Sekelumit Rasa Sejernih Suasana
Friday, July 3, 2009
AS gempur kubu Taliban
PASUKAN marin AS menaiki helikopter untuk menyertai operasi Khanjar di Helmand, semalam.
Tentera mara ke selatan Afghanistan selaras strategi Obama
KABUL: Beribu-ribu tentera Marin Amerika Syarikat disertai beratus-ratus tentera tempatan mara ke kampung yang dikuasai Taliban di selatan Afghanistan dengan kereta kebal dan helikopter semalam dalam operasi besar-besaran pertama menerusi strategi Presiden Barack Obama untuk menstabilkan negara itu.
Serangan dilancarkan sejurus selepas jam 1.00 petang waktu tempatan semalam di wilayah Helmand, kubu kuat Taliban dan kawasan pengeluar candu terbesar dunia. Matlamatnya untuk menghapuskan militan di wilayah itu sebelum pilihan raya presiden pada 20 Ogos ini.
Pegawai menyifatkan operasi itu, yang digelar Khanjar atau 'Serangan Pedang' sebagai fasa baru perang paling besar dan cepat serta serangan membabitkan marin terbesar sejak di Fallujah, Iraq pada 2004.
Ia membabitkan hampir 4,000 anggota marin yang baru tiba dan 650 tentera Afghanistan. Tentera Britain minggu lalu, mengetuai misi serupa, tetapi lebih kecil, untuk menghapuskan militan di Helmand dan Kandahar.
"Ke mana kami pergi, kami akan menetap dan di mana kami menetap, kami akan bina dan bekerja ke arah peralihan semua tanggungjawab keselamatan kepada tentera Afghanistan," kata pegawai atasan marin, Brigadier Jeneral Larry Nicholson dalam satu kenyataan.
Helikopter pengangkutan membawa beratus-ratus anggota marin ke kampung Nawa, kira-kira 30 kilometer ke selatan ibu negeri wilayah itu, Lashkar Gah, di daerah yang menyaksikan tiada tentera Amerika atau NATO beroperasi dalam bilangan besar.
Bunyi tembakan kedengaran sepanjang hari tetapi pertempuran sengit berlaku. Helikopter perubatan berlegar-legar di udara dan mendarat, menunjukkan kemungkinan ramai anggota marin maut.
Sebutir bom tepi jalan meletup dan mencederakan seorang anggota marin tetapi dia boleh meneruskan operasi, kata jurucakapnya, Kapten Bill Pelletier. - AP
Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Dunia/20090702225705/Article/index_html
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment