Sekelumit Rasa Sejernih Suasana
Tuesday, July 21, 2009
Militan serang timur Afghanistan
ASKAR Amerika berkawal di Lembah Pesh, wilayah Kunar Afghanistan, semalam.
15 pejuang Taliban letup bangunan kerajaan di dua bandar, enam terbunuh
KABUL: Pejuang Taliban menyerang beberapa bangunan kerajaan di dua bandar di timur Afghanistan semalam dalam operasi canggih yang membunuh enam orang dan mengejutkan pasukan keselamatan.
Polis berkata, mereka menembak mati dua orang penyerang bunuh diri yang memakai pakaian burka wanita.
Seorang jurucakap Taliban mendakwa seramai 15 orang pejuang semuanya memakai baju bom terbabit dalam serangan ke atas Gardez, wilayah Paktia yang dilakukan kira-kira jam 11 pagi waktu tempatan.
Pegawai kerajaan berkata, antara bangunan yang menjadi sasaran ialah pekarangan pejabat Gabenor, pejabat unit risikan dan ibu pejabat polis.
Pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) menyerang balas, tetapi masih tidak dapat dipastikan sama ada mereka terbabit dalam sebarang pertempuran, kata jurucakapnya, Kapten Elizabeth Mathias. Beliau berkata, pejuang Taliban menyerang pekarangan pejabat gabenor dengan pistol dan senjata lain.
Jurucakap Taliban itu, Zabiullah Mujahid, memberitahu The Associated Press, seramai 15 pejuang berpakaian baju bunuh diri yang sarat dengan bahan letupan melancarkan serangan ke atas Gardez. Mereka turut membawa raifal AK-47 dan roket.
Seorang pegawai di Kabul berkata bangunan jabatan risik dan polis di Gardez juga diserang.
Sementara itu, dua lagi pengebom bunuh diri ditembak mati oleh polis di Jalalabad ketika mereka cuba memasuki lapangan terbang bandar itu, kata jurucakap kerajaan wilayah, Ahmad Zia Abdulzai.
Jalalabad dan Paktia banyak menyaksikan serangan pejuang Taliban.
Pejuang Taliban sejak tahun lalu melancarkan beberapa serangan canggih membabitkan beberapa penyerang bunuh diri dan pasukan bersenjata.
Operasi sedemikian pernah dilancarkan di Kabul dan Kandahar.
Penganalisis berkata, kumpulan al-Qaeda mungkin bertanggungjawab memberi latihan kepada Taliban .
Serangan terakhir seumpama itu dilancarkan Mei lalu terhadap Khost, juga di timur Afghanistan, membabitkan 11 penyerang bunuh diri yang menyerang bangunan kerajaan, mencetuskan pertempuran dengan askar Amerika Syarikat dan Afghanistan. Seramai 20 orang termasuk terkorban dan tiga askar Amerika cedera dalam serangan itu. AP
Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Dunia/20090722013551/Article/indexworld_html
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment