Sekelumit Rasa Sejernih Suasana
Friday, July 3, 2009
AS gempur Taliban
Anggota tentera marin AS berjalan menuju ke helikopter di Kem Dwyer untuk menyertai operasi memburu militan Taliban di Lembah Helmand, Afghanistan, semalam. - AFP
CAMP DWYER Afghanistan 2 Julai - Beribu-ribu tentera marin Amerika Syarikat (AS) telah dikerahkan melalui darat dan udara untuk menggempur kawasan yang dikuasai Taliban di Afghanistan, yang merupakan satu ujian berisiko tinggi Presiden Barack Obama dalam rancangan perang baru yang diperkenalkan oleh Presiden AS itu di Afghanistan.
Berpuluh-puluh pesawat pejuang membawa hampir 4,000 tentera AS daripada beberapa pangkalan berlepas sebelum subuh untuk menyertai operasi menggempur pejuang Taliban jauh di dalam kawasan yang mereka kuasai di wilayah bergolak Helmand, di utara Afghanistan menjelang pilihan raya di negara ini pada bulan depan.
Ia merupakan operasi besar pertama pasukan tentera marin AS sejak mereka dihantar ke negara ini bagi menyertai 21,000 anggota tentera AS yang dihantar ke Afghanistan atas permintaan Obama sebagai satu strategi agresif AS untuk menamatkan pemberontakan Taliban di Afghanistan.
"Apa yang membezakan Operasi Khanjar dengan operasi yang lain sebelum ini ialah daripada segi saiz anggota tentera yang lebih besar dikerahkan," kata Komander Marin, Brigadier Jeneral Larry Nicholson.
"Matlamat kami adalah untuk meluangkan masa menemui penduduk tempatan, dan itulah yang akan kami lakukan untuk tempoh tujuh atau lapan bulan akan datang," kata Nicholson kepada AFP.
Menurutnya, Operasi Khanjar (hayunan pedang) itu yang turut melibatkan 650 orang anggota polis dan tentera Afghanistan akan membawa keselamatan kepada Lembah Helmand sebelum berlangsung pilihan raya Presiden Afghanistan pada 20 Ogos ini.
Fasa paling agresif dalam operasi itu telah ditetapkan akan berakhir dalam tempoh 36 jam, kata komander itu.
Pasukan tentera itu akan dikerah bergerak ke arah selatan menuju ke Lembah Sungai Helmand, memasuki jauh ke dalam kawasan bergolak yang dikuasai oleh militan, yang sebelum ini gagal dimasuki oleh tentera antarabangsa, walaupun mereka berjaya menggulingkan Taliban. - AFP
Sumber: http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0703&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_07.htm
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment