Sekelumit Rasa Sejernih Suasana
Wednesday, September 16, 2009
Hamid Karzai menang 54.6 peratus undi
Tuesday, September 15, 2009
Tahanan penjara Bagram dibenar ke mahkamah
WASHINGTON 15 Sept. - Buat julung kalinya, Amerika Syarikat (AS) membenarkan kira-kira 600 penghuni pusat tahanannya di Kabul, yang digelar Guantanamo Afghanistan untuk mencabar kesahihan penahanan mereka di mahkamah.
Sebahagian daripada mereka yang telah bertahun-tahun ditahan di Pangkalan Udara Bagram di utara Kabul, kini akan dibantu oleh seorang pegawai tentera AS untuk mengumpul saksi dan bukti bagi mengemukakan kes mereka, demikian menurut Jabatan Pertahanan.Mereka kemudian akan dibenarkan membela diri, malah memanggil saksi di hadapan badan tentera yang dipertanggungjawabkan dalam mempertimbang kes yang difailkan.
"Secara asasnya ia adalah prosedur kajian semula yang memastikan tahanan berhadapan dengan satu panel secara berkala untuk memberi mereka peluang mempersoalkan penahanan mereka," kata jurucakap Pentagon, Bryan Whitmabn kepada pemberita.
Banduan akan dibantu oleh 'wakil peribadi' beruniform, yang akan 'memberi panduan kepada mereka berhubung proses pentadbiran yang perlu dilalui dan memberi bantuan mengumpulkan keterangan saksi'.
"Ia perkara serupa yang pernah dipakai di Iraq untuk membantu mengawal populasi tahanan dan seterusnya mengurangkannya dengan memastikan hanya ancaman paling berbahaya kekal dipenjarakan," katanya.
Penjara Bagram telah digunakan sejak 2002 sebagai tapak tahanan suspek keganasan yang ditangkap di luar Afghanistan dan Iraq.
Namun tidak seperti Teluk Guantanamo di Cuba yang menempatkan 229 tahanan 'perang keganasan', banduan di Bagram tidak mempunyai akses kepada peguam, tidak ada hak mendengar dakwaan ke atas mereka dan hanya dikelaskan sebagai musuh awam.
Pentadbiran Presiden Barack Obama dalam kes yang difailkan kepada Mahkamah Rayuan AS lewat semalam menegaskan suspek pengganas di Bagram tidak sepatutnya dibenarkan untuk mencabar penahanan mereka di mahkamah AS, satu hak yang diberikan Mahkamah Agung kepada tahanan Guantanamo.
Hakim Daerah AS, John Bates pada April lalu memutuskan bahawa tahanan asing di Bagram juga sepatutnya diberikan hak tersebut seperti yang termaktub dalam hak habeas corpus. - AFP
Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0916&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_05.htm
Kembar siam Afghan dipisah
Monday, September 14, 2009
Bayi satu kepala dua badan di Afghanistan
‘‘Untuk beberapa hari badan kedua bayi itu hidup dan bergerak tetapi kini sudah meninggal dunia,’’ kata Doktor Homayoun Khamoosh dari Hospital Kunduz kepada AFP. Menurutnya, para doktor telah memutuskan untuk melakukan pembedahan bagi memisahkan badan kembar itu. – AFP
Sumber: http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0915&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_14.htm
Sunday, September 13, 2009
Afghanistan: Siasatan pilihan raya ambil masa lama
KABUL 13 Sept. - Rakyat Afghanistan dijangka berdepan situasi suram selama berbulan-bulan akan datang menanti keputusan berhubung dakwaan penipuan dalam pilihan raya, dengan prospek meletusnya kekacauan politik yang berlarutan ketika pemberontakan Taliban berada pada tahap paling hebat.
Walaupun, keputusan setakat ini menunjukkan Presiden Hamid Karzai bakal memperolehi kemenangan dalam pilihan raya yang diadakan pada bulan lepas, dakwaan penipuan yang meluas dan peratusan keluar mengundi yang sangat rendah boleh melenyapkan kredibiliti kerajaan beliau yang disokong Barat.Tiada sesiapa yang menaruh harapan keputusan rasmi mengenai Presiden baru Afghan dibuat mengikut jadual pada Khamis lalu, dan kegagalan itu memberi tamparan kepada proses yang dilihat sebagai ujian penting dalam usaha untuk membawa kestabilan di negara ini selepas perang selama lapan tahun.
Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas (IEC) sudah mengasingkan beratus ribu kertas undi untuk diaudit dan penyiasat baru memulakan tugas mereka bagi menyiasat dakwaan penipuan.
Haroun Mir daripada Pusat Afghanistan bagi Penyelidikan dan Kajian Dasar meramalkan Afghanistan 'menghadapi krisis politik selama beberapa bulan akan datang'.
"Rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap kerajaan Afghan dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) disebabkan krisis politik ini," kata beliau.
Undang-undang pilihan raya Afghan menetapkan seseorang calon mesti menerima 50 peratus campur satu undi untuk diisytiharkan sebagai pemenang.
Jika tiada calon memperoleh keputusan itu, pengundian pusingan kedua akan diadakan antara dua calon teratas.
Karzai buat masa ini mendapat 54.3 peratus undi, jauh meninggalkan pencabar terdekatnya, bekas Menteri Luar, Abdullah Abdullah yang menerima 28 peratus. Peratusan Karzai masih boleh merosot kepada kurang daripada 50 peratus bergantung kepada siasatan mengenai aduan penipuan.
Mir berkata, dalam senario paling buruk, aduan penipuan boleh memakan masa dua bulan untuk diselesaikan sebelum keputusan akhir diumumkan.
Jika pusingan kedua diperlukan, pengundian akan perlu ditangguhkan sehingga musim bunga atau musim panas depan kerana lojistik pilihan raya akan terjejas disebabkan musim sejuk. - AFP
Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0914&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_06.htm
Friday, September 11, 2009
ECC Arah Kertas Undi Dikoyak
KABUL 11 Sept. - Badan pemantau undi Afghanistan, semalam buat pertama kalinya mengarahkan supaya kertas undi daripada 83 pusat pengundian dikoyakkan, gambaran jelas menunjukkan berlaku penipuan dalam pilihan raya Presiden negara ini, pada bulan lalu.
Rakyat Afghanistan telah keluar mengundi pada pilihan raya Presiden Afganistan buat kali kedua pada 20 Ogos lalu, namun pengundian telah tercemar berikutan jumlah pengundi yang turun mengundi berkurangan, ekoran tersebar khabar angin berlaku penipuan undi dan ugutan termasuk penipuan lain.
"Dalam siasatannya, Suruhanjaya Aduan Pilihan Raya (ECC) telah menemui bukti sahih mengenai berlaku penipuan di 83 pusat pengundian di tiga wilayah," menurut ECC dalam satu kenyataan.
Badan yang mendapat sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata, kertas undi daripada kesemua pusat pengundian tersebut perlu diasingkan daripada kertas undi terakhir, yang mana hampir kesemua kertas undi yang dikira menunjukkan penyandang jawatan Hamid Karzai dipilih semula.
Majoriti undi tersebut datang daripada pengundi di 51 pusat pengundian di selatan Kandahar, wilayah kelahiran Karzai, yang juga menjadi kubu kuat Taliban.
Pencabar utama Presiden Afghanistan itu menuduh pasukan Karzai terlibat dalam penipuan undi. - AFP
Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0912&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_05.htm
Operasi selamat wartawan Britain cetuskan kemarahan
SANAK saudara Sultan Munadi mengiringi jenazah di Kunduz, utara Kabul. |
KABUL: Tindakan Britain mengarahkan operasi menyelamat wartawannya, Stephen Farrell yang bertugas dengan akhbar New York Times (NYT) mencetuskan kemarahan di Afghanistan kerana dilakukan ketika rundingan mengenai pembebasannya berlangsung.
Dalam operasi itu, Farrell berjaya diselamatkan tetapi pembantunya dan seorang askar terbunuh. Kritikan itu dipertahankan oleh pemimpin tentera, manakala ia mendapat pujian Perdana Menteri Britain, Gordon Brown.
Farrell, 46, ditahan oleh militan Taliban di Kunduz selama empat hari sebelum diselamatkan tetapi wartawan tempatan yang bertugas bersama, Sultan Munadi, maut.
Ada laporan menyatakan, dua lagi terbunuh iaitu seorang wanita dan pemilik kediaman yang menjadi lokasi serangan, kata akhbar The Guardian, semalam.
Farrell dan Sultan membuat tinjauan mengenai keadaan tempatan selepas serangan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) selepas Taliban merampas dua lori tangki minyaknya.
Sumber di sini mendakwa, ketika serangan dilancarkan, rundingan berlangsung dengan militan Taliban di Kunduz dan persetujuan membebaskan wartawan terbabit semakin hampir.
Sultan dibenarkan menelefon rumahnya pada 10.30 malam (waktu tempatan) kelmarin dan keluarganya memberitahu, penculik tidak mengancam wartawan itu sambil memberitahu hanya ada beberapa perkara lagi untuk diselesaikan sebelum dia dibebaskan.
Seorang wartawan Barat di Afghanistan juga berkata, Farrell ditahan atas arahan Mullah Salam, 'gabenor bayangan' Taliban di Kunduz.
"Dia sudah kehabisan wang dan sedia memeterai perjanjian. Tetapi, komando MI6 membuat serbuan tanpa mengetahui langsung keadaan tempatan," katanya.
Tetapi, pegawai Britain pula berkata, operasi Kumpulan Bantuan Tentera Khas yang menggunakan helikopter Amerika Syarikat, dilakukan atas maklumat bahawa nyawa wartawan itu dalam bahaya.
"Mereka mengambil kesempatan untuk untuk menyelamatkannya," kata seorang pegawai. Selain itu, Pengarang NYT, Bill Keller, berkata Farrell memberitahunya keadaan di tempat penahanannya semakin tegang sebelum serbuan dilakukan.
Bagaimanapun, wartawan dan penterjemah tempatan yang bekerja dengan wartawan asing menyuarakan kemarahan atas operasi berkenaan. Agensi
Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Dunia/20090910224212/Article/indexworld_html
Wednesday, September 9, 2009
Wartawan dibebas dalam operasi di Afghanistan
KABUL: Seorang wartawan New York Times (NYT), Stephen Farrell, yang diculik di Afghanistan dibebaskan dalam operasi pasukan khas semalam tapi rakannya, Sultan Munadi, warga Afghanistan dibunuh oleh Taliban.
Farrell, warga Ireland dilaporkan hilang Sabtu lalu di wilayah utara Kunduz, di mana serangan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) mengorbankan orang awam dan berpuluh-puluh anggota Taliban.
"Mereka berjaya membebaskan Stephen Farrell dalam operasi pasukan khas Amerika Syarikat di daerah Chardara," kata Gabenor Kunduz, Mohammad Omar.
Sultan dibunuh oleh Taliban, tambahnya.
Akhbar NYT melaporkan dalam laman webnya bahawa 'anggota' komando membebaskan wartawan NYT daripada penculiknya di Afghanistan' tetapi tidak memberi maklumat lanjut.
Ketua Polis Wilayah, Abdul Razaq Yaqubi, berkata beliau mendapat maklumat itu dan akan menghantar satu pasukan ke kawasan berkenaan untuk menyiasat apa yang berlaku.
Farrell adalah wartawan asing kedua yang bertugas untuk NYT yang diculik di Afghanistan dalam tempoh kurang setahun.
David Rohde dan seorang wartawan tempatan diculik di luar Kabul dengan pemandu mereka November lalu, tapi berjaya melarikan diri Jun lalu, lapor akhbar berkenaan.
Farrell adalah wartawan berpengalaman yang bertugas untuk NYT ketika peperangan di Iraq dan pernah menjadi wartawan The Times, Britain di Asia Barat.
Setakat ini masih belum ada ulasan daripada tentera asing yang berpangkalan di Afghanistan mengenai kejadian itu.
Keadaan dalam beberapa minggu lalu agak sukar bagi wartawan yang membuat liputan di Afghanistan, berikutan tindakan paling ganas Taliban sejak serangan diketuai AS pada 2001 menyingkir rejim berkenaan.
Bulan lalu, tiga wartawan yang bertugas untuk media AS cedera dalam letupan bom di jalan raya - seorang wartawan CBS, seorang jurugambar dan seorang jurukamera video yang bertugas dengan Associated Press. AFP
Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Dunia/20090910013340/Article/index_html
Pilihan raya Afghan: Berlaku penipuan
KABUL 9 Sept. - Suruhanjaya aduan yang mendapat sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menemui 'bukti meyakinkan' berhubung penipuan pada pilihan raya Presiden Afghanistan dan telah mengarahkan undi dikira semula sekurang-kurangnya di tiga wilayah, proses yang mungkin memakan masa berbulan-bulan.
Pada masa yang sama, pegawai Afghanistan mengeluarkan keputusan terbaru semalam menunjukkan Presiden Hamid Karzai mendahului dengan memperolehi sebanyak 54 peratus undi setelah hampir keseluruhan undi dikira - cukup untuk mengelakkan diadakan pusingan kedua pilihan raya, kecuali sejumlah besar undi rosak diambil kira.
Pengumuman berasingan oleh suruhanjaya aduan yang didominasi orang Barat yang dilantik PBB dan suruhanjaya pilihan raya, mungkin mencetuskan kekecohan.
Imej Presiden Afghanistan melakukan penipuan mewujudkan ancaman kepada keseluruhan misi Amerika Syarikat (AS) di sini ketika jumlah korban anggota tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO meningkat dan rakyat AS, Eropah dan Kanada sendiri sudah jemu dengan perang.
"Persepsi penipuan ini akan menyingkatkan masa yang diambil untuk menerima bantuan luar.
"Orang ramai akan berasa menyampah dan akan berkata 'Kenapa saya mengorbankan anak lelaki saya untuk kepimpinan yang tidak dapat mentadbir negara dengan adil?'," kata bekas duta AS ke Afghanistan, Ronald E. Neumann. - AP
Sumber: http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0910&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_03.htm
Komando NATO Selamatkan Wartawan Britain
KABUL - Sekumpulan komando daripada pasukan tentera Perjanjian Atlantik Utara pertubuhan (NATO) berjaya menyelamatkan seorang wartawan akhbar New York Times yang ditawan kumpulan Taliban dalam satu operasi di sini semalam.
Beberapa pegawai berkata, anggota berkenaan menyelamatkan wartawan itu, Stephen Farrell (gambar) yang mempunyai kerakyatan Britain dan Ireland, bagaimanapun seorang penterjemah warga tempatan, Sultan Munadi, meninggal dunia.
Farrell dan Sultan ialah kumpulan petugas yang kedua dari akhbarNew York Times yang diculik di Afghanistan dalam tempoh setahun.
Kementerian Pertahanan Britain menyatakan seorang anggota tentera negara itu terbunuh dalam operasi menyelamat itu tetapi enggan mengesahkan laporan akhbar bahawa pasukan khas negara tersebut terbabit dalam operasi berkenaan.
Perdana Menteri Britain, Gordon Brown memberikan penghormatan kepada anggota tentera terbabit yang dianggap sebagai hero negara.
Farrell, 46, tidak cedera namun Sultan, 34, yang mempunyai dua anak sedang bercuti semester kerana belajar di sebuah universiti di Jerman, terbunuh dalam pertempuran itu. - AFP
Sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0910&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm
Sunday, September 6, 2009
Enam orang awam antara korban serangan jet Nato
PENGARAH komunikasi tentera NATO di Afghanistan, Laksamana Muda Gregory Smith (tengah) kelmarin melawat seorang kanak-kanak yang cedera dalam serangan udara di Kunduz.
KUNDUZ, Afghanistan: Enam orang awam, termasuk seorang kanak-kanak adalah di antara 54 orang terbunuh dalam serangan udara tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) ke atas dua lori tangki minyak air di sini Jumaat lalu, kata seorang pegawai tempatan semalam.
Pemandu salah sebuah lori berkenaan dan anaknya dibunuh pejuang Taliban secara berasingan, kata gabenor wilayah Kunduz, Mohammad Omar.
"Menurut hasil siasatan kami 54 orang terbunuh, 48 daripadanya adalah bersenjata dan yang lain orang awam. Seramai 15 tercedera, termasuk dua pejuang Taliban," kata Mohammad.
Daripada enam orang awam yang terbunuh, seorang adalah kanak-kanak yang berada di dalam salah sebuah lori berkenaan.
Pegawai Afghanistan memberi jumlah korban yang berbeza dalam serangan itu dan adalah sukar bagi memastikan angka sebenar.
Serangan berkenaan yang diarah oleh tentera Jerman yang berada di Kunduz dikecam kerana pada mulanya disyaki ramai orang awam terbunuh.
Orang awam dikatakan mengerumuni lori tangki itu yang dicuri untuk mengeluarkan minyak daripadanya, sebelum jet pejuang Amerika Syarikat (AS) mengebom kenderaan berkenaan. AFP
Ketua angkatan NATO di Afghanistan, Jen Stanley McChrystal dari AS, melawat lokasi serangan dan mangsa di hospital kelmarin, ketika pemimpin negara Eropah mengecam serangan itu berikutan tentera asing berkenaan sebelum ini berkata akan cuba mengurangkan mangsa orang awam di Afghanistan. - AFP
Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Dunia/20090906235506/Article/index_html
Saturday, September 5, 2009
Afghanistan tangguh keputusan awal pilihan raya
Keputusan dari pusat undian seterusnya akan dikeluarkan sama ada hari ini atau esok, kata seorang jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas (IEC).
"Ia disebabkan masalah teknikal menyebabkan kita tidak dapat membuat sebarang pengumuman hari ini," kata Marzia Siddiqi kepada AFP.
Beliau berkata IEC berharap untuk menyiarkan keputusan awal pilihan raya itu dalam pengumuman akan datang. Keputusan akhir hanya akan diketahui sebelum 17 September.
IEC menyiarkan sedikit demi sedikit keputusan pilihan raya sejak ia diadakan 20 Ogos lalu.
Berdasarkan pengumuman sebelum ini, kedua-dua pesaing bagi jawatan presiden iaitu penyandang, Hamid Karzai dan Abdullah Abdullah masing-masing mendakwa mendahului undi.
Abdullah, bekas Menteri Luar juga mendakwa berlaku penipuan oleh penyokong Karzai dan mengancam menolak sebarang keputusan yang dianggapnya tercemar.
Keputusan terkini dikeluarkan 3 September menunjukkan Karzai mendahului dengan 47.3 peratus daripada keputusan 60 peratus pusat undian.
Daripada 3.69 juta penduduk yang layak mengundi, Karzai memenangi 1.74 juta manakala Abdullah 1.2 juta atau 32.6 peratus, umum IEC.
Pemenang perlu memperoleh 51 peratus undi atau lebih untuk mengelak pengundian pusingan kedua. AFP
Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Dunia/20090905233045/Article/indexworld_html
Lapan dipecat kerana pesta seks di Kabul
GAMBAR menunjukkan beberapa pengawal dari Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kabul menyertai pesta seks di perkarangan Kem Sullivan.
NASIB malang dialami oleh lapan pengawal di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kabul, Afghanistan apabila mereka dipecat manakala dua lagi meletakkan jawatan selepas mereka terlibat dalam pesta seks dan minuman keras.
Menurut sebuah akhbar semalam, pemecatan itu berlaku setelah Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton berkata, dia berasa tersinggung dengan gambar dan video yang menunjukkan pengawal-pengawal itu mabuk di perkarangan Kem Sullivan dekat pejabat kedutaan AS.
Dalam pesta seks itu, satu permainan diadakan di kalangan pengawal yang turut dikehendaki meminum minuman keras.
Menurut jurucakap Jabatan Negara AS, Ian Kelly, seramai 120 pengawal disoal dalam siasatan yang dilakukan berhubung pesta seks itu.
Kelly berkata, syarikat ArmorGroup yang kini dimiliki oleh firma Wackenhut Services Inc. diberitahu supaya menyingkirkan semua kakitangan yang terlibat dalam pesta tersebut.
Pengawal-pengawal itu merupakan kakitangan syarikat ArmorGroup yang mendapat kontrak untuk menyediakan kawalan keselamatan kepada 1,000 kakitangan yang berkhidmat di kedutaan itu.
Skandal itu terbongkar setelah mangsa-mangsa pesta seks itu melaporkan skandal tersebut kepada Projek Penyeliaan Kerajaan (POGO).
Salah seorang pengawal berkata: "Ia merupakan sesuatu yang memalukan dan mengaibkan."
Pengawal-pengawal yang tidak mengambil bahagian dalam permainan seks itu akan menghadapi kesukaran untuk mendapat kenaikan pangkat atau mungkin diberhentikan.
Menurut POGO, dalam satu kes, beberapa penyelia membawa masuk pelacur ke dalam kuaters yang merupakan satu pelanggaran disiplin yang serius. - Agensi
Sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0906&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm
90 korban serangan Nato
Kenyataan markas pemerintah Nato berkata, sebahagian besar yang terbunuh itu adalah anggota Taliban.
Bagaimanapun, kumpulan itu menafikannya, sebaliknya berkata, yang terbunuh ialah penduduk kampung. - Reuters
Sumber: http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Global/20090905101443/Article/index_html
Friday, September 4, 2009
90 maut akibat serangan NATO di Afghanistan
BEBERAPA anggota polis memeriksa dua lori tangki minyak yang hangus terbakar di Kunduz, Afghanistan semalam.
KABUL – Penduduk awam merupakan antara 90 yang maut dalam satu serangan menjelang subuh di wilayah Kunduz, utara Afghanistan semalam, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Anders Fogh Rasmussen.
Beberapa pegawai Afghanistan berkata, sebuah jet NATO membedil dua lori tangki yang dirampas kumpulan Taliban sekali gus menyebabkan satu letupan kuat berlaku.
Pegawai pemerintah NATO di Kabul memberitahu, sejumlah besar yang maut atau cedera dalam serangan berhampiran kampung Omar Khel itu adalah anggota militan.
Bagaimanapun, seorang pegawai polis Afghanistan berkata, angka kematian turut melibatkan 40 orang awam
yang sibuk mengisi minyak petrol dari dua buak trak itu ketika kejadian berlaku.
Jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid berkata, dua trak itu dalam perjalanan dari Tajikistan untuk menghantar bekalan ke Kabul sebelum dirampas.
“Benar, sejumlah anggota Taliban terbunuh di samping kemungkinan kehilangan nyawa di kalangan orang awam,” kata Rasmussen berhubung insiden tersebut.
Sementara itu, Presiden Afghanistan, Hamid Karzai mengumumkan satu panel penyiasat akan ditubuhkan bagi menyiasat serangan NATO itu.
“Kami tidak boleh menerima insiden NATO yang menjadikan orang awam sebagai sasaran,” katanya. – Agensi
Sumber:http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0905&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm
90 Maut Nato Serang Taliban
SEORANG lelaki melecur dikejarkan ke hospital dengan teksi selepas menjadi mangsa serangan udara Nato di Kunduz.
Orang awam terbunuh mahu ambil minyak percuma daripada militan
KUNDUZ: Sekurang-kurangnya 90 terbunuh, 40 daripadanya orang awam dan berpuluh-puluh lagi cedera selepas pesawat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) melancarkan serangan terhadap militan Taliban yang merampas lori tangki minyak pertubuhan itu.
Serangan udara tentera Nato itu memusnahkan lori tangki minyak yang dirampas Taliban, kata pegawai.
Sebelum ini, Ketua Polis bagi Wilayah Utara Kunduz berkata, lebih 60 orang terbunuh dan cedera. Tetapi, pegawai kerajaan Afghanistan berkata sekurang-kurangnya 90 maut.
"Malam tadi, militan Taliban cuba membawa lori tangki minyak yang mereka rampas ke lebuh raya untuk ke kawasan perkampungan Angorbagh," kata Baryalai Basharyar Parwani, ketua polis daerah Ali Abad di sini.
"Lori tangki minyak itu tersekat di sungai. Ada orang awam bersama mereka ketika serangan dilakukan," katanya.
Gabenor Kunduz, Mohammad Omar juga mengesahkan angka kematian itu.
Jurucakap bagi Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) di bawah Nato memberitahu agensi berita: "Ia adalah serangan udara ISAF". Mangsa yang cedera dengan kesan terbakar dan melecur memenuhi hospital di Kunduz.
Kira-kira lapan orang dilaporkan tenat selepas kulit mereka kehitaman dan menggelupas. Mangsa lain pula mendapati kulit mereka yang terbakar terlekat pada baju.
Kira-kira 200 hingga 250 penduduk kampung dipercayai berkumpul untuk mengambil minyak percuma daripada lori tangki yang dirampas Taliban, kata jurucakap Kementerian Kesihatan, Farid Rahid.
"Malangnya ramai orang awam maut dan cedera. Pengarah kesihatan wilayah mengesahkan 12 orang cedera dan seorang maut dimasukkan ke hospital wilayah," katanya.
Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, berkata penduduk datang untuk mendapatkan minyak apabila pesawat Nato melancarkan serangan. AFP
Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Dunia/20090904234238/Article/indexworld_html
Wednesday, September 2, 2009
Timbalan Menteri Perisikan Mati Dibom
Serangan itu turut meragut 23 nyawa lain, termasuk beberapa pegawai kanan bandar itu dan mencederakan puluhan pengunjung lagi.
Serangan itu turut mencalar imej perisikan Afghanistan dan menunjukkan Taliban kini semakin mampu melancarkan serangan yang lebih rumit dan menjadikan pegawai kerajaan sebagai sasaran mereka.
Letupan berlaku ketika delegasi Abdullah dalam perjalanan keluar dari masjid itu.
Kereta Land Cruiser yang dinaikinya musnah sama sekali manakala kereta yang digunakan pengawalnya pula rosak teruk akibat letupan itu.
“Saya melihat delegasi itu keluar dari masjid dan ketika mereka masuk ke kereta, satu letupan berlaku,” kata seorang saksi yang cedera dalam serangan itu.
Jurucakap Taliban berkata, seorang pengebom berani mati yang berjalan kaki bertanggungjawab melancarkan serangan itu. - AP
Sumber: http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Global/20090903072210/Article/index_html
Taliban Letup Diri, 23 Terbunuh
Serangan yang mengenai pegawai tinggi perisikan Afghan itu membuktikan keupayaan Taliban yang semakin meningkat untuk melaksanakan serangan yang rumit ke atas sasaran tertentu.
Letupan tersebut berlaku di tengah-tengah orang ramai di wilayah Laghman ketika pegawai sedang meninggalkan masjid utama di Mehterlam, 100 kilometer ke timur Kabul, setelah melakukan lawatan ke situ.
Turut terbunuh ialah dua pegawai atasan wilayah Laghman dalam letupan yang memusnahkan beberapa kenderaan kerajaan.
Seorang jurucakap Taliban berkata, seorang pengebom berani mati yang berjalan kaki menjadikan timbalan ketua Direktorat Keselamatan Negara (NDS), Abdullah Laghmani sebagai sasaran.
Jurucakap Gabenor Laghman, Sayed Ahmad Safi mengesahkan Laghmani terbunuh.
NDS diketuai seorang etnik Tajik dan pembunuhan Laghmani, seorang etnik Pashtun, boleh memburukkan lagi ketegangan etnik ketika pihak berkuasa masih mengira undi pilihan raya Presiden pada 20 Ogos lalu.
Setelah kira-kira separuh keputusan undi diketahui, Presiden Hamid Karzai yang merupakan seorang etnik Pashtun masih mendahului pencabar utamanya, Abdullah Abdullah yang berketurunan Pashtun-Tajik, tetapi dilihat sebagai calon Tajik.
Pegawai tinggi kerajaan kerap menjadi sasaran berani mati Taliban.
Puak militan itu sudah lama memberi amaran kepada rakyat Afghan supaya jangan bekerja sebagai pegawai kerajaan, guru atau anggota tentera. - AP
Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0903&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_06.htm
Tuesday, September 1, 2009
Abdullah tak mahu kongsi kuasa
ABDULLAH menyampaikan ceramah kepada penyokong Pashtun di Kabul, Afghanistan.
Pencabar terus tuduh kerajaan bantu Presiden tipu undi dalam pilihan raya
KABUL: Pencabar utama jawatan Presiden di Afghanistan menolak sebarang langkah berkongsi kuasa dengan penyandang Hamid Karzai dan pada masa sama, memperhebat tuduhan berlakunya penipuan undi.
Abdullah Abdullah yang menuduh jentera kerajaan melakukan penipuan undi besar-besaran bagi membolehkan Karzai menang, memberitahu demikian dalam pertemuannya dengan pemimpin puak dari selatan Afghanistan yang dianggap kubu kuat lawan.
"Saya beri jaminan kepada kamu bahawa saya tidak akan buat sebarang perjanjian bagi pihak kamu. Saya tidak akan lakukannya untuk berkuasa," katanya.
Selepas kiraan undi di separuh daripada stesen mengundi, Karzai mendahului Abdullah dengan 45.8 peratus kepada 33.2 peratus, angka yang belum memenuhi majoriti bagi mengelak undi pusingan kedua.
Abdullah menjalankan kempen menjanjikan pembaharuan. Penganalisis percaya, Karzai mahu membentuk kerajaan gabungan untuk memerintah secara konsensus.
Pilihan raya presiden dan wilayah 20 Ogos lalu dibayangi semakin banyak tuduhan penipuan dan ada kebimbangan hanya 30 hingga 35 peratus pengundi saja mengambil bahagian atau lebih rendah lagi di kubu Taliban di selatan.
Ketika berkempen, Abdullah dituduh menggalakkan penyokongnya melakukan protes jika beliau kalah dalam pilihan raya kali ini tetapi beliau sekali lagi meminta semua pihak bertenang.
"Saya akan pertahan hak kamu hingga ke saat akhir," katanya sambil memberi amaran bahawa kemenangan Karzai hanya menyaksikan kerajaan yang mengamalkan rasuah memerintah lima tahun lagi.
"Kami akan pertahan hak kamu menerusi cara yang sah dan aman," katanya ketika pemimpin puak tertentu mengancam melancarkan keganasan kerana menuduh penipuan undi berlaku.
"Kami mahu Karzai letak jawatan. Kami mahu pentadbiran sementara dibentuk untuk mengadakan pilihan raya bebas dan adil," kata seorang daripada mereka, Haji Manan dari Helmand.
"Saya akan lancar penentangan bersenjata. Saya bersumpah atas nama tuhan, kami akan menentang jikan kerajaan Islam tidak memerintah. Askar Amerika Syarikat memasuki rumah kami dan membunuh anak lelaki kami," tambahnya. - AFP
Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Dunia/20090902020307/Article/indexworld_html
Lelaki Afghan hilang hidung
KABUL 1 Sept. - Militan Taliban telah bertindak ganas memotong hidung dan kedua-dua belah telinga seorang petani Afghanistan, Lal Mohammad, 40, ketika lelaki itu keluar mengundi pada pilihan raya Presiden Afghanistan pada 20 Ogos lalu.
"Saya menyesal saya pergi mengundi."Apa kebaikan yang saya dapat daripada mengundi?" katanya sambil menangis di katil hospital di Kabul.
Lal adalah salah seorang daripada berjuta-juta penduduk yang tidak mempedulikan ancaman Taliban supaya tidak keluar mengundi dalam pilihan raya 20 Ogos lalu.
Sebelum pilihan raya itu, militan Taliban mengugut akan mencederakan pengundi serta melancarkan serangan peluru berpandu dan bom pada hari pengundian sebagai ancaman menghalang rakyat Afghanistan keluar mengundi.
Lal berkata, dia menyesal tidak mengendahkan amaran itu.
Ketika kejadian militan Taliban telah menyerbu, menahan dan memeriksanya sebelum dia dipukul dengan raifal AK-47 selepas mereka menemui kad pengundi bersama-samanya.
"Selepas itu salah seorang daripada mereka (Taliban) mengeluarkan pisau dan meletakkannya pada hidung saya.
"Saya merayunya supaya mereka tidak mencederakannya tetapi sia-sia," katanya, sambil menambah kata, dia pengsan dengan berlumuran darah dan hanya sedar beberapa jam kemudian apabila seorang penduduk kampung menemuinya. - Agensi
Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0902&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_05.htm