Sekelumit Rasa Sejernih Suasana
Thursday, July 2, 2009
Artifak berharga lesap
Oleh Shamsiah Sanin
bminggu@bharian.com.my
Pesawat pengangkut Palang Merah tiba di Kabul bersama 22 kotak artifak yang dicuri dan disimpan di Lapangan Terbang Heathrow.
Lebih 1,500 tapak sejarah purba Afghanistan dikuasai pencuri barangan purba
AFGHANISTAN, negara yang tidak pernah sunyi daripada pergolakan dan peperangan. Serangan bunuh diri yang mengorbankan ramai penduduk, pertelingkahan puak pemisah dan perang sesama bangsa bagaikan sudah rutin dalam kehidupan penduduknya.
Negara itu mempunyai warisan kebudayaan paling kaya di dunia. Negara bergunung-ganang itu menjadi laluan Jalan Sutera mempunyai adunan pelbagai budaya dan agama. Namun, serangan Russia pada 1979 dan perang saudara berterusan menyebabkan ia bertukar daripada syurga ahli kaji purba kepada sebuah negara yang mengerikan.
Kehadiran tentera asing diketuai Amerika Syarikat ketika ini tidak membawa banyak perubahan, malah ada kalanya memburukkan lagi keadaan sedia ada. Keadaan kucar-kacir dan suasana politik yang tidak menentu ini memberi peluang kepada mereka yang tidak bertanggungjawab, mengaut keuntungan dengan cara yang tidak wajar.
Tidak hairanlah, pencari dan pencuri barangan purba dan harta karun, kini menguasai lebih 1,500 tapak sejarah purba bagi mendapatkan artifak berharga dan menyeludupnya ke luar negara.
Tawaran harga tinggi yang diberikan pengumpul barangan purba menjadi tarikan yang tidak dapat ditolak kumpulan pencuri dan penyeludup untuk melakukan apa saja bagi mendapatkan artifak berkenaan.
Bagaimanapun selepas pelbagai usaha dilakukan, Afghanistan akhirnya berjaya mendapatkan semula sebahagian barangan yang dicuri dan diseludup keluar itu.
Kerajaan Britain yang dibantu National Geographic dan Pertubuhan Palang Merah negara itu baru-baru ini, mengembalikan semula kira-kira 3.4 tan barangan purba curi yang dirampas di Lapangan Terbang Heathrow, London sejak enam tahun lalu.
Antara koleksi artifak yang disimpan di Lapangan Terbang Heathrow termasuk lebih 1,500 barangan yang menggambarkan sejarah Afghanistan, termasuk artifak yang berusia ribuan tahun.
Artifak tertua dalam koleksi itu ialah ukiran haiwan diperbuat daripada batu marmar yang mempunyai persamaan dengan barangan zaman Mesolitik dan Neolitik, kira-kira 8,000 tahun lalu.
Objek lain termasuk ukiran kepala daripada batu berusia 3,000 tahun, hulu kapak dan ukiran haiwan.
Koleksi lain termasuk barangan gangsa, wang syiling dan dan ukiran batu sejak awal kedatangan Islam pada abad ke-8 dan 9 Masihi serta harta karun zaman pertengahan bagi menggantikan koleksi di Muzium Kebangsaan yang musnah dalam serangan roket ketika perang saudara pada 1993.
Pemerhati mengaitkan paparan terlalu banyak berita buruk mengenai Afghanistan sejak akhir-akhir ini, tindak tanduk pejuang Taliban serta keganasan yang semakin merebak dan perniagaan candu yang meningkat, menyebabkan isu lain seperti penyeludupan artifak bersejarah dan berharga ini tidak sebegitu dipedulikan.
"Keadaannya sama seperti penyakit yang membunuh kita secara perlahan-lahan. Setiap hari kami kehilangan warisan kebudayaan kami dan ada pihak yang mengaut keuntungan di atas kesengsaraan rakyat," kata Pengarah Muzium Kebangsaan Afghanistan, Omara Khan Masoudi.
Sejak keganasan bermula suku abad lalu, Masoudi dan kakitangannya berjaya menyelamatkan kira-kira 90 peratus koleksi penting di Muzium Kebangsaan Afghanistan dan ini adalah satu kejayaan membanggakan. Bagaimanapun, muzium berkenaan masih kehilangan kira-kira 70,000 objek kebanyakannya disimpan di dalam gudang muzium itu.
Masoudi berkata, beliau dimaklumkan mengenai artifak yang disimpan di Lapangan Terbang Heathrow daripada seorang diplomat Britain yang bertugas di Kabul.
Beliau menghubungi ahli kaji purba Amerika dan Penasihat Persatuan National Geographic Fredrick Hiebert, seorang pakar kebudayaan purba Asia Tengah yang mengaturkan perjalanan mereka ke Britain untuk memeriksa artifak berkenaan.
Ini juga bukan kali pertama Hiebert dan Masoudi bekerjasama. Hiebert menghabiskan masa dari 2004 hingga 2006 di Kabul untuk menyiapkan katalog 22,000 objek emas era Iskandariah yang dikenali sebagai Bactrian.
Selama bertahun sebelum itu koleksi yang ditemui ahli arkeologi Russia Viktor Sarianidi pada 1978, disangka sudah dicuri ketika perang saudara atau dilebur oleh rejim Taliban. Ia ditemui tersembunyi di dalam sebuah gudang di Istana Presiden di Kabul pada 2003.
Dengan bantuan seorang lagi pakar, Carla Grissmann, Hiebert membandingkan objek yang disimpan di Heathrow dengan berpuluh ribu artifak yang hilang daripada koleksi Muzium Kebangsaan.
"Tiada satu pun objek itu datang dari muzium, sebaliknya digali secara haram dari lokasi sejarah purba dan dieksport tanpa permit," katanya.
Kebanyakan koleksi ditemui di Heathrow itu, disimpan di muzium bagi menggantikan artifak yang hilang atau dicuri ketika perang saudara. Bagaimanapun, hanya kira-kira 10 peratus daripada koleksi itu boleh dipamerkan berikutan masalah kehilangan maklumat penting mengenainya.
Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Bmdua/20090503075152/Article/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment