhampiran.

Tentera keselamatan Afghanistan mengepung masjid berkenaan yang terletak di pinggir Pirdad di daerah Nirkh dan memintanya supaya menyerah diri. Apabila dia menolak, mereka bertindak menyerbu masjid tersebut, katanya. "Dia melepaskan tembakan ke arah kami dari dalam masjid mengunakan senjata AK-47 dan dia telah dibunuh oleh anggota tentera keselamatan," kata NATO dalam satu kenyataan.
Abdul Haq, komander polis daerah Nirkh berkata, tembak-menembak sebenarnya berlaku di luar kawasan masjid bukan di dalam masjid.

Dalam kejadian berasingan, NATO melaporkan, seorang anggota perkhidmatan Amerika terbunuh dalam satu serangan bom di jalan raya pada Jumaat lalu di selatan Afghanistan. - AP

Sumber: http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_08.htm

Saturday, December 26, 2009

Taliban siar rakaman askar AS

Keluarga Prebet Bergdahl rayu anak mereka dibebas dan dihantar pulang

KABUL: Pejuang Taliban di Afghanistan semalam menyiarkan rakaman video seorang askar Amerika yang ditahan kumpulan berkenaan berada di dalam keadaan sihat tetapi mengeluarkan kenyataan mengkritik operasi tentera Amerika di negara itu.

Prebet Bowe Bergdahl, 23, hilang ketika bertugas di pangkalan tentera Amerika di timur Afghanistan 30 Jun lalu dan diketahui sebagai satu-satunya askar Amerika yang ditahan Taliban.

Taliban mendakwa menahan Bergdahl dalam satu rakaman video yang turut menyiarkan gambar anggota tentera terbabit dalam keadaan murung dan ketakutan. Tiada berita mengenai beliau didengar sejak itu sehinggalah penyiaran rakaman video terbaru yang menunjukkan beliau sihat dan dapat bercakap dengan jelas.

Walaupun rakaman video itu disiarkan semalam, tidak diketahui bila tarikh sebenar ia dirakamkan, manakala jurucakap Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) Kol Wayne Shanks memberitahu akhbar The New York Times, ia bukan bukti bahawa Bergdahl masih hidup.

Beliau mengesyaki video itu mungkin sebahagian daripada petikan rakaman yang dibuat awal tahun ini.
"Kami tidak menjadikan rakaman ini sebagai bukti bahawa Bergdahl masih hidup. Kami perlu mengenal pasti bila ia dihasilkan, tetapi ia mungkin dibuat beberapa bulan lalu. Rakaman itu sudah banyak ditapis," katanya.

Di dalam rakaman video itu, Bergdahl dilihat duduk di depan kamera, manakala di sebelahnya kelihatan imej seorang lelaki memakai kaca mata hitam, topi dan pakaian seragam tentera Amerika.

Ia juga turut menyiarkan rakaman beliau sedang makan dengan memakai pakaian harian penduduk di wilayah Kandahar, tempat kumpulan pejuang itu memu-lakan perjuangan mereka pada 1990-an.

Beliau memperkenalkan dirinya sebagai Bergdahl, dilahirkan di Sun Valley, Idaho, menyatakan pangkat, tarikh lahir, jenis dadah, unit dan nama ibunya sebelum memulakan kata-kata 'serangan' terhadap peperangan yang dilancarkan Amerika di Afghanistan dan hubungan negara itu dengan umat Islam.
"Keangkuhan dan kebodohan menjadikan kita buta dan enggan melihat kesalahan dan kesilapan yang kita lakukan berulangkali.

"Nasib Amerika di Afghanistan akan sama seperti yang dialaminya di Vietnam kecuali jika ia menghentikan segala tindakan bodohnya" kata beliau.

Walaupun tidak jelas di mana Bergdahl ditahan ketika video itu dirakamkan, beliau mendakwa menerima layanan baik dan tidak didera, berbeza dengan layanan buruk Amerika ke atas tahanan perangnya.

Sementara itu pegawai kanan Pengawal Kebangsaan Idaho, Leftenen Kolonel Tim Marsono, mengeluarkan kenyataan daripada keluarga Bergdahl yang tinggal di Hailey merayu agar anak mereka dibebaskan dan dihantar pulang.

Marsano yang menemui keluarga anggota tentera itu pagi semalam berkata, ke-luarganya tidak melihat rakaman video itu tetapi bercakap dengan mereka yang menyaksikannya. � AP

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Dunia/20091226232349/Article/index_html

Saturday, December 19, 2009

Karzai dijangka kekal ramai menteri

KABUL: Presiden Afghanistan, Hamid Karzai dijangka mengekalkan kebanyakan menteri kanannya dalam pembentukan Kabinet selepas memenangi pilihan raya untuk penggal kedua, kata seorang menteri semalam.

Diplomat barat secara amnya berpuas hati dengan senarai 23 calon menteri itu, manakala beberapa pihak lain bimbang Karzai yang berjanji untuk membanteras rasuah hanya 'mengitar semula' nama lama.

Pembentukan kabinet itu dilihat sebagai ujian pertama Karzai dalam memenuhi janjinya membersihkan kerajaan selepas menang pilihan raya 20 Ogos lalu yang dicemari penipuan undi.






Menteri Hal Ehwal parlimen, Anwar Jigdalak mengemukakan senarai itu kepada parlimen semalam, iaitu sebulan selepas Karzai disahkan sebagai pemenang pilihan raya presiden selepas pesaing terdekatnya Abdullah Abdullah menarik diri daripada pemilihan pusingan kedua.

Apa yang memeranjatkan tidak ada nama menteri luar dan menteri pembangunan bandar dinamakan.

Pegawai memberitahu Reuters Menteri Luar, Rangeen Dadfar Spanta akan kekal dalam jawatan itu sehingga Persidangan London mengenai Afghanistan, Januari ini.
Beliau akan melepaskan jawatan selepas itu tetapi tidak ada sebab diberi.

Hanya seorang wanita dinamakan iaitu bagi jawatan menteri hal ehwal wanita. Senarai itu perlu didebat dan diluluskan parlimen sebelum ia menjadi rasmi.

Hampir separuh daripada anggota kabinet digantikan atau ditukar jawatan. � Reuters

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Dunia/20091220013244/Article/indexworld_html

Tuesday, December 15, 2009

Lapan terbunuh serangan bom di Kabul

KABUL 15 Dis. - Lapan orang terbunuh dan 40 lagi cedera hari ini apabila seorang pengebom berani mati meletupkan diri dekat sebuah hotel dan rumah tamu yang popular di kalangan warga asing di sebuah kawasan elit di ibu negara Afghanistan ini.
Serangan terbaru yang disyaki dilancarkan oleh puak militan Taliban itu berlaku serentak dengan pembukaan satu persidangan mengenai rasuah oleh Presiden Afghanistan, Hamid Karzai.
Pengebom meletupkan diri di luar pintu pagar Hotel Heetal di daerah Wazir Akbar Khan, berhampiran sebuah rumah tamu dan kediaman bekas Naib Presiden pertama, Ahmad Zia Massoud.
Letupan mencetuskan kebakaran yang merosakkan vila-vila mewah dan memecahkan tingkap bangunan di kawasan kejiranan berkawal ketat yang menempatkan banyak kedutaan asing dan pertubuhan bantuan serta didiami oleh ramai pegawai kerajaan Afghan.
"Semua pintu teksi tercabut disebabkan kekuatan letupan dan kenderaan itu berpusing 360 darjah kerana letupan begitu kuat," kata saksi, Nanghirlay yang berada dua blok bangunan dari tempat kejadian.
Di kediaman Massoud, mayat seorang pengawal peribadi dibawa keluar dengan dibalut selimut sementara seorang wanita lari untuk menyelamatkan diri dengan muka berlumuran darah.
"Lapan orang maut, empat daripadanya wanita, manakala 40 orang lain termasuk wanita dan kanak-kanak cedera," katanya jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Zamarai Bashary.
Seorang warga asing terbunuh, kata seorang pegawai kerajaan yang enggan mendedahkan kerakyatan mangsa.
Pengurus besar syarikat Teknologi Maklumat, IO Global Services, Harjeet Singh berkata, 40 rakyat India menginap di rumah tamu itu, termasuk 20 daripada syarikat beliau.
Lima daripada mereka cedera, termasuk dua kakitangan IT, seorang tukang cuci, seorang tukang masak dan seorang pengawal keselamatan, kesemuanya warga India, kata beliau.
India ialah pelabur besar di Afghanistan selepas kejatuhan rejim Taliban dan filem serta muzik India sangat popular di kalangan golongan tertentu. - AFP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_02.htm

Sunday, November 29, 2009

‘Bom bunyi’ gegar Kabul

KABUL: Sebutir bom meletup dalam tong sampah tapi tidak menyebabkan kerosakan dan kecederaan, semalam.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Zemarai Bashary berkata, bom itu meletup di kawasan kedutaan di Wazir Akbar Khan.

“Bom ini dinamakan bom bunyi, yang hanya mengeluarkan bunyi yang kuat tapi tidak mungkin menyebabkan kerosakan,” katanya.

Hanya dinding di tepi tong mengalami kerosakan kecil. - Reuters

Sumber: http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Global/20091129084107/Article/index_html

12 banduan lolos guna terowong

KABUL 28 Nov. - Seramai 12 orang banduan berjaya melarikan diri dari sebuah penjara di sini hari ini menggunakan sebuah terowong yang mereka gali dari sel mereka.

Antara banduan yang melarikan diri itu ialah anggota militan Taliban berpangkat rendah, pengedar dadah dan beberapa penjenayah lain, menurut ketua polis wilayah Farah, Jeneral Mohamad Faqir Askar.

Seorang banduan lain yang berjaya ditahan semasa dia cuba meloloskan diri dari penjara itu berkata, mereka mengambil masa selama 10 hari untuk menggali terowong tersebut dan mereka merancang untuk mengosongkan penjara itu secara senyap menjelang tengah malam, menurut Mohamad.

Menurutnya, lebih 300 banduan ditempatkan di penjara itu yang hanya mampu menampung seramai 80 banduan.

Penjara Afghanistan yang terlalu padat telah menjadi satu masalah di negara ini ketika pihak berkuasa berusaha melaksanakan sistem keadilan di tengah-tengah konflik yang melanda negara ini.
Dalam kejadian lain di penjara utama di Kabul, pada tahun lalu penghuni penjara itu telah bertindak mengambil alih keseluruhan blok sel itu sebelum mereka diusir.

Pada Jun tahun lalu, militan Taliban menyerang sebuah penjara di selatan bandar Kandahar mengakibatkan 900 banduan berjaya melarikan diri. - AP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_02.htm

Friday, November 20, 2009

15 maut dibom di Afghanistan

HERAT Afghanistan 20 Nov. - Seorang pengebom berani mati meletupkan motosikal yang ditunggangnya di sebuah kawasan yang sesak di barat daya Afghanistan hari ini, mengorbankan 15 orang termasuk seorang pegawai kanan polis, lapor pihak berkuasa negara itu.Ketua Polis Wilayah Farah, Faqir Mohammad Askar berkata, serangan di wilayah bandar Farah itu disasarkan kepada pegawai polis tersebut yang maut bersama dua anggota polis yang menjadi pengawal peribadinya.

Pengarah sebuah hospital utama bandar itu, Abdul Jabar Shayeq berkata, 15 orang dilapor meninggal dunia, sementara 31 yang lain termasuk tujuh orang kanak-kanak cedera.
Farah, wilayah padang pasir utama di sepanjang sempadan dengan Iran, merupakan satu daripada kawasan yang menyaksikan pertambahan serangan pemberontak tahun ini ketika Taliban memperluas kegiatan mereka ke barat dan utara daripada pangkalan asal mereka di selatan dan timur. - AP

Sumber:  http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_14.htm

Bom motosikal korban 15 orang


WARGA Afghanistan mengerumuni sebuah kereta yang meletup selepas melanggar bom di tepi jalan, di Khost, mengorbankan tiga nyawa dan mencederakan tiga kanak-kanak.

HERAT: Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh dan 30 yang lain cedera dalam dua serangan bom di Afghanistan semalam ketika Presiden Hamid Karzai memulakan pentadbiran sebagai presiden untuk penggal kedua di negara itu.

Serangan itu menjadikan jumlah mereka yang terbunuh sejak Karzai mengangkat sumpah jawatan meningkat kepada 30 orang setakat ini.

Setakat ini empat serangan sudah berlaku sejak Karzai mengangkat sumpah jawatan. Dua askar Amerika dan 10 orang awam terbunuh dalam dua serangan bom kelmarin.

Dalam kejadian pertama semalam, seorang lelaki yang menunggang motosikal meletupkan bom di ibu negeri wilayah Farah di barat laut negara itu, mengakibatkan 15 orang terbunuh.

Pegawai berkata serangan dilakukan berhampiran kediaman gabenor wilayah Farah, Rohul Amin Amin menyebabkan kerosakan di bangunan berhampiran tempat trak berat memunggah barangan untuk dibawa ke Herat.

"Penyerang bermotosikal meletupkan diri di sebuah kawasan lapang berhampiran pejabat di rumah saya. Lima belas orang terbunuh termasuk anggota polis manakala yang lain penduduk awam. Seramai 34 orang lagi cedera, kebanyakannya parah," kata Amin.
Seorang doktor di hospital utama di wilayah itu Abdul Jajbar Shayeq, mengesahkan kemalangan jiwa yang berlaku.

Sementara itu dalam kejadian kedua, tiga penduduk awam terbunuh akibat letupan bom tepi jalan di wilayah Khost, manakala empat orang daripada sebuah keluarga cedera.

Siri serangan pejuang Taliban ke atas kerajaan sokongan Barat itu kali ini disifatkan yang terburuk dalam tempoh lapan tahun sejak tentera pakatan diketuai Amerika Syarikat menggulingkan pemerintahan kumpulan itu.

Serangan itu meningkatkan lagi cabaran kepada Karzai untuk memenuhi harapannya bagi membolehkan askar Afghanistan mengambil alih kawalan keselamatan dan mengurangkan jumlah 100,000 tentera asing di negara itu sekarang. - AFP

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Dunia/20091121004847/Article/indexworld_html

Karzai janji banteras rasuah, pelawa Abdullah


KABUL: Presiden Afghanistan, Hamid Karzai yang mengangkat sumpah jawatan untuk penggal kedua semalam berjanji akan membanteras rasuah, sambil mempelawa pesaing terdekatnya, Abdullah Abdullah untuk menyertai kerajaannya.

Karzai yang dikecam hebat kerana tidak bertindak tegas untuk menghapuskan gejala rasuah pada penggal pertama pemerintahannya, mengakui rasuah adalah masalah 'bahaya' dihadapi negaranya.

"Kita akan menganjurkan satu persidangan di Kabul untuk mencari jalan untuk menangani masalah ini," katanya dalam ucapan selepas majlis angkat sumpah yang turut dihadiri menteri luar asing, termasuk setiausaha negara Amerika Syarikat Hillary Clinton di Kabul semalam. Karzai mempelawa bekas menteri luarnya Abdullah untuk menyertai kerajaan perpaduan.

"Kita harus mempelajari daripada kesilapan dan kelemahan sejak lapan tahun lalu," kata presiden 51 tahun itu yang memulakan penggal lima tahun kedua.

Beliau berkata kerajaannya akan melakukan segala-galanya untuk melaksanakan pembaharuan dan berkata pasukan keselamatan Afghanistan berupaya mengambil alih kawalan negara itu daripada tentera antarabangsa dalam lima tahun.
Beliau yakin masalah keganasan antarabangsa dalam negaranya akan dapat diselesaikan.

"Kami akan sedaya upaya mencuba melaksanakan pembaharuan sosial, kehakiman dan pentadbiran," kata Karzai. – AFP

Sumber: http://bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Dunia/20091120003338/Article/indexworld_html

Thursday, November 19, 2009

Karzai angkat sumpah jawatan




Hamid Karzai menjunjung al-Quran semasa mengangkat sumpah jawatan Presiden Afghanistan di Istana Presiden di Kabul, semalam. - AFP

KABUL 19 Nov. - Presiden Afghanistan, Hamid Karzai berjanji akan memerangi rasuah dan mempelawa pencabar utamanya menyertai kerajaan selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden untuk penggal kedua, hari ini.
Karzai menjadi Presiden ketika pemberontak Taliban mencatat rekod tertinggi membunuh tentera Barat dan Afghanistan serta selepas kewibawaan kerajaan berkurangan ekoran pilihan raya yang dicemari dengan penipuan.
"Rasuah adalah masalah yang berbahaya. Kami tidak lama lagi akan mengadakan sidang kemuncak di Kabul untuk mewujudkan penyelesaian baru yang efektif," katanya ketika berucap sempena majlis angkat sumpah jawatan di Istana Presiden di Kabul, hari ini.
Karzai turut mempelawa lawan utamanya Abdullah Abdullah supaya bekerjasama dalam kerajaan perpaduan.
Beliau turut berjanji akan mengambil tindakan untuk membanteras gejala dadah serta mewujudkan banyak peluang pekerjaan.
"Kami telah belajar daripada kesilapan dan kelemahan dalam pemerintahan selama lapan tahun sebelum ini," kata Karzai yang memakai pakaian tradisional Afghanistan.
Selepas lapan tahun perang berlarutan dan negara kucar kacir, Barat menekan Karzai untuk mewujudkan pembaharuan yang kukuh untuk membersihkan kerajaannya dan menarik kembali kepercayaan rakyat.
Hillary Clinton yang turut melawat beliau di Istana Presiden hari ini untuk pertama kalinya sebagai Setiausaha Negara AS berkata, Afghanistan kini berhadapan dengan 'saat yang kritikal'.
Washington meningkatkan kebimbangan tentang kredibiliti Karzai ketika sekutu AS mengesa kerajaan Afghanistan membanteras rasuah untuk menentang pemberontak Taliban. - AFP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_02.htm