Sekelumit Rasa Sejernih Suasana
Tuesday, July 7, 2009
7 askar AS maut di Afghanistan
PASUKAN perubatan marin AS mengusung tentera yang cedera untuk dibawa keluar oleh helikopter di Nawa, wilayah Helmand kelmarin.
KABUL: Tujuh askar Amerika terbunuh, ketika beribu-ribu anggota marin Amerika terus melancarkan serangan besar-besaran terhadap Taliban di wilayah Helmand di selatan Afghanistan kelmarin.
Seorang pengebom bunuh diri juga meletupkan dirinya di luar pintu masuk pangkalan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di kawasan berkenaan, menyebabkan dua orang awam terkorban dan 14 orang cedera.
Serangan di wilayah Helmand itu adalah operasi tentera Amerika yang terbesar sejak penyingkiran Taliban daripada kuasa pada 2001.
Empat askar Amerika maut apabila kenderaan yang mereka naiki terkena bom di tepi jalan di wilayah Kunduz di utara, kata jurucakap tentera Amerika, Brian Naranjo.
Mereka yang terbunuh berada di Afghanistan untuk melatih pasukan keselamatan negara itu, kata Naranjo.
Satu lagi letupan menyebabkan dua lagi anggota tentera Amerika terbunuh, kata Naranjo, tapi tidak memberi butiran lanjut mengenai lokasi letupan berkenaan.
Seorang lagi askar Amerika mati akibat cedera teruk selepas bertempur dengan militan kelmarin di kawasan timur Afghanistan, kata jurucakap tentera Amerika.
Puak Taliban melakukan serangan ganas dalam tempoh tiga tahun lalu selepas disingkir daripada kuasa dalam pencerobohan tentera asing diketuai AS pada 2001. Pihak militan kini menguasai sebahagian besar kawasan yang bergolak di selatan dan timur.
Kematian orang awam akibat tindakan ketenteraan AS dan Nato sudah lama menjadi punca pergeseran di antara Presiden Hamid Karzai dan Barat. Kejadian mengakibatkan kematian seperti itu memencilkan penduduk perkampungan Afghanistan, menyebabkan kehilangan sokongan terhadap kerajaan dan misi antarabangsa. - AP
Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Dunia/20090708055550/Article/indexworld_html
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment