Sekelumit Rasa Sejernih Suasana
Wednesday, July 15, 2009
Taliban tembak helikopter bantuan
Sebuah lori tangki Pakistan yang membawa minyak untuk keperluan NATO terbakar selepas diserang oleh militan di Peshawar, Pakistan, semalam. - AP
KABUL 15 Julai - Sebuah helikopter pengangkut bantuan kemanusiaan telah ditembak jatuh oleh puak militan di wilayah selatan Afghanistan, yang merupakan kawasan pemberontakan Taliban.
Menurut seorang pegawai, pertempuran antara tentera Amerika Syarikat (AS) dan Taliban telah menyebabkan kesemua enam krew rakyat Ukraine terbunuh dan seorang kanak-kanak turut maut di darat.
Tiga tentera AS dan seorang askar Itali terbunuh dalam pertempuran baru-baru ini.
Helikopter pengangkut itu terhempas selepas terbakar di udara semalam di Sangin, wilayah Helmand, pusat penanaman candu di Afghanistan dan tempat ribuan anggota Marin AS menjalankan serangan terbesar ke kubu kuat Taliban sejak Taliban digulingkan pada tahun 2001.
Menurut pegawai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Kabul, punca nahas masih dalam siasatan dan tidak dapat memberi butiran lanjut.
Tetapi pihak berkuasa penerbangan awam Moldova berkata, sebuah roket atau peluru berpandu dilancarkan ke arah helikopter Mi-26, milik syarikat sewa khas Pecotox-Air.
"Nahas itu berlaku ke atas helikopter yang membawa bantuan kemanusiaan," kata pihak berkuasa Moldova dalam satu kenyataan.
Taliban telah mengeluarkan satu kenyataan dalam laman webnya mendakwa helikopter telah ditembak dengan tembakan antipesawat yang 'membawa 37 askar Britain'.
Pihak berkuasa Moldova dan Britain berkata, tiada tentera Britain yang berada dalam helikopter tersebut.
Jurucakap gabenor Helmand, Daud Ahmadi berkata, seorang kanak-kanak berumur enam tahun yang berada di darat turut terbunuh.
"Nahas itu berlaku kira-kira satu kilometer dari satu pangkalan utama tentera Britain," kata seorang pegawai kanan tempatan, Fazel Haq. - AP
Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_13.htm
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment