Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Thursday, April 16, 2009

Pemimpin baru Nato musuh Islam

KABUL: Pejuang Taliban menyifatkan bakal ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) yang baru sebagai musuh besar umat Islam kerana beliau bertanggungjawab mempertahankan penyiaran kartun menghina Nabi Muhammad SAW ketika menjadi Perdana Menteri Denmark.

Anders Fogh Rasmussen yang menyandang jawatan itu sehingga awal bulan ini dijadual dilantik sebagai Setiausaha Agung Nato yang baru bagi mengetuai 56,000 anggota pasukan antarabangsa untuk memerangi pergerakan Taliban di Afghanistan, Ogos depan.

Penyiaran kartun oleh akhbar di Denmark pada 2006 mencetuskan bantahan umat Islam di seluruh dunia, termasuk tunjuk perasaan berdarah di Afghanistan sehingga menyebabkan beberapa orang terbunuh.

Tetapi, Rasmussen tetap mempertahankan penyiaran kartun itu dengan alasan ia sejajar dengan kebebasan bersuara dan enggan memohon maaf kepada umat Islam.

Dalam satu rencana yang dikirim ke laman web Taliban (http://alemarah1.org/english/) kumpulan itu menekankan, pelantikan Rasmussen akan meningkatkan lagi semangat umat Islam menentang Nato dan akan memperhebatkan perang di Afghanistan.

“Musuh besar Rasul umat Islam dilantik Setiausaha Agung Nato,” kata rencana tanpa tarikh itu.

Turki, satu-satunya negara Islam yang menganggotai pertubuhan berkenaan menarik balik tindakan menggunakan kuasa veto terhadap pelantikan Rasmussen selepas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berjanji seorang timbalannya akan dilantik dari kalangan warga Turki.

Ankara berkata, pelantikan Rasmussen akan meningkatkan kebencian ke atas Barat di negara Islam termasuk Afghanistan, di mana tentera Nato menjalankan operasi terbesar dalam sejarah.

Pejuang Taliban kembali aktif sejak kebelakangan ini selepas diusir dari Kabul oleh tentera Afghanistan yang disokong Amerika.

Sementara itu, Presiden Afghanistan sendiri, Hamid Karzai, menuntut pemerintah tentera asing membabitkan askar Amerika dan Nato di negara itu, memberi penjelasan terhadap korban orang awam akibat serangan tentera Nato.

Enam orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh dan 14 lagi cedera kerana serangan udara Nato di wilayah Kunar, Isnin lalu.

Pegawai Afghanistan juga berkata, serangan tentera Amerika membunuh empat lagi orang awam di wilayah Khost, 8 April lalu.

“Jadi, Karzai meminta pemerintah tentera Nato di Afghanistan menjelaskan punca korban orang awam itu,” menurut kenyataan pejabat Presiden.

Karzai berunding dengan Jeneral David McKiernan di istana dalam satu pertemuan membincangkan keselamatan di Kabul.

“McKiernan menyatakan rasa kesal yang amat sangat atas korban orang awam di wilayah Kunar dan Khost, meskipun tentera Nato mengambil langkah berhati-hati,” menurut kenyataan pejabat Karzai.

Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa tentera Nato dan Amerika menyiasat setiap insiden dan mengaku bertanggungjawab.

“Tentera Nato meminta maaf kepada keluarga mangsa orang awam itu,” kata McKiernam yang dipetik pejabat Karzai. - AFP/Reuters

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Dunia/20090417003959/Article/index_html

No comments:

Post a Comment