Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Friday, April 17, 2009

Afghanistan dilanda gempa bumi, 22 maut

KABUL 17 April - Sekurang-kurangnya 22 orang terkorban dan beberapa ratus rumah musnah apabila dua gempa bumi yang berlaku selang lebih dua jam menggegarkan timur Afghanistan awal pagi ini.

Kedua-dua gempa bumi itu menggegarkan daerah Khogyani di wilayah Nangarhar dekat sempadan Pakistan dan polis sedang melancarkan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan rumah yang dibuat daripada lumpur kering.

"Empat buah kampung rosak teruk akibat dua gempa bumi. Sejumlah 22 orang disahkan terbunuh dan 30 lagi cedera manakala lebih 200 rumah musnah," kata ketua daerah Khogyani, Haji Said Rahman.

Kementerian Dalam Negeri di Kabul mengesahkan angka kematian awal seramai 19 orang dan menyatakan polis mengetuai operasi menyelamat.

"Polis memulakan operasi awal pagi ini dan semua 19 mayat telah diambil oleh pihak polis.

"Operasi masih diteruskan dan runtuhan dialihkan bagi mencari mangsa yang terbunuh atau cedera," kata jurucakap kementerian itu, Zemarai Bashari.

Pegawai direktorat pengurusan bencana, Ahmad Shekib Hamraz berkata, ratusan rumah ranap dalam kejadian itu.

"Pusat gempa terletak 45 kilometer dari daerah Sherzad yang terjejas," katanya.

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS) melaporkan, dua gempa berukuran sederhana menggegarkan kawasan sempadan Hindu Kush di antara Afghanistan dan Pakistan pada awal pagi ini.

Satu gempa bumi 5.5 magnitud berlaku pada 1.57 pagi waktu Afghan (5.27 pagi waktu Malaysia) 85 kilometer ke tenggara Kabul dan 140 kilometer ke barat bandar Peshawar di Pakistan, menurut agensi AS itu.

Pusat gempa itu agak cetek, pada kedalaman lapan kilometer.

Kejadian itu disusuli lebih dua jam kemudian dengan gegaran susulan 5.1 magnitud pada kedalaman hanya tiga kilometer. - AFP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_08.htm

No comments:

Post a Comment