Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Saturday, April 18, 2009

Mangsa gempa tunggu bantuan


PENDUDUK perkampungan Afghan mengusung mayat mangsa gempa bumi di wilayah Nangarhar, kelmarin.

Penduduk Nangarhar belum dapat khemah

MIR GADKHEL: Rakyat Afghanistan yang terselamat selepas gempa bumi melanda bahagian timur negara berkenaan terpaksa bermalam bersebelahan kesan runtuhan rumah dan dalam keadaan kesejukan kerana bantuan yang dijanjikan kerajaan masih belum tiba.

Dua kejadian gempa bumi menggegarkan kawasan dalam lingkungan beberapa puluh kilometer di barat Jalalabad pada malam Khamis lalu, menyebabkan sekurang-kurangnya 22 orang maut dan sebilangan lain cedera.
Kerajaan tempatan berkata, mereka sudah menghantar lebih 200 khemah dan kira-kira 600 selimut ke kawasan yang dilanda gempa itu sementara bantuan lain masih dalam perjalanan.

Namun, penduduk berkata, bantuan berkenaan tidak kelihatan menyebabkan mereka terpaksa bermalam di luar dalam keadaan ketakutan, dengan tujuh atau lapan lagi gegaran menyusul selepas gempa melanda.

“Ada beratus-ratus keluarga bermalam di luar dan keadaan begitu sejuk kerana hujan, anak kami demam dan kami belum menerima apa-apa bantuan daripada kerajaan atau pihak lain setakat ini,” kata Del Agha yang kehilangan dua anak.

Kajian Geologi Amerika Syarikat melaporkan, gempa berukuran 5.5 pada skala Richter itu melanda kawasan berkenaan sebelum jam 2 pagi Khamis lalu, diikuti dengan satu lagi gegaran susulan berukuran 5.1 dua jam kemudian, mengakibatkan beberapa bangunan runtuh.

Penduduk terus menggali dengan tangan kesan runtuhan rumah mereka untuk mencari haiwan ternakan. Hingga tengah hari semalam, tiada petanda mengenai bantuan kecemasan tiba di perkampungan di Mir Gadkhel.

Jumlah kematian rasmi kerajaan di Kabul adalah 19 orang. Tetapi, Timbalan Ketua Majlis Wilayah Nangarhar, Mohammad Tahir Zahir, berkata beliau menghadiri sekurang-kurangnya 40 upacara pengebumian.

Daripada 71 mangsa cedera, 34 dalam kritikal, katanya.

Perkampungan itu terletak di Nangarhar, di antara Jalalabad dan Kabul, wilayah sering menjadi sasaran pejuang Taliban. - Reuters

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Dunia/20090419020759/Article/index_html

No comments:

Post a Comment