|
KABUL 5 Jan. - Lapan tahun melalui peperangan, komuniti perisikan Amerika Syarikat (AS) 'tidak begitu relevan' dalam keseluruhan misi di Afghanistan, demikian menurut seorang pegawai perisikan kanan untuk sebuah pasukan antarabangsa dalam laporan yang disiarkan kurang seminggu selepas lapan anggota Agensi Perisikan Pusat (CIA) terbunuh dalam serangan berani mati.
Dalam penilaian berbisa mengenai tugas perisikan AS di Afghanistan, Mejar Jeneral Michael Flynn berkata, pegawai perisikan AS dan penganalisis tidak banyak melakukan apa-apa kecuali memberi maklum balas kepada pembuat keputusan yang mahukan pengetahuan, analisis dan maklumat yang diperlukan untuk membanteras pemberontakan.
Laporan setebal 26 muka surat yang disiarkan semalam oleh badan pemikir, Pusat Keselamatan Amerika Baru di Washington, menyarankan perubahan besar supaya komuniti perisikan memberi tumpuan kepada rakyat Afghanistan dan mengurangkan perhatian terhadap musuh.
Oleh kerana AS memberi tumpuan kepada kumpulan pemberontak, rangkaian perisikan gagal menyelesaikan persoalan penting mengenai situasi yang dihadapi askar di medan tempur, demikian menurut Flynn dan dua orang penasihat keselamatan.
"Komuniti perisikan AS hanya sedikit relevan dalam strategi keseluruhannya," kata mereka lagi.
Laporan itu menjelaskan, pegawai perisikan As dan penganalisis 'tidak menghiraukan ekonomi tempatan dan pemilik tanah, kabur tentang siapa yang berkuasa dan bagaimana mempengaruhi mereka, tidak peduli tentang hubungan antara pelbagai projek pembangunan... dan mengasingkan diri dari orang ramai dalam keadaan terbaik mencari jawapan'.
"Perkakasan perisikan yang meluas gagal menjawab persoalan asas tentang persekitaran yang dihadapi tentera AS dan perikatan dan pihak yang perlu mereka pengaruhi," demikian menurut laporan itu lagi.
Penilaian buruk terhadap perisikan AS di Afghanistan ini dibuat selepas insiden serangan berani mati 30 Disember lalu di Camp Chapman, pangkalan CIA yang dikawal ketat di wilayah Khost, timur Afghanistan. - AP
Sumber: http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm
No comments:
Post a Comment