Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Sunday, January 3, 2010

Karzai terus terima tamparan

KABUL 3 Jan. – Presiden Afghanistan, Hamid Karzai mengalami tamparan terbaru apabila Parlimen menolak kebanyakan calon untuk menganggotai Kabinet baru beliau, termasuk satu- satunya calon wanita dan seorang panglima perang.

Hanya tujuh daripada 24 calon diluluskan oleh lebih 200 ahli Parlimen dalam undi rahsia di sini semalam, menjerumuskan semula Afghanistan ke dalam situasi politik tidak menentu, hanya beberapa minggu sebelum satu persidangan antarabangsa mengenai masa depan Afghanistan, negara yang dilanda peperangan ini, dijadual diadakan.

“Daripada 24 calon Kabinet yang dikemukakan kepada Parlimen, tujuh berjaya mendapat undi kepercayaan anda,” kata Speaker Parlimen, Mohammad Yunus Qanoni, selepas pengiraan selesai.
Senarai Kabinet Karzai itu dilihat oleh kuasa Barat yang menyokongnya sebagai ujian terhadap komitmen beliau untuk membentuk sebuah kerajaan yang bersih dan boleh dipertanggungjawabkan serta membasmi rasuah yang membelenggu negara ini yang membantu memarakkan pemberontakan Taliban.
Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang menghantar tentera untuk memerangi Taliban telah menegaskan bahawa bantuan berbilion dolar yang mereka salurkan kepada Afghanistan kini bergantung kepada tindakan tegas Karzai untuk memerangi rasuah.

Antara calon yang ditolak ialah panglima perang, Ismail Khan, yang pencalonannya dilihat sebagai ganjaran kerana menyokong Karzai semasa pilihan raya Presiden yang penuh kontroversi pada Ogos lalu.
Turut ditolak ialah satu-satunya calon wanita, Husn Banu Ghazanfar yang merupakan Menteri Hal-Ehwal Wanita dalam kerajaan sekarang.

Karzai berharap Kabinet barunya itu dapat diluluskan sebelum persidangan antarabangsa di London pada 28 Januari ini bagi membincangkan masa depan negara ini. – AFP

Sumber:http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_07.htm

No comments:

Post a Comment