Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Monday, July 6, 2009

Taliban lancar serangan gerila

KANDAHAR 6 Julai - Pergerakan Taliban di Afghanistan hari ini mengumumkan mereka telah melancarkan operasi gerila untuk menangkis serangan besar-besaran tentera marin Amerika Syarikat (AS) ke atas kubu kuat mereka di wilayah Helmand.

Operasi Foladi Jal, atau 'jaringan besi' dalam bahasa Pashtun, akan 'mengajar' askar marin AS, kata jurucakap Taliban, Yousuf Ahmadi kepada AFP menerusi telefon dari satu lokasi rahsia.

Kira-kira 4,000 askar marin membanjiri wilayah Helmand di sempadan dengan Pakistan dalam Operasi Khanjar (pisau belati) yang tidak menghadapi banyak tentangan sejak dilancarkan lima hari lalu.

"Sebagai membalas Operasi Khanjar yang dijalankan oleh tentera penceroboh, kami telah melancarkan Operasi Foladi Jal.

"Khanjar mereka akan terjerat dalam Foladi Jal kami," kata Ahmadi.

Beliau memberi amaran bahawa dalam operasi itu, gerila Taliban akan mengajar askar marin AS cukup-cukup sehingga mereka tidak lagi berani memasuki kawasan Taliban.

Operasi Taliban melibatkan serangan bom serta gerila.

"Kami tidak akan bertempur dengan mereka secara berdepan, sebaliknya kami akan menyerang mereka dengan periuk api dan serangan gerila," kata jurucakap itu.

Serangan oleh askar marin AS dengan bantuan kira-kira 600 askar Afghanistan telah membolehkan mereka memasuki beberapa pekan penting di Helmand dan bertujuan untuk menguasai kawasan berkenaan bagi membolehkan rakyat Afghanistan mengundi pada pilihan raya Presiden negara ini yang dijadual diadakan pada 20 Ogos ini.

Seorang askar marin terbunuh tetapi pegawai belum menyiarkan angka korban di pihak Taliban. - AFP

Sumber: http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0707&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_07.htm

No comments:

Post a Comment