Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Saturday, July 11, 2009

Tentera AS sukar kuasai Helmand


Periuk api tepi jalan ditanam pejuang Taliban masalah utama anggota Marin

MARIN Amerika tidur di 'lubang pertempuran' dalam kawasan bekas kediaman penduduk di daerah Nawa, wilayah Hemand.

KOSHTAY: Anggota Marin Amerika Syarikat yang dikerah menguasai wilayah Helmand, mendapati mereka sukar menewaskan pejuang Taliban berikutan kumpulan itu amat mahir dengan selok-belok dan landskap tempatan.

Pejuang Taliban juga pakar memasang periuk api, diletupkan dengan pemicu yang ditarik menggunakan wayar biasa atau plet tekanan dan amat berkesan bagi membunuh tentera asing itu yang dianggap penjajah.

Keupayaan menguasai Helmand dianggap penting berikutan kebanyakan pendapatan daripada pengeluaran candu yang ditanam di wilayah itu digunakan untuk membiayai pemisah, selain menjadi laluan selamat untuk pejuang lari ke Pakistan

Presiden Amerika Barack Obama melancarkan operasi besar-besaran di wilayah itu awal bulan ini, dengan menghantar 4,000 anggota marin ke kawasan yang gagal dikuasai tentera Britain dalam pakatan sejak 2001.

Misi Batalion Kejuruteraan Tempur Pertama untuk membersihkan jalan daripada ancaman menggunakan kereta perisai, terbukti sukar, apabila terpaksa 'berkurung' dalam kenderaan masing-masing sepanjang malam berikutan bimbang tindakan balas pejuang.

Operasi konvoi ke-10 yang cuba membuka sebatang jalan utama di selatan Helmand gagal, apabila letupan demi letupan bahan periuk api yang diubah suai, (IED) menyebabkan mereka terkandas selama berhari-hari.

Masalah anggota Marin yang diturunkan di wilayah Taliban dari udara semakin buruk, apabila jalan terhalang kerana lebih banyak IED dipasang pejuang setiap malam, menyebabkan bekalan diperlukan tidak diperoleh sejak 2 Julai lalu.

Perjalanan dari Kem Delhi di daerah Garmsir ke kedudukan pasukan infantri di Mian Poshteh, hanya kira-kira 30 kilometer, malangnya konvoi yang terbabit dengan kerja membersihkan laluan masih jauh dari destinasi mereka, meskipun bertungkus-lumus selama 72 jam.

Wartawan AFP yang bersama anggota Marin itu melaporkan letupan pertama IED sebelah tengah hari Rabu lalu, merosakkan alat pemusnah periuk api yang dibawa dan digunakan konvoi itu.

Kejadian ini adalah permulaan kepada siri letupan bom dan kegagalan logistik sekali gus mendedahkan tentera Amerika dengan taktik perang gerila Taliban, di kawasan cerun lembah Sungai Helmand.

Letupan menyebabkan alat pemusnah periuk api itu berkecai, manakala kenderaan kalis periuk api dan tahan serang hendap (MRAP) 17,000 kilogram yang membawanya, hampir terbalik di tepi jalan.

"Tiba-tiba semua jadi gelap dan kami jatuh. Saya menyelamatkan diri melalui sebuah lubang," kata Prebet Donnie Hamiliton.

MRAP adalah kenderaan baru tentera dikatakan berupaya menyelamatkan nyawa askar, tetapi ia terlalu berat sehingga alat khas digunakan untuk membetulkan semula kedudukannya. - AFP

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Dunia/20090711235902/Article/indexworld_html

No comments:

Post a Comment