Militan dedah identiti penyerang bunuh tujuh ejen CIA
KABUL: Pergerakan al-Qaeda semalam mengakui serangan bom terhadap markas Agensi Perisikan Pusat (CIA) di Afghanistan menyebabkan tujuh ejennya maut adalah langkah membalas dendam kematian dua pemimpin kanannya dalam serangan pesawat kawalan jauh Amerika Syarikat.
Dalam serangan bunuh diri itu, seorang doktor keturunan Jordan yang dikatakan ejen bagi tiga pihak, meletupkan bom di pangkalan berkenaan di Khost berhampiran sempadan Pakistan pada 30 Disember lalu.
Beliau juga menamakan beberapa pemimpin tertinggi pergerakan itu yang terkorban dalam serangan pesawat kawalan jauh itu di Pakistan.
Mustafa menyifatkan misi pengebom terbabit, Humam Khalil Abu-Mulal al-Balawi sebagai 'satu kejayaan' kerana gagal dikesan perisikan Amerika dan Jordan, menurut kenyataan yang diterbitkan SITE di Amerika.
Beliau berikrar, al-Qaeda akan terus melawan Amerika sehingga 'ramai mati dan cedera.'
Antara pemimpin tertinggi al-Qaeda terkorban adalah Baitullah Mehsud, pemimpin Taliban di Pakistan yang dituduh melakukan beberapa serangan, termasuk pembunuhan bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto pada Disember 2007.
Mehsud terbunuh ketika peluru berpandu Amerika mengenai rumah bapa mentuanya pada 5 Ogos tahun lalu.
Seorang lagi ialah Abu Saleh al-Somali, yang dianggap sebagai antara pemimpin teras al-Qaeda dan bertanggungjawab merancang serangan di Eropah dan Amerika.
Dia maut dalam serangan pesawat kawalan jauh di Waziristan Utara pada Disember tahun lalu.
Media di Amerika menyifatkan pangkalan Khost itu sebagai markas antikeganasan CIA yang mengendalikan serangan pesawat kawalan jauh yang mensasarkan al-Qaeda dan Taliban di sempadan Pakistan. - AFP
Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Dunia/20100107233907/Article/indexworld_html
No comments:
Post a Comment